Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Aksi lasak bola sepak boleh cetus kecederaan tulang belakang

Hentakan mendadak, tekanan berulang terutama semasa terjatuh boleh sebabkan masalah serius pada bahagian leher, belakang
Jun 23, 2025 | 5:30 AM
tulang belakang
Dr Colum Nolan, Pengarah Perubatan di Oxford Spine and Neurosurgery Centre (sebahagian daripada Beyond Medical Group) dan Pakar Bedah Saraf Perunding Kanan. - Foto ihsan DR COLUM NOLAN

Bola sepak amat berkait rapat dengan budaya masyarakat Melayu di Singapura.

Daripada permainan di kawasan kejiranan hingga ke liga profesional, populariti sukan itu dalam kalangan masyarakat Melayu tidak dapat disangkal.

Walaupun bola sepak merupakan sukan yang menyeronokkan, ia juga berpotensi menyebabkan kecederaan tulang belakang.

Fahami Risiko Kecederaan Tulang Belakang

Sukan bola sepak yang melibatkan pergerakan pantas dan aksi tanpa henti, membawa risiko tersendiri terhadap kesihatan tulang belakang.

Walaupun kecederaan tulang belakang yang serius jarang berlaku, hentakan mendadak dan tekanan berulang terutama semasa terjatuh, berlaga atau jatuh secara tidak seimbang boleh menyebabkan masalah serius pada bahagian leher dan belakang.

Mekanisme Kecederaan

Trauma Akut: Perlanggaran secara tiba-tiba ketika melakukan terjahan, pertembungan secara tidak sengaja dengan pemain lain, atau jatuh di permukaan yang tidak rata boleh menyebabkan daya hentakan yang kuat pada tulang belakang.

Ini boleh menyebabkan ketegangan akut, cakera teranjak, atau dalam kes yang jarang berlaku, patah vertebra – ruas tulang belakang.

Risiko pada Leher, Tulang Belakang: Tindakan menanduk bola secara berulang, khususnya tanpa teknik yang betul, boleh menyebabkan tekanan mengejut pada ruas leher.

Ini berisiko menimbulkan ketegangan otot, kecederaan pada cakera intervertebra, dan dalam kes tertentu, menjejas kestabilan struktur leher dalam jangka panjang.

Tekanan Berulang: Larian berterusan dan menanduk bola secara berulang boleh menyebabkan mikrotrauma kumulatif.

Lama-kelamaan, ini boleh menyumbang kepada perubahan degeneratif seperti kemerosotan cakera lumbar atau ketegangan otot kronik yang, jika tidak dirawat, boleh menjadi lebih serius.

Pengurusan dan Rawatan Kecederaan

Penilaian Awal: Penilaian yang cepat dan teliti amat penting jika seseorang pemain mengalami sakit leher atau belakang, kebas, atau kelemahan.

Ini biasanya melibatkan sejarah perubatan terperinci, pemeriksaan saraf dan fizikal, serta, jika perlu, imbasan seperti x-ray, tomografi berkomputer (CT), atau pengimejan resonans magnetik (MRI) bagi menilai kerosakan struktur.

Rawatan Konservatif: Kebanyakan kecederaan tulang belakang dalam bola sepak dapat dirawat tanpa pembedahan. Rawatan awal mungkin merangkumi:

+ Rehat dan Ubah Suai Kegiatan: Elak kegiatan berimpak tinggi sehingga gejala beransur pulih.

+ Pengambilan Ubat: Guna ubat antiradang dan analgesik untuk mengurangkan rasa sakit dan keradangan.

+ Fisioterapi: Program pemulihan yang disesuaikan bagi mengembalikan pergerakan, menguatkan otot leher, teras, dan belakang.

+ Pembedahan: Dalam kes yang jarang berlaku, apabila kerosakan struktur ketara seperti cakera teranjak yang besar atau patah vertebra yang tidak stabil, pembedahan invasif minimum mungkin diperlukan. Kemajuan dalam teknik pembedahan, yang kerap dibantu teknologi pengimejan moden, dapat mengurangkan tekanan pada saraf terjejas dan menstabilkan tulang belakang.

Strategi Pencegahan

Teknik dan Latihan: Penekanan terhadap teknik yang betul semasa menanduk bola, jatuh dan melakukan terjahan dapat mengurangkan tekanan tidak perlu ke atas tulang belakang.

Latihan mengenai mekanik pergerakan yang selamat dapat mengurangkan risiko kecederaan akut dan berulang.

Kekuatan dan Keadaan Tubuh Badan: Program latihan yang tekal bagi menguatkan otot leher, teras, dan otot sokongan lain amat penting.

Otot yang lebih kuat bukan sahaja meningkatkan prestasi bahkan juga membantu tulang belakang menyerap hentakan dengan lebih baik.

Keadaan Padang dan Peralatan: Walaupun bola sepak tidak memerlukan peralatan perlindungan berat, memastikan pemain memakai kasut yang sesuai serta bermain di padang yang dijaga dengan baik dapat mengurangkan kemungkinan tergelincir dan terjatuh yang boleh menyebabkan kecederaan tulang belakang.

Pemantauan dan Campur Tangan Awal: Menggalak pemain agar segera melaporkan sebarang kesakitan atau ketidakselesaan yang berterusan.

Penilaian dan campur tangan perubatan awal dapat mencegah kecederaan kecil daripada menjadi masalah kronik serta membimbing pemain untuk kembali bermain dengan selamat.

Walaupun bola sepak tidak dikaitkan dengan risiko tinggi mengalami kecederaan tulang belakang yang teruk berbanding sukan lain, tuntutan fizikal dalam sukan itu – daripada pertembungan dan jatuh hingga menanduk bola secara berulang – masih boleh membawa kepada masalah tulang belakang yang serius.

Melalui penilaian segera, protokol rawatan yang berkesan, dan strategi pencegahan yang proaktif, pemain dapat menguruskan risiko itu dengan lebih baik dan mengekalkan kesihatan tulang belakang dalam jangka panjang.

Penulis ialah Pengarah Perubatan di Oxford Spine and Neurosurgery Centre (ahli Beyond Medical Group), yang terletak di Hospital Mount Elizabeth Novena di Singapura. Beliau Pakar Perunding Kanan Pakar Bedah Saraf yang berpengalaman dengan subkepakaran dalam Pembedahan Tulang Belakang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg