SETELAH masuk minggu kedua Fasa Kedua, beberapa perniagaan makanan dan minuman (F&B) Melayu/Islam berkongsi bahawa perniagaan amat mencabar setelah menjamu selera di premis tidak dibenarkan.
Secara umum, F&B mencatatkan kemerosotan penjualan sebanyak 40 hingga 90 peratus setelah orang ramai tidak dibenarkan makan di luar, menurut Persatuan Restoran Singapura (RAS).
Untuk membantu perniagaan F&B di Singapura, RAS telah memohon mendapat sokongan sewa daripada pemilik perniagaan serta mengharapkan pengurangan komisen dari wadah penghantaran makanan.
RAS meminta rebat komisen atau pengecualian 50 peratus dari wadah makanan, serta rebat atau pengecualian sewa 100 peratus.
Malah, Menteri Kewangan Lawrence Wong berkongsi baru-baru ini bahawa beliau telah mengadakan dialog dan bertemu beberapa wakil perniagaan termasuk RAS dan runcit bagi mengetahui cabaran dihadapi mereka.
Pemilik I Am Cafe, Encik Jamuri Busori mengakui ia amat mencabar untuk terus bertahan setelah pendapatannya merosot sebanyak 80 peratus.
"Pada hari pertama fasa dua ini, kami hanya berjaya meraih 10 peratus pendapatan yang biasa kita dapat. Model F&B kita berdasarkan pengalaman dan suasana makanan, jadi jumlah penghantaran makanan dan pengambilan makanan sangat rendah bagi kami," jelas Encik Jamuri.
Meskipun mempunyai wadah tempahan dalam talian, Encik Jamuri menjelaskan kadar tempahan masih rendah.
"Setiap hari, kami mendapat tidak sampai 20 tempahan. Ia amat menyakitkan dan semangat pasukan saya terjejas," katanya.
Pemilik gerai Ginger Wok di Makan Empire, Cik Noraini (Hanney) Esa berkata perniagaannya susut 70 peratus dan beliau terpaksa memikirkan cara alternatif untuk terus bertahan.
Menjangkakan perniagaan yang lebih rancak sebelum ini, beliau telah melabur dalam ketuhar baru yang membolehkannya menawarkan hidangan menarik bagi pelanggannya.
Namun, akibat sekatan Fasa Dua, Cik Noraini yang juga pengasas bersama Le Fuse Cafe di Arab Street, kini hanya berharap untuk menebus kerugian mereka dengan menawarkan promosi menarik bagi pelanggannya seperti menggabungkan makanan bagi kedua-dua kedai makannya bagi menawarkan pilihan lebih luas kepada pelanggan tetapi pada harga yang lebih murah.
"Kita cuba untuk mendekati pelanggan kami melalui laman media sosial serta menawarkan khidmat penghantaran di pelbagai wadah seperti Hungryy, Bungkus, FoodPanda serta wadah dalam talian kami sendiri," kata Cik Noraini.
Namun, bayaran komisen dikenakan wadah penghantaran sebanyak 22-28 peratus juga tinggi dan memakan pendapatan mereka.
Pelanggan juga ada kalanya menempah menggunakan lamannya sendiri atau media sosial bagi menjimatkan bayaran komisen tetapi kesannya juga sama.
Ini kerana beliau perlu mendapatkan pemandu penghantaran sendiri yang mengenakan bayaran $15 untuk sekali penghantaran sedangkan peniaga hanya mengenakan bayaran $8-10 kepada pelanggan.
Dalam catatannya di Facebook setelah berdialog dengan wakil perniagaan, Encik Wong berkata segala maklum balas akan dipertimbangkan.
"Kami akan menyemak bagaimana kami dapat memberi sokongan tambahan kepada para pekerja dan perniagaan dalam tempoh mencabar ini,'' kata Encik Wong.
Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Encik Farid Khan berkata dewan bersedia memberikan bantuan kepada pemilik perniagaan yang terjejas.
"Kami telah mempersiapkan sumber yang mencukupi dan program-program untuk membantu (mereka) meneruskan perniagaan dan mengharungi tempoh mencabar ini.
Inisiatif digital DPPMS seperti Bazaar Kita dilengkapi dengan rangkaian yang baik, yang dapat membantu perniagaan F&B dalam talian hasil usaha sama dengan syarikat teknologi yang mapan seperti GrabMart, Bungkus dan Shopee.
"Kami melahirkan rasa empati dengan pemilik perniagaan terhadap cabaran yang mereka hadapi dalam melaksanakan langkah-langkah yang lebih ketat. DPPMS yakin pada ketahanan masyarakat peniaga kami untuk muncul lebih kuat dalam masa-masa yang mencabar ini,'' kata Encik Farid.
Sebelum ini, pemerintah menyatakan akan memberi pelepasan sewa selama sebulan bagi pusat penjaja dan kedai kopi yang terletak di premis pemerintah.
Peniaga juga akan diberi bantuan sokongan pemerintah termasuk Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) yang dipertingkat bagi firma F&B.
Kadar sokongan JSS ditingkatkan kepada 50 peratus daripada gaji bulanan kasar $4,600 pertama yang akan dibayar kepada pekerja tempatan dalam tempoh sekatan terbaru ini.
Laporan lanjut: Adakala hanya dapat dua tempahan sehari...


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg