Kesan Covid-19: Harga tiket penerbangan menjunam
Mar 10, 2020 | 8:29 PM
SIA telah membatalkan beberapa penerbangan antara Mac dan Mei tahun ini ekoran permintaan lemah dek koronavirus Covid-19. FOTO: ONG WEE JIN -
DEMI menarik pelanggan melancong, beberapa syarikat penerbangan telah mula menawarkan diskaun serta promosi dan pengecualian yuran bagi beberapa khidmat di tengah-tengah penularan Covid-19. Menurut laman web syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA), tiket penerbangan ke Jakarta misalnya, kini berharga $178 bagi kelas ekonomi dan ia boleh digunakan sehingga akhir Mei ini. Harga promosi tersebut lebih rendah berbanding harga yang dikenakan semasa waktu-waktu sibuk dengan yang tertinggi ialah sekitar $500 bagi penerbangan ulang-alik. Untuk ke Kuala Lumpur pula, harga tiket ulang-alik ialah sekitar $138 sahaja dan ke Denpasar, Bali, sekitar $198.

