KEEMPAT-EMPAT kesatuan sekerja guru sektor awam - Kesatuan Guru Singapura, Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura, Kesatuan Guru-Guru Cina Singapura, dan Kesatuan Guru-Guru Tamil Singapura - mengalu-alu langkah Kementerian Pendidikan (MOE) menaikkan gaji guru dan pendidik bersekutu sebanyak 5 hingga 10 peratus.
Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan kelmarin, kesatuan-kesatuan itu meluahkan penghargaan bagi penggalak itu, yang diberi lebih-lebih lagi kepada guru yang berdepan dengan banyak tekanan dan kesukaran apabila pandemik Covid-19 melanda, lantas menyebabkan kerja yang dipikul mereka bertambah.
"Kesatuan-kesatuan berasa ia datang tepat pada waktunya kerana ia menujukkan kepada guru kita bahawa mereka dihargai dan diberi ganjaran bagi kerja keras mereka," ujar kenyataan itu.
Mengenai Gred substantif pegawai pendidikan am (GEO) 5A baru yang diwujudkan bagi mengiktiraf dengan lebih baik sumbangan berharga guru berprestasi baik dalam gred ini yang tidak memegang jawatan Kakitangan Utama (KP), kesatuan-kesatuan itu berkata mereka berbesar hati MOE telah menerima maklum balas kesatuan dalam memastikan guru terus dihargai dan diberi ganjaran, lebih-lebih lagi yang telah sampai gaji maksimum mereka.
"Gred ini satu pengiktirafan bagi sumbangan guru kelas kanan," kata mereka.
Pelan CONNECT yang dipertingkat pula merupakan satu lagi langkah yang menuju ke arah betul untuk mengekalkan guru sedang mereka terus membina kepakaran mengajar kerana pengalaman mereka penting dan perlu dihargai, tambah mereka.
Keempat-empat kesatuan itu melahirkan harapan lebih banyak dilakukan untuk menyokong guru dengan lebih baik serta membantu mereka mencapai keharmonian dalam kehidupan dan pekerjaan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg