SEKURANG-KURANGNYA 116 mangsa penipuan kehilangan sekurang-kurangnya $1 juta sejak Januari apabila mereka berurusan dengan pihak yang tidak dikenali untuk menukar wang atau menjalankan khidmat pemindahan wang rentas sempadan.

Justeru, polis dalam kenyataannya pada Jumaat (23 Disember) ingin berpesan kepada orang awam tentang penipuan sebegini yang dikendalikan dalam talian.

Menurut kenyataan itu, mangsa akan 'dipancing' dengan kadar pertukaran yang menggalakkan yang ditawarkan oleh penipu yang menyediakan khidmat pertukaran wang atau pemindahan wang rentas sempadan pada platform e-dagang atau media sosial seperti WeChat, Facebook atau Carousell.

Penipu ini akan meminta mangsa memindahkan wang ke akaun bank, jelasnya lagi.

Mangsa akan menyedari bahawa mereka telah ditipu apabila mereka tidak menerima mata wang yang telah mereka tukar atau apabila penerima pemindahan wang yang dimaksudkan itu tidak menerima dana berkenaan.

Lantaran itu, pihak polis ingin menggalakkan orang awam agar memanfaatkan perkhidmatan penyedia khidmat bayaran yang dilesenkan Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

Orang awam boleh merujuk kepada laman beralamat https://eservices.mas.gov.sg/fid bagi menyemak senarai penyedia khidmat yang dilesenkan MAS.

Menurut kenyataan itu lagi, operator khidmat bayaran tidak berlesen tidak tertakluk pada langkah pencegahan pertukaran wang haram dan pembiayaan cegah keganasan yang ketat.

Wang yang diperolehi daripada orang ramai mungkin bercampur dengan hasil haram daripada jenayah seperti penipuan.

Jika dana campuran itu dialihkan ke akaun penerima, akaun itu mungkin dibekukan atau dirampas serta tertakluk pada penelitian pihak berkuasa.

Golongan penipu yang menyamar sebagai penyedia khidmat pembayaran tidak berlesen juga boleh menipu anda daripada dana yang bertujuan untuk pertukaran mata wang atau pemindahan wang rentas sempadan.

Bagi mendapatkan keterangan lanjut tentang risiko daripada berurusan dengan entiti yang tidak dikawal, anda boleh merujuk kepada laman beralamat https://www.moneysense.gov.sg/articles/2018/11/dealing-with-unregulated-persons.

Polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana individu atau entiti yang terlibat dalam menjalankan perkhidmatan pertukaran wang tanpa lesen atau pemindahan wang rentas sempadan.

Jika ada keterangan lanjut mengenai kes penipuan sebegini, hubungi talian polis di 1800-255-0000, atau kirimkan maklumat dalam talian www.police.gov.sg/iwitness.

Hubungi '999' jika anda memerlukan bantuan polis segera.

Bagi maklumat lanjut tentang penipuan, orang ramai boleh melayari www.scamalert.sg atau hubungi talian 'hotline' antipenipuan di 1800-722-6688.

Sertai Kempen 'Spot the Signs. Stop The Crimes' (Kesan Tanda. Hentikan Jenayah) di laman www.scamalert.sg/fight.

Anda boleh mendaftar sebagai pejuang kempen ini untuk menerima pesanan terkini dan berkongsi maklumat kesedaran dengan keluarga dan rakan anda.