Perjalanan Encik Mohammad Shakir Mohd menggenggam segulung ijazah penuh liku tetapi dilalui dengan sabar dan tabah, dan sedikit kedegilan, demi mencapai kejayaan yang diimpikan.
Beliau mengalami serangan angin ahmar ekoran pendarahan di otak ketika berusia 18 tahun, menjelang peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘A’, yang menjejas penglihatan dan keseimbangan badannya.
Setahun kemudian, selepas menjalani pembedahan dan dirawat di hospital selama dua bulan, beliau menduduki peperiksaan GCE peringkat ‘A’ dan mencapai keputusan yang membolehkannya melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Sepanjang empat tahun di universiti, pelbagai cabaran perlu ditempuhi seperti kesukaran mencari syarikat yang boleh menerimanya bekerja sambil belajar di makmal dengan selamat.
Akhirnya, Encik Mohammad Shakir, 26 tahun, berjaya menamatkan pengajian dan genggam ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dengan Kepujian dalam Kejuruteraan Bahan, dengan pengkhususan dalam Bahan dan Kemampanan, serta Nanosains dan Nanoteknologi.
Tidak ramai pelajar mengambil dua pengkhususan sepertinya – kurang lima penuntut dari Sekolah Kejuruteraan dan Sains Bahan melakukan sedemikian setiap semester.
Anak bongsu dalam keluarga empat beradik itu menerima ijazahnya dalam majlis tamat pengajian pada 26 Julai.
Dalam wawancara bersama Berita Harian, Encik Mohammad Shakir berkata, pendarahan di otaknya berlaku akibat saluran darah yang pecah. Menurut doktor, beliau lahir dengan saluran darah yang lemah yang boleh pecah pada bila-bila masa.
“Disebabkan angin ahmar itu, saya tidak boleh menggerakkan bahagian kiri muka saya. Saya tidak boleh tutup mata kiri saya jadi jika saya mahu tidur, saya perlu menggunakan pita pelekat supaya kelopak mata saya tidak terbuka. Saya perlu berjumpa optometrist setiap beberapa bulan untuk memastikan saya tidak mencederakan mata saya.
“Selain itu, apabila saya gunakan komputer, saya perlu gunakan saiz huruf yang lebih besar supaya saya boleh membaca dengan lebih mudah. Ini kerana saya mengalami penglihatan berganda. Ia agak mengelirukan jika saya tidak beri perhatian ketika membaca,” kata Encik Mohammad Shakir.
Serangan angin ahmar juga menyebabkan beliau alami kesukaran imbangi diri ketika berjalan di permukaan yang tidak rata seperti di kawasan berumput.
Namun beliau bebas ke sana sini sendiri, cuma perlu lebih berhati-hati ketika melangkah.
Selesai pengajian di maktab rendah, anak muda itu menjalani perkhidmatan negara walaupun beliau sebenarnya boleh dikecualikan.
Encik Mohammad Shakir kemudian melanjutkan pengajian di NTU dalam bidang kejuruteraan bahan kerana ia paling berkait rapat dengan bidang yang disukainya iaitu kimia.
“Saya menjangkakan beberapa cabaran daripada segi menggunakan peralatan atau komponen dalam makmal. Saya perlu meluangkan lebih banyak masa untuk memastikan saya melakukan eksperimen saya dengan selamat dan tanpa banyak kesilapan,” katanya.
Beliau menerima banyak sokongan daripada pasukan Pendidikan Boleh Diakses dan Penyertaan Pejabat Hal Ehwal Pelajar NTU. memastikan Encik Mohammad Shakir diberi lebih banyak masa untuk menjawab kertas ujian berbanding rakan-rakannya kerana beliau perlu berhenti sekali-sekala untuk merehatkan matanya.
Sebelum memulakan pengajian di NTU, Encik Mohammad Shakir juga dijemput menyesuaikan diri dengan sekitaran makmal dan peralatan yang digunakan. Beliau tidak memerlukan sokongan makmal tambahan, cuma memerlukan masa untuk melakukan eksperimennya dengan lebih teliti.
Pasukan itu membantunya mendapatkan peluang bekerja sambil belajar setelah beberapa syarikat terpaksa menolaknya kerana tidak dapat mengubah sekitaran dan prosedur tempat kerja bagi bolehkan beliau bekerja dengan selamat di makmal mereka.
Beliau turut disokong dalam perancangan jadual waktu, lebih-lebih lagi memandangkan beliau mengambil dua pengkhususan.
Ditanya mengapa beliau mengambil dua pengkhususan itu, Encik Mohammad Shakir berkata:
“Ia sesuatu yang saya mahu pelajari dan adalah ilmu yang menarik dan berguna. Memandangkan saya mengambil lebih banyak modul, saya perlu mengatur masa saya dengan bijak. Saya akan mengulang kaji satu kali pada awal hari dan satu kali lagi pada hujung hari.
“Jika saya ada masa di tengah-tengah, saya akan mengulang kaji. Persekitaran kampus juga membantu saya memberi tumpuan kepada pelajaran,” katanya.
Menyedari yang kerjaya impiannya sebagai pengkaji berasaskan makmal adalah mencabar untuk keadaannya buat masa ini, Encik Mohammad Shakir bersedia menimbangkan pilihan lain seperti melanjutkan pengajian dalam bidang yang tidak menghendaki kerja makmal dengan matlamat melakukan penulisan akademik selepas itu.
“Saya sukakan kerja makmal tetapi tidak mengapa jika saya tidak dapat melakukannya. Saya berharap dapat mula bekerja dan membangunkan pengalaman saya. Minat saya tetap dalam bidang kajian, tetapi mungkin saya boleh lakukan kerja-kerja dokumentasi,” kata Encik Mohammad Shakir.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg