TUMPUAN perlu diberi pada usaha mengenal pasti kumpulan paling terjejas berkaitan isu kesihatan mental supaya mereka dapat dibantu secepat mungkin, mengkaji prasarana dan menjadikan kos penjagaan berkaitannya lebih dimampui.
Dr Wan Rizal Wan Zakariah (GRC Jalan Besar) berkata demikian semasa membentangkan usulannya bertajuk mengutamakan penjagaan kesihatan mental dan sokongan bagi warga Singapura di Parlimen, semalam.
Mengenai usaha mengenal pasti kumpulan terjejas, beliau berkata pandemik Covid-19 telah memburukkan keadaan, dengan negara ini mencatat angka rekod 452 kes bunuh diri tahun lalu - kenaikan 13 peratus berbanding tahun sebelumnya.
"Isu kesihatan mental boleh menjejas sesiapa sahaja, dari kanak-kanak hingga warga tua, pelajar hingga guru, pekerja hingga pesara. Tiada siapa terkecuali.
"Usaha membendung penularan wabak itu perlu namun malangnya, telah memberi kesan kepada kesihatan mental warga Singapura pada tahap berlainan," katanya.
Oleh itu, perlu ada usaha untuk membiasakan saringan kesihatan mental buat semua warga, melalui pelbagai kaedah dan tempat seperti sekolah dan pusat pendidikan tinggi (IHL), tempat kerja, hospital, klinik dan lainnya.
Mereka yang didapati ada risiko atau gejala berkaitan kesihatan mental harus dirujuk secepatnya ke pengamal kesihatan mental.
Dr Wan Rizal berkata meluaskan prasarana juga penting dengan melengkapkan antaranya poliklinik, klinik swasta, dan agensi khidmat sosial dengan sumber dan kepakaran yang diperlukan.
Ini akan menjadikan saringan kesihatan mental lebih mudah diakses oleh lebih ramai warga.
Selain itu, langkah juga perlu diambil untuk menyemak semula kos rundingan bagi kesihatan mental.
Dalam hal ini, beliau meminta agar pemerintah dapat mengkaji untuk meningkatkan had pengeluaran Medisave berkaitan kos itu, memandangkan prosedur rundingan akan menjadi lebih tetap bagi mereka yang memerlukan bantuan.
Dalam ucapan dalam bahasa Melayu pula, Dr Wan Rizal berkata setakat ini, banyak kegiatan dan program dilakukan untuk mempertingkat kesedaran mengenai kesihatan mental, dan beliau secara peribadi menyokong dan mengalu-alukan usaha tersebut.
"Namun, perjalanan kita masih jauh lagi.
"Harapan saya adalah dengan saranan ini, warga Singapura yang sedang mengalami isu kesihatan mental tidak lagi malu tampil untuk mendapatkan sokongan, serta menganggap kesihatan mental tidak kurang pentingnya, berbanding kesihatan fizikal," ujar beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg