Topik diikuti
Pergi ke BHkuBarah ginjal tahap 4 bukan penamat kehidupan
Barah ginjal tahap 4 bukan penamat kehidupan
Ketika berusia 45 tahun, Encik Tahir (nama samaran) menerima berita yang mengubah kehidupannya apabila beliau disahkan menghidap barah buah pinggang tahap empat yang sudah merebak ke paru-paru dan tulang.
Beliau menghidap karsinoma sel renal (RCC) jenis sel jernih, iaitu bentuk barah buah pinggang yang paling lazim.
Namun, diagnosis penyakit serius itu tidak menghalangnya daripada kembali menjalani kehidupan aktif.
Selepas memulakan rawatan gabungan imunoterapi dan terapi sasaran, perubahan positif mula dirasainya dalam tempoh hanya tiga minggu.
Kesakitan pada tulangnya semakin berkurangan, manakala masalah pernafasannya turut menunjukkan pemulihan.
Beberapa bulan kemudian, beliau kembali bekerja dan meneruskan kegiatan kegemarannya, iaitu berbasikal.
Bagaimanapun, perjuangannya melawan barah belum berakhir.
Selepas 20 bulan, beliau mengalami batuk kering yang berterusan.
Pemeriksaan imbasan menunjukkan terdapat pengumpulan cecair di paru-paru kanannya.
Doktor kemudian menukar rawatannya kepada terapi sasaran dalam bentuk ubat makan yang berjaya mengawal barah tersebut selama 10 bulan lagi.
Namun, apabila beliau kembali mengalami sakit belakang yang berterusan, pemeriksaan lanjut mengesahkan penyakitnya semakin berkembang.
Menurut Pakar Perunding Kanan Onkologi Perubatan di Parkway Cancer Centre, Dr Wong Siew Wei, kes Encik Tahir memperlihatkan bagaimana kemajuan perubatan kini menawarkan lebih banyak pilihan rawatan kepada pesakit barah buah pinggang tahap lanjut.
“Penyakit ini serius, tetapi terdapat pelbagai pilihan rawatan baharu yang membolehkan pesakit terus menjalani kehidupan dengan baik,” jelas Dr Wong.
Beliau berkata, perkembangan tersebut bermakna pesakit yang tidak lagi memberikan tindak balas terhadap sesuatu rawatan masih berpeluang menerima rawatan lain bagi mengawal penyakit mereka.
Barah yang kerap serang tanpa gejala
Dr Wong menjelaskan bahawa barah buah pinggang berlaku apabila sel dalam organ tersebut membiak secara tidak terkawal sehingga membentuk ketumbuhan yang boleh membesar dan merebak ke bahagian tubuh yang lain.
Buah pinggang berfungsi menapis bahan buangan daripada darah, mengimbangi kandungan cecair dan garam dalam tubuh serta membantu mengawal tekanan darah.
Kira-kira sembilan daripada setiap 10 pesakit barah buah pinggang menghidap sejenis barah yang dikenali sebagai RCC.
Daripada jumlah itu, jenis yang paling kerap berlaku ialah RCC sel jernih, yang mencatatkan sekitar 70 hingga 75 peratus daripada keseluruhan kes RCC.
Di Singapura, barah buah pinggang merupakan barah ketujuh paling biasa dalam kalangan lelaki, dengan 1,808 kes baru didiagnosis antara 2018 dengan 2022, berdasarkan angka yang dikemukakan Dr Wong.
Antara cabaran utama ialah penyakit tersebut sering tidak menunjukkan gejala pada peringkat awal.
Banyak kes hanya dikesan secara kebetulan ketika pesakit menjalani pemeriksaan imbasan bagi masalah kesihatan lain.
Menurut Dr Wong, gejala yang mungkin muncul termasuk darah dalam air kencing, sakit pada bahagian sisi badan, kehilangan berat badan tanpa sebab, keletihan dan sakit tulang.
Antara faktor yang meningkatkan risiko ialah merokok, obesiti, tekanan darah tinggi dan penyakit buah pinggang kronik.
Imunoterapi ubah rawatan barah
Menurut Dr Wong, rawatan barah buah pinggang tahap lanjut telah melalui perubahan besar sepanjang dua dekad lalu.
Sebelum 2005, pilihan rawatan agak terhad, dengan kurang daripada 20 peratus pesakit menunjukkan tindak balas terhadap rawatan yang tersedia ketika itu.
Kemunculan terapi sasaran antara 2005 dengan 2015 membawa perubahan apabila ubat diperkenalkan untuk menyekat mekanisme tertentu yang membantu barah membesar.
Antaranya ialah ubat yang menyekat faktor pertumbuhan endotelium vaskular (VEGF), iaitu protein yang merangsang pembentukan salur darah baharu bagi membekalkan oksigen dan nutrien kepada ketumbuhan.
Dengan menyekat VEGF, pertumbuhan barah dapat diperlahankan.
Sejak 2015, imunoterapi pula membuka satu lagi pilihan rawatan penting.
Rawatan itu membantu sistem pertahanan tubuh mengenal pasti dan menyerang sel barah yang sebelum ini berjaya mengelakkan serangan sistem imun.
Dr Wong menjelaskan bahawa gabungan imunoterapi kini menjadi antara pilihan utama bagi pesakit RCC tahap empat.
Dalam kajian rawatan gabungan tertentu, kadar tindak balas dilaporkan mencecah 71 peratus, walaupun keberkesanannya berbeza mengikut jenis rawatan dan keadaan pesakit.
Penemuan Nobel buka peluang baru
Satu lagi kemajuan penting ialah pembangunan ubat yang dikenali sebagai perencat HIF-2α.
Ubat itu menyasarkan protein yang membantu sel bertindak balas terhadap perubahan paras oksigen.
Dalam kebanyakan kes RCC jenis sel jernih, gen VHL yang sepatutnya membantu mengawal protein tersebut tidak lagi berfungsi dengan baik.
Keadaan itu menyebabkan HIF-2α terkumpul dan mengaktifkan proses yang menggalakkan pertumbuhan barah serta pembentukan salur darah baharu.
Perencat HIF-2α bertindak menyekat protein tersebut, sekali gus mengganggu mekanisme yang membantu barah berkembang.
Menurut Dr Wong, pembangunan rawatan itu berkait rapat dengan penyelidikan Profesor William G. Kaelin Jr, mengenai cara sel mengesan dan bertindak balas terhadap oksigen.
Penyelidikan tersebut membawa kepada penganugerahan Hadiah Nobel Fisiologi atau Perubatan 2019 kepada Profesor Kaelin bersama dua saintis lain.
Penemuan berkenaan akhirnya membuka laluan kepada pembangunan ubat baharu bagi pesakit tertentu yang penyakitnya terus berkembang selepas menjalani rawatan terdahulu.
Kembali berbasikal selepas 30 bulan
Bagi Encik Tahir, kemajuan perubatan itu menawarkan satu lagi peluang apabila rawatan sebelumnya tidak lagi berkesan.
Selepas menjalani imunoterapi dan rawatan menggunakan dua jenis ubat sasaran VEGF, beliau diberikan perencat HIF-2a, iaitu ubat yang menyekat protein yang membantu pertumbuhan sel barah.
Rawatan itu digabungkan dengan satu lagi ubat sasaran yang menghalang pembentukan salur darah baharu yang membekalkan oksigen dan nutrien kepada ketumbuhan.
Sepanjang rawatan, doktor memantau paras hemoglobin, iaitu protein dalam sel darah merah yang membawa oksigen, serta paras oksigen darahnya.
Pemantauan itu penting kerana rawatan tersebut boleh menyebabkan anemia, iaitu kekurangan hemoglobin atau sel darah merah yang sihat, serta paras oksigen darah yang rendah.
Dr Wong menekankan apabila pesakit hidup lebih lama, usaha mengekalkan mutu kehidupan turut menjadi semakin penting.
Antara kesan sampingan rawatan ialah keletihan, tekanan darah tinggi, cirit-birit, sakit pada tangan dan kaki serta perubahan fungsi tiroid.
Bagaimanapun, banyak kesan sampingan itu boleh dikawal melalui pemantauan rapi dan penyesuaian dos ubat.
Beliau turut menjelaskan bahawa barah buah pinggang tahap lanjut kini semakin boleh diurus seperti penyakit kronik bagi sesetengah pesakit, yang boleh menjalani beberapa jenis rawatan secara berturutan selama bertahun-tahun.
Tiga puluh bulan selepas menerima diagnosis, Encik Tahir kini menjalani rawatan barisan ketiga, iaitu rawatan yang diberikan selepas dua pendekatan terdahulu tidak lagi berkesan.
Beliau juga kembali berbasikal, walaupun jarak kayuhannya kini lebih pendek.
Dr Wong berkata: “Kemajuan dalam rawatan barah bukan sahaja bertujuan melanjutkan jangka hayat pesakit, malah membantu mereka agar dapat terus bekerja, melakukan kegiatan yang digemari dan menikmati mutu kehidupan yang lebih baik.”
Laluan yang ditempuh Encik Tahir mungkin tidak lagi sejauh dahulu, tetapi beliau masih mampu mengayuh.