Pada mulanya, ‘Cik Aminah’ (bukan nama sebenar), seorang eksekutif berusia 32 tahun, tidak menyangka batuk kering yang dialaminya akan membawa kepada diagnosis yang mengejutkan.
Baginya, gejala tersebut hanyalah batuk biasa yang akan sembuh dengan sendiri.
“Saya batuk-batuk beberapa hari, tetapi tiada demam, tiada sesak nafas, tiada rasa lemah badan. Saya teruskan kerja seperti biasa,” kata Cik Aminah ketika ditemui.
Beliau menafikan mempunyai sebarang sejarah perubatan seperti alahan, penyakit paru-paru, barah atau masalah gastrik.
Apatah lagi Cik Aminah bukan perokok dan tidak pernah bekerja di kawasan berhabuk atau terdedah kepada bahan kimia berbahaya.
Pemeriksaan awal di klinik menunjukkan segalanya normal. Ujian x-ray dada dan pemeriksaan fizikal tidak menunjukkan sebarang kelainan.
Ujian spirometri – yang mengukur keupayaan paru-paru untuk mengembang dan mengempis – juga berada dalam julat normal.
Namun begitu, batuk keringnya tetap berlarutan, datang dan pergi walaupun telah menggunakan ubat batuk yang mengandungi codeine.
Cik Aminah mengakui beliau berasa rimas dengan batuk berpanjangan yang akhirnya memaksa beliau untuk berjumpa pakar pernafasan.
“Saya mula rasa risau apabila batuk itu tidak hilang-hilang walaupun dah berminggu. Kadang-kadang malam pun terjaga sebab batuk.
“Dalam kes seperti saya, apabila semua ujian asas adalah normal, tetapi batuk masih berpanjangan tanpa sebab jelas, doktor mula berfikir kemungkinan batuk lelah,” cerita Cik Aminah.
Pakar pulmonologi yang merawatnya menjelaskan batuk lelah atau batuk asma merupakan semput jenis batuk (cough-variant asthma) – sejenis lelah tersembunyi.
Dalam keadaan sedemikian, batuk kering adalah simptom utama, tanpa kehadiran semput atau sesak nafas seperti asma biasa.
Untuk mengesahkan diagnosis, Cik Aminah diminta menjalani ujian, methacholine – satu ujian khas yang mengukur kepekaan saluran pernafasan terhadap rangsangan.
Dalam ujian itu, Cik Aminah menyedut sejenis bahan kimia dipanggil, methacholine, yang berfungsi untuk mencetuskan pengecutan saluran udara dalam paru-paru.
Bagi individu yang mempunyai saluran pernafasan sensitif, seperti pesakit semput, penyedutan methacholine akan menyebabkan saluran udara mengecil lebih cepat dan ketara berbanding orang biasa.
Ujian itu membantu doktor menentukan sama ada batuk berpanjangan Cik Aminah berpunca daripada saluran pernafasan yang terlalu sensitif, iaitu tanda utama batuk lelah.
Keputusan ujian Cik Aminah menunjukkan penurunan 20 peratus dalam FEV1 (isi padu udara dihembus dalam satu saat) pada kepekatan methacholine serendah 0.398 µmol/L – jauh lebih rendah daripada paras normal (>1.4 µmol/L).
“Keputusan ini jelas membuktikan saya mempunyai kepekaan melampau saluran pernafasan terhadap rangsangan – satu ciri utama batuk lelah,” tambah Cik Aminah.
Ujian methacholine adalah standard utama dalam mengenal pasti penyakit itu, dengan ketepatan negatif 100 peratus – bermakna jika ujian itu negatif, sangat besar kemungkinan pesakit tidak menghidap batuk lelah.
Selepas disahkan, Cik Aminah segera memulakan rawatan menggunakan ubat sedut, bronkodilator dan ubat sedut kortikosteroid bagi mengawal keradangan dan melegakan saluran pernafasannya.
“Saya ingatkan kena makan ubat batuk saja. Tapi doktor terangkan rawatan ini untuk ‘menenangkan’ saluran pernafasan saya supaya tidak terlalu sensitif,” katanya.
Dalam masa beberapa minggu, batuk Cik Aminah mula berkurangan secara ketara.
“Saya rasa hidup saya berubah. Saya boleh tidur lena, bercakap tanpa gangguan batuk, dan lebih yakin bersosial,” kata Cik Aminah, tersenyum puas.
Pemeriksaan susulan menunjukkan fungsi paru-parunya kekal normal dan tiada serangan batuk berulang.
Kini, Cik Aminah lebih berhati-hati dalam menjaga kesihatan pernafasannya.
“Saya belajar untuk kenal pencetusnya. Kalau terlalu sejuk, saya pakai pelindung mulut. Kalau batuk sedikit, saya terus guna alat sedut seperti diarahkan doktor,” katanya.
Pencetus yang dimaksudkan merujuk kepada faktor yang boleh menyebabkan atau memburukkan gejala lelahnya.
Antara pencetus utama termasuk pendedahan kepada habuk, udara sejuk, bau wangi yang kuat, asap rokok, serta kegiatan fizikal berat seperti berlari atau mendaki.
Cik Aminah turut berkongsi beliau kini membawa pelan tindakan asma – satu panduan langkah demi langkah yang disediakan oleh doktor untuk menangani gejala dengan segera jika serangan berlaku.
Dengan rawatan yang tepat dan pengurusan pencetus, pesakit batuk lelah seperti Cik Aminah boleh menjalani kehidupan normal tanpa gangguan.
Bagi Cik Aminah, kisahnya adalah satu peringatan bahawa batuk berpanjangan tidak boleh dipandang ringan.
Diagnosis awal dan rawatan yang betul mampu memberikan pesakit peluang untuk hidup sihat dan aktif.
“Jika anda mengalami batuk kering lebih dari enam hingga lapan minggu tanpa sebab yang jelas, segeralah berjumpa pakar untuk pemeriksaan lanjut.
“Kadangkala, gejala kecil mungkin petanda awal kepada masalah kesihatan yang lebih besar.
“Saya bersyukur saya tidak abaikan batuk saya. Kini saya rasa lebih sihat dan lebih memahami badan sendiri,” kongsi Cik Aminah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg