Topik diikuti
Pergi ke BHku5 firma S’pura beri kerjasama selepas terima notis jerebu
5 firma S’pura beri kerjasama selepas terima notis jerebu
Lima daripada 10 firma berpusat di Singapura yang diberikan notis di bawah undang-undang jerebu negara telah menyatakan kesediaan untuk bekerjasama bagi mendapatkan maklumat mengenai kaitan mereka dengan kebakaran di Indonesia.
Asia Pulp & Paper mengesahkan dalam satu kenyataan kepada The Straits Times (ST) pada 24 Oktober bahawa ia telah menerima notis tersebut bagi pihak syarikat Asia Pulp & Paper dan Asia Pulp & Paper (China).
Seorang jurucakap menyatakan bahawa syarikat itu sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa dan akan memberikan respons kepada agensi berkenaan seperti yang dikehendaki, sambil menambah bahawa syarikat itu akan berkongsi perkembangan terkini pada masa yang bersesuaian.
Wilmar International, Bumitama Agri dan First Resources pula mengisytiharkan dalam pemfailan di Bursa Saham SGX bahawa mereka telah menerima notis tersebut dan berniat untuk mematuhinya.
Wilmar International adalah yang pertama mengumumkan rancangannya untuk mematuhi arahan daripada Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menjelang tengah malam pada 23 Oktober.
Jurucakap Wilmar memberitahu ST bahawa ia sedang berusaha untuk menyediakan dokumen dan maklumat yang berkaitan, serta akan memberikan maklumat lanjut apabila terdapat perkembangan penting.
First Resources menyatakan dalam pemfailannya pada 1.15 pagi, 24 Oktober, bahawa ia telah bersetuju untuk memberikan butiran yang diperlukan.
Menyusulinya, Bumitama Agri dan anak syarikatnya menyatakan dalam pemfailan pada 1.15 petang, 24 Oktober, bahawa syarikat itu juga akan menyediakan dokumen dan maklumat yang diminta kepada NEA.
Lima syarikat lain belum membalas permintaan untuk ulasan.
Mereka ialah Golden Agri International, Indofood Agri Resources, Kencana Agri, TSH Global Plantation dan TSH Oversea.
Lima firma itu tampil selepas NEA mengumumkan pada 9 malam, 23 Oktober, bahawa ia telah mengeluarkan notis terhadap 10 syarikat yang berpusat di Singapura di bawah Seksyen 10 Akta Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (THPA).
Melalui notis tersebut, NEA memohon butiran menyeluruh mengenai kaitan dengan firma bersekutu, maklumat tentang konsesi tanah mereka, langkah pencegahan kebakaran serta usaha memadamkan kebakaran secara aktif yang mereka atau syarikat bersekutu jalankan di lapangan.
Wakil daripada firma yang ingkar akan berdepan dengan denda sehingga $5,000, hukuman penjara sehingga satu bulan, atau kedua-duanya sekali.
Langkah terkini NEA terhadap syarikat berdaftar di Singapura itu – kesemuanya beroperasi dalam sektor kelapa sawit atau perhutanan – menandakan peningkatan usaha Singapura dalam menangani syarikat yang mempunyai kaitan dengan jerebu rentas sempadan.
NEA sebelum ini telah meminta maklumat lanjut daripada 10 syarikat Indonesia mengenai kaitan mereka dengan kebakaran itu.
Agensi itu mengeluarkan notis langkah pencegahan kepada tujuh syarikat kayu pulpa yang berpusat di Sumatera pada 16 Oktober.
Tiga lagi firma di Kalimantan telah dikeluarkan notis serupa pada 19 Oktober.