Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kesatuan, LTA bincang keperluan beri suntikan 'booster' buat pemandu bas

Sep 23, 2021 | 1:04 AM
Foto BH oleh ARIFFIN JAMAR
Foto BH oleh ARIFFIN JAMAR -

PERBINCANGAN kini sedang dijalankan bagi menilai keperluan bagi pemandu bas diberi suntikan penggalak atau 'booster' dengan kebanyakan daripada mereka sudah menjalani vaksinasi pada suku pertama tahun ini, kata pemimpin buruh dan Anggota Parlimen Radin Mas, Encik Melvin Yong di Facebook pada Rabu (22 September).

Encik Yong berkata kadar vaksinasi tinggi dalam kalangan pemandu bas kemungkinan mencegah penularan virus yang berpotensi berkembang lebih besar lagi.

Perbincangan antara Kesatuan Pekerja Pengangkutan Kebangsaan dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengenai keperluan memberi suntikan penggalak buat pekerja pengangkutan barisan depan muncul di tengah-tengah peningkatan mendadak jumlah kes yang berkaitan dengan lapan pusat tukaran bas.

Kelompok terbesar berkait dengan Pusat Tukaran Bas Toa Payoh dan mula diumumkan pembentukannya pada 26 Ogos dengan 254 kes sehingga Isnin.

Encik Yong yang telah bertemu beberapa pemandu bas di Pusat Tukaran Bas Boon Lay yang sudah pulih sepenuhnya dan kembali bertugas minggu ini berkata keadaan tenaga kerja di pusat tukaran bas kini lebih baik.

Menurutnya, ini mampu dilaksanakan kerana patuh pada ketetapan tegas langkah jarak selamat yang dipertingkat dan usaha segera mengekang jangkitan baru.

Kata Encik Yong: "Menerusi usaha rapat tiga pihak, kami berupaya mengesan dan mengasingkan jangkitan baru awal menerusi ujian biasa dan meluas di tempat kerja."

Beliau menambah, pemandu yang ditemui menjelaskan, mereka tiada tanda jangkitan atau hanya mengalami tanda jangkitan ringan.

Penumpang telah menanti lama bagi sesetengah khidmat bas kerana kelompok pusat tukaran bas ini. Go-Ahead Singapore malah menggantung lima khidmatnya pada 15 September.

Menurut Encik Yong lagi, maklum balas pemandu menunjukkan penumpang memahami dan menghargai walau menanti lebih lama.

"Sokongan orang awam bagi pekerja bas kita penting dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua kerana budi baik dan kesabaran sewaktu tempoh mencabar ini," ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg