Pasangan suami isteri, ‘Cik Liyana’ dan ‘Encik Faizal’ (kedua-duanya bukan nama sebenar), yang bernikah pada usia lewat 20-an, sentiasa berhasrat menimang cahaya mata dan pada awalnya memilih menyerahkan segalanya kepada rezeki dan ketentuan Tuhan.
Namun, apabila usia mereka memasuki 30-an dan masih belum dikurniakan zuriat, mereka akhirnya mengambil keputusan untuk mendapatkan bantuan rawatan perubatan.
Setelah mempertimbangkan pelbagai pilihan selama hampir dua tahun, mereka akhirnya memilih untuk menjalani rawatan persenyawaan in vitro (IVF) pada 2023.
Perjalanan mereka bukanlah mudah – melalui tiga kitaran rawatan IVF sebelum impian mereka menjadi kenyataan, apabila pada 2024, Cik Liyana selamat melahirkan bayi perempuan yang sihat pada usia 40 tahun.
Walaupun bersyukur akhirnya menimang cahaya mata, pasangan itu tidak menafikan cabaran emosi dan kewangan yang mereka lalui sepanjang perjalanan rawatan kesuburan.
Mereka turut meluahkan rasa kesal kerana tidak merancang keluarga lebih awal ketika usia masih muda.
Kisah perjuangan Cik Liyana dan Encik Faizal mencerminkan realiti yang dihadapi ramai pasangan lain, dan itulah juga gambaran sebahagian besar pesakit yang mendapat rawatan di Pusat IVF KK, Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK (KKH).
Sejak ditubuhkan pada 1993, pusat rawatan itu berjaya mencatat lebih 11,000 kelahiran bayi, menjadikannya antara pusat IVF terkemuka di negara ini.
Cabaran kesuburan kini semakin mendapat pengiktirafan di peringkat sejagat, sekali gus mendorong perbincangan lebih meluas mengenai puncanya serta implikasi sosial yang dihadapi.
Sebagai respons kepada keadaan itu, kemajuan teknologi perubatan, ditambah dengan tahap kesedaran dan sokongan masyarakat yang kian meningkat, telah membuka peluang baharu kepada pasangan yang berdepan cabaran dalam merancang keluarga di era moden.
Pilihan rawatan kesuburan bergantung sepenuhnya kepada punca utama yang menyebabkan masalah kesuburan.
Oleh itu, adalah amat penting mengenal pasti faktor asas yang mengganggu kesuburan setiap individu bagi memastikan kaedah rawatan yang paling berkesan dan bersesuaian dapat diberikan.
Pendekatan rawatan secara peribadi itu bukan sahaja meningkatkan peluang kejayaan kehamilan, malah membantu merancang rawatan lebih selamat, berkesan dan menepati keperluan kesihatan pesakit.
Walaupun rawatan kesuburan seperti IVF dan suntikan sperma intrasitoplasma (ICSI) menawarkan kadar kejayaan yang lebih tinggi, tidak semua pasangan memerlukan rawatan itu sebagai pilihan pertama.
Bagi sesetengah pasangan, rawatan alternatif seperti merangsang pertumbuhan telur atau inseminasi dalam rahim atau intrauterine insemination (IUI), pembedahan membuang endometriosis, atau pembuangan polip dalam rahim mungkin sudah mencukupi untuk membantu isteri hamil secara semula jadi tanpa perlu menjalani IVF atau ICSI.
Kadar kejayaan pilihan rawatan kesuburan juga bergantung kepada pelbagai faktor, seperti umur wanita dan punca asas masalah kesuburan tersebut.
Masalah penurunan kadar kesuburan adalah dilema biasa di negara-negara maju, dan oleh itu banyak negara termasuk Singapura mengambil langkah proaktif untuk menyokong perkahwinan dan keibubapaan.
Di Singapura, had umur maksimum bagi wanita menjalani rawatan IVF telah dimansuhkan, memberi peluang lebih luas kepada mereka yang ingin hamil.
Namun, rawatan pada usia terlalu lanjut boleh meningkatkan risiko komplikasi berbanding manfaat.
Oleh itu, persoalan tentang usia paling sesuai untuk IVF kekal penting dan perlu dipertimbangkan secara teliti sebelum memulakan rawatan.
IVF direka untuk membantu pasangan yang mengalami masalah kesuburan untuk hamil.
Ia melibatkan persenyawaan telur dengan sperma di luar badan dalam persekitaran makmal yang terkawal, menghasilkan embrio yang kemudian dipindahkan ke dalam rahim wanita.
Teknik perubatan itu telah membantu jutaan pasangan yang sukar hamil, mencapai impian mereka memiliki anak.
Masalah kesuburan mungkin termasuk gangguan hormon, masalah ovulasi, tiub Fallopio tersumbat, jumlah telur yang rendah, endometriosis atau jumlah sperma yang rendah, tetapi IVF tersedia untuk membantu mencapai persenyawaan.
IVF merupakan rawatan serba boleh yang sesuai untuk pelbagai individu dan pasangan.
Ia disyorkan kepada wanita berusia bawah 35 tahun yang masih belum hamil selepas mencuba sekurang-kurangnya setahun, atau wanita berusia lebih 35 tahun yang tidak berjaya hamil selepas mencuba selama enam bulan.
Bergantung pada keadaan kesihatan lain seperti sekatan tiub Fallopio, simpanan telur yang rendah atau masalah mutu sperma, sesetengah wanita mungkin perlu memulakan rawatan IVF lebih awal.
Kesuburan berkait rapat dengan umur, dengan potensi reproduktif wanita memuncak pada usia 20-an dan awal 30-an.
Pada usia 35 tahun, kesuburan mula merosot secara ketara, dan pada usia 40 tahun, peluang untuk hamil secara semula jadi menjadi jauh lebih rendah.
‘Umur yang sesuai’ untuk IVF biasanya seiring dengan garis masa biologi itu, dengan kadar kejayaan tertinggi diperhatikan dalam kalangan wanita di bawah usia 35 tahun.
Selain itu, risiko untuk mempunyai embrio tidak normal (yang meningkatkan kemungkinan keguguran atau bayi dengan kecacatan kelahiran) meningkat dengan usia dan peningkatan itu menjadi lebih ketara selepas usia 35 tahun.
Secara umum, pesakit yang lebih muda mempunyai peluang kehamilan yang lebih baik.
Bagaimanapun, peluang kejayaan sangat bergantung kepada faktor individu.
Bagi wanita yang melepasi ‘umur yang sesuai’ untuk IVF, cabaran semakin meningkat disebabkan oleh penurunan semula jadi dalam mutu dan jumlah telur.
Umur ibu yang lebih tua dikaitkan dengan risiko keguguran dan kelainan kromosom yang lebih tinggi, selain kadar penempelan embrio di dalam rahim yang lebih rendah.
Namun, kemajuan teknologi perubatan moden, termasuk penggunaan telur penderma, dapat membantu meningkatkan peluang kehamilan bagi wanita lebih berusia.
Selain itu, perancangan awal, persenyawaan awal atau langkah pemeliharaan kesuburan secara pencegahan – seperti pembekuan telur – dapat membantu wanita mengoptimumkan peluang untuk hamil pada usia yang lebih lewat dalam kehidupan.
Pusat IVF KK, merawat pesakit daripada pelbagai peringkat usia.
Namun, sejak 2020, ia menyaksikan peningkatan jumlah wanita berusia lebih 40 tahun yang mendapatkan rawatan.
Perkembangan itu mungkin didorong oleh peningkatan tahap kesedaran, selain adanya subsidi tambahan daripada pemerintah (wanita berusia lebih 40 tahun layak menggunakan geran pemerintah untuk IVF atau IUI jika mereka telah memulakan sekurang-kurangnya satu rawatan kesuburan sebelum usia 40 tahun), serta pemansuhan had umur bagi rawatan IVF.
Walaupun IVF menawarkan harapan, ia bukan tanpa risiko. Risiko yang biasa termasuk:
1. Sindrom Hiperstimulasi Ovari (OHSS): Kesan buruk daripada ubat kesuburan yang boleh menyebabkan sakit perut, kembung, atau dalam kes yang teruk, pembekuan darah atau kegagalan ginjal. Walaupun jarang berlaku, ia adalah risiko perubatan yang diketahui bagi pesakit yang menjalani IVF.
2. Kehamilan kembar: IVF meningkatkan kemungkinan kehamilan kembar atau lebih, yang membawa risiko komplikasi yang lebih tinggi bagi ibu dan bayi.
3. Stres emosi dan psikologi: Proses ini boleh menjadi amat membebankan secara emosi disebabkan oleh faktor kewangan, tuntutan fizikal, dan ketidakpastian hasil.
Proses itu boleh menjadi lebih traumatik bagi wanita yang mempunyai fobia terhadap jarum kerana pelbagai suntikan dan ujian darah perlu dilakukan setiap hari selama satu hingga dua minggu.
Bagi wanita yang memulakan perjalanan IVF, persediaan dan sokongan adalah kunci.
Berikut adalah beberapa pertimbangan penting:
1. Mula awal: Berunding lebih awal dengan penyedia perkhidmatan kesihatan membolehkan penilaian kesihatan kesuburan dilakukan dengan lebih menyeluruh serta memberi akses kepada pilihan seperti pembekuan telur jika kehamilan dijangka ditangguhkan.
2. Lengkapkan Diri dengan Ilmu: Mengetahui dengan jelas tentang prosedur rawatan, kadar kejayaan serta cabaran yang mungkin dihadapi dapat membantu pasangan menetapkan jangkaan lebih realistik sepanjang perjalanan kesuburan mereka.
3. Tumpu kepada kesihatan: Menjaga gaya hidup sihat melalui pemakanan seimbang, senaman teratur, dan pengurusan tekanan dapat meningkatkan hasil IVF.
4. Sokongan emosi: Membina rangkaian sokongan yang kukuh daripada keluarga dan rakan-rakan, atau mendapatkan bantuan melalui perkhidmatan kaunseling, amat penting dalam menghadapi cabaran emosi sepanjang proses IVF.
Jangan ragu untuk berkongsi dengan orang sekeliling – anda tidak pernah tahu bila anda mungkin menemui seorang sahabat yang mampu memberi kekuatan dan menemani anda melalui perjalanan ini.
5. Rancang kewangan: Rawatan IVF melibatkan kos yang tinggi, dan perancangan awal amat penting bagi memastikan proses itu dapat diurus dengan baik dari segi kewangan.
Pastikan anda memahami pelbagai pilihan pembiayaan yang ditawarkan, termasuk bantuan atau subsidi pemerintah dan semak kelayakan anda lebih awal.
IVF merupakan satu kemajuan transformasi dalam bidang perubatan reproduktif, yang menawarkan harapan kepada ramai wanita dan pasangan yang bercita-cita untuk bergelar ibu bapa.
Walaupun faktor usia memainkan peranan penting dalam kesuburan, pemansuhan had umur bagi rawatan IVF di Singapura mencerminkan pendekatan yang lebih berperikemanusiaan terhadap kepelbagaian perjalanan membina keluarga.
Dengan menggalakkan campur tangan awal, meningkatkan kesedaran tentang pemeliharaan kesuburan, serta menyokong kesejahteraan emosi, masyarakat dapat membantu individu membuat keputusan lebih bermaklumat.
Menjadi ibu bapa bukan sekadar satu pencapaian biologi, bahkan juga komitmen emosi dan sosial – dan tindakan yang diambil pada masa yang tepat mampu merealisasikan impian ramai pasangan.
Penulis Pakar Perunding Jabatan Perubatan Reproduktif, Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK (KKH).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg