GARA-gara percaya dengan kata-kata kenalannya, Encik Muhammad Sulaiman Muhammad, telah merantau sejauh Selangor dan Negeri Sembilan untuk mendapatkan "rawatan" - daripada bomoh dan dukun.
Namun, keadaan kaki dan tubuhnya yang membengkak tidak menunjukkan sebarang perubahan sehingga beliau merujuk kepada doktor pakar yang mengesahkan beliau sebenarnya menghidap Penyakit Ginjal Tahap Akhir (ESRD).
Justeru, beliau perlu menjalani dialisis dan lapan tahun kemudian, masih terus bergantung kepada rawatan tersebut.
Menceritakan kisah perjalanannya semasa mula-mula dikesan menghidap kencing manis pada usia 22 tahun, Encik Sulaiman, yang kini berusia 40 tahun berkata beliau pada awalnya tidak mengawal dietnya sehinggalah keadaan kencing manisnya menjadi semakin teruk.
"Saya tak ada pantang makan minum apa sahaja yang saya inginkan. Sehinggakan saya tidak sedar ia menjejas buah pinggang saya ke peringkat yang dianggap mulai teruk," katanya yang kini menganggur.
Apabila beberapa kenalannya menegurnya akan tubuhnya yang membengkak, Encik Sulaiman mendengar saranan mereka agar beliau mendapatkan rawatan daripada "pakar" di seberang Tambak.
Ini selepas beliau bimbang apabila mendengar bahawa dirinya mungkin "dibuat orang" sehinggakan tubuhnya membengkak dengan teruk.
"Saya habiskan hingga ratusan dolar untuk dapatkan rawatan.
"Selama dua minggu, saya merantau sejauh Selangor dan Negeri Sembilan untuk bertemu dan "dirawat" dengan pakar ini yang saya anggap macam bomoh dan dukun, sehinggakan mereka nasihatkan saya banyak minum air untuk mengeluarkan air dalam tubuh saya itu," ujarnya yang menyesali dengan keputusannya itu.
Malangnya, keadaannya semakin menjadi buruk sehingga membuatnya sukar bernafas.
Beliau juga pernah banyak kali muntah semasa bertugas pada ketika itu selaku pengawal keselamatan.
Atas nasihat seorang pak ciknya, beliau kemudian bertemu doktor yang merujuknya kepada pakar ginjal - yang kemudian mengesahkan beliau menghidap ESRD.
Beliau kemudian mula menjalani dialisis pada usia semuda 32 tahun dan kini lapan tahun kemudian, masih bergantung pada mesin tersebut.
Tiga kali seminggu beliau ke Yayasan Pei Hwa - Pusat Dialisis NKF untuk dialisisnya itu.
Mujur baginya beliau menerima subsidi bagi rawatannya itu memandangkan beliau tidak bekerja pada masa ini akibat kecederaan kaki yang dialaminya sejak lewat tahun lalu.
Anak kedua daripada empat beradik itu kini tinggal bersama ibunya, Cik Siti Ropiah Osman, 67 tahun, yang juga tidak bekerja. Bapanya, Encik Muhammad Abdullah, meninggal dunia pada 2000 akibat kegagalan ginjal.
Selain menjalani pembedahan jantung, jari kecil kaki kanan Encik Sulaiman juga terpaksa dipotong akibat gangren.
"Saya tidak tahu berapa lama lagi saya boleh bergantung pada mesin ini.
"Kalau saya jaga makan minum saya sejak mula-mula menghidap kencing manis, mungkin masalah ini tidak menjadi teruk sehingga menjejas buah pinggang saya," katanya yang juga menghidap tekanan darah tinggi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg