POLIS mendedahkan sekurang-kurangnya 116 orang kehilangan sekurang-kurangnya $1 juta sejak Januari lalu apabila mereka ditipu semasa berurusan dengan pihak yang tidak dikenali untuk menukar wang atau menjalankan khidmat pemindahan wang rentas sempadan.
Justeru, polis dalam kenyataannya semalam mengingatkan orang ramai agar lebih peka tentang penipuan sebegini yang dikendalikan dalam talian.
Menurut polis, mangsa akan 'dipancing' dengan kadar pertukaran yang menggalakkan, yang ditawarkan oleh penipu dengan menyediakan khidmat pertukaran wang atau pemindahan wang rentas sempadan menerusi platform e-dagang atau media sosial seperti WeChat, Facebook atau Carousell.
Penipu ini akan meminta mangsa memindahkan wang ke akaun bank, jelasnya lagi.
Mangsa akan menyedari mereka telah ditipu apabila mereka tidak menerima mata wang yang telah mereka tukar, atau apabila penerima pemindahan wang yang dimaksudkan itu tidak menerima dana berkenaan.
Lantaran itu, pihak polis ingin menggalakkan orang awam agar memanfaatkan perkhidmatan penyedia khidmat pembayaran yang dilesenkan Penguasa Kewangan Singapura (MAS).
Orang awam boleh merujuk kepada laman web yang beralamat https://eservices.mas.gov.sg/fid bagi menyemak senarai penyedia khidmat yang dilesenkan MAS.
Menurut kenyataan itu lagi, operator khidmat pembayaran tidak berlesen, tidak tertakluk pada langkah pencegahan pertukaran wang haram dan pembiayaan cegah keganasan yang ketat.
Wang yang diperoleh daripada orang ramai mungkin bercampur dengan hasil haram daripada jenayah seperti penipuan.
Jika dana campuran itu dialihkan ke akaun penerima, akaun itu mungkin dibekukan atau dirampas serta tertakluk pada penelitian pihak berkuasa.
Golongan penipu yang menyamar sebagai penyedia khidmat pembayaran tidak berlesen juga boleh menipu mangsa daripada mendapatkan dana yang bertujuan untuk pertukaran mata wang atau pemindahan wang rentas sempadan.
Bagi mendapatkan keterangan lanjut tentang risiko daripada berurusan dengan entiti yang tidak dikawal, anda boleh merujuk kepada laman web yang beralamat https://www.moneysense.gov.sg/articles/2018/11/dealing-with-unregulated-persons.
Menurut polis, pihaknya "tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu atau entiti yang terlibat dalam menjalankan perkhidmatan pertukaran wang tanpa lesen atau pemindahan wang rentas sempadan".
"Jika anda mempunyai keterangan lanjut mengenai kes penipuan sebegini, hubungi talian polis di 1800-255-0000, atau kirimkan maklumat menerusi talian www.police.gov.sg/iwitness. Hubungi '999' jika memerlukan bantuan polis dengan segera," kata polis dalam kenyataannya.
Bagi maklumat lanjut tentang penipuan, orang ramai boleh melayari www.scamalert.sg atau hubungi talian 'hotline' antipenipuan di 1800-722-6688.
Sertai Kempen 'Spot the Signs. Stop The Crimes' (Kesan Tanda. Hentikan Jenayah) di laman www.scamalert.sg/fight.
Orang ramai juga boleh mendaftar sebagai pejuang kempen ini untuk menerima pesanan terkini dan berkongsi maklumat kesedaran dengan keluarga dan rakan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg