Topik diikuti
Pergi ke BHkuBimbingan NUH bantu suami isteri urus kencing manis anak di rumah
Bimbingan NUH bantu suami isteri urus kencing manis anak di rumah
Seperti kanak-kanak lain, Jareem Dhulqar M M Aasif, lima tahun, juga gemarkan coklat dan kek.
Namun, sejak kecil dia faham kegemaran itu ada batasannya, di mana beberapa cebis coklat sudah memadai, manakala kek yang dipotong ketika sambutan hari jadi juga lebih kecil.
Ini kerana Dhulqar menghidap penyakit kencing manis jenis 1 sejak usianya dua tahun.
Kencing manis jenis 1 adalah sejenis penyakit autoimun, di mana sel-sel yang menghasilkan hormon insulin di organ pankreas dimusnahkan sistem imun tubuh.
Ini menyebabkan tiada hormon insulin langsung yang dihasilkan untuk membolehkan glukosa atau gula diserap ke dalam sel tubuh. Ini menyebabkan kadar gula di dalam darah meningkat sehingga ia mula keluar melalui air kencing, menyebabkan kencing manis.
Insulin ialah hormon yang dihasilkan oleh pankreas dan bertindak sebagai ‘kunci’ untuk membolehkan glukosa atau gula memasuki sel-sel badan.
Dalam kencing manis jenis 2, tubuh menjadi kurang sensitif terhadap insulin lalu menyebabkan glukosa atau gula sukar untuk memasuki sel-sel tubuh walaupun ada insulin.
Masalah tubuh yang kurang responsif terhadap tindakan insulin itu biasanya berkaitan dengan berat badan berlebihan atau obesiti, serta gaya hidup yang tidak sihat seperti kekurangan aktiviti fizikal dan tabiat makan yang kurang sihat.
Bagi Dhulqar, akibat kencing manis yang dialaminya dia perlu bergantung pada insulin sepanjang hayat.
Mujur, ibunya, Cik Roshan Shabiha, 30 tahun, berkata anak tunggalnya itu sudah terbiasa dengan batasan tersebut.
“Sejak kecil lagi, dia perlu mendapatkan suntikan insulin dan makan makanan sihat sebagai sebahagian daripada kehidupan sehariannya.
“Malah, apabila ada sambutan hari jadi dan kami memberinya kek yang dipotong lebih kecil, dia juga faham. Saya rasa dia sudah terbiasa dengan pemakanan yang diamalkannya sekarang,” katanya.
Ini hasil amalan yang diterapkan keluarganya susulan bimbingan pasukan penjagaan di Hospital Universiti Nasional (NUH), yang membolehkan keadaan Dhulqar diuruskan dengan baik di rumah tanpa perlu dimasukkan ke hospital.
Dhulqar adalah antara lebih 300,000 pesakit yang telah meraih manfaat daripada pendekatan penjagaan kesihatan berasaskan nilai yang diperkenalkan Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS) pada 2015.
Dikenali sebagai Penjagaan Sesuai dan Berasaskan Nilai (AVBC), pendekatan itu memberi tumpuan kepada hasil dan pengalaman yang penting kepada pesakit, dengan memastikan mereka menerima penjagaan yang sesuai sambil mengurangkan rawatan yang tidak diperlukan.
NUHS menandakan sedekad perjalanan sejak 2015 itu di Simposium AVBC 2026 pada 15 September, dengan Menteri Negara (Kesihatan merangkap Pembangunan Digital dan Maklumat), Cik Rahayu Mahzam, sebagai tetamu terhormat.
Pendekatan itu membolehkan Dhulqar, yang tidak hadir semasa majlis itu disebabkan sekolah, meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain.
Malah, sejak pertama kali disahkan penyakit itu pada 2024, Dhulqar hanya perlu dimasukkan ke hospital dua kali lagi, kata Cik Roshan, yang bertugas sebagai eksekutif pemasaran dan kemasukan pelajar di sekolah swasta.
“Ketika itu kami sangat takut kerana tidak pernah menjangkakan perkara seperti ini. Kami benar-benar bimbang tentang masa depannya.
“Namun, dengan bimbingan doktor, kami semakin terbiasa dan tahu bagaimana untuk mengurus serta mengawal keadaannya. Kini, kami lebih yakin tentang masa depannya,” kata bapanya, Encik Thajudeen Mohammed Mohideen Aasif, 29 tahun, ketika ditemui selepas majlis simposium itu.
Dengan bimbingan pasukan penjagaan NUH, pasangan itu secara beransur-ansur mempelajari cara memantau paras gula darah Dhulqar, memberikan insulin dan mengenal pasti keadaan yang memerlukan rawatan perubatan.
Laporan daripada alat pemantauan glukosa berterusan (CGM) Dhulqar boleh dihantar kepada pasukan penjagaan setiap bulan melalui e-mel.
Jika timbul sebarang kebimbangan pula, ibu bapanya juga boleh mendapatkan nasihat menerusi WhatsApp sebelum menentukan sama ada Dhulqar perlu dibawa ke hospital.
Konsultan Kanan Pediatrik di Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS), Dr Yvonne Lim, berkata pendidikan ibu bapa menjadi antara aspek penting dalam membolehkan penjagaan sedemikian dilakukan dengan selamat di rumah.
“Ibu bapa sebenarnya orang yang paling sesuai untuk mengurus diabetes anak mereka. Jadi, kami mengajar mereka apa yang perlu dilakukan apabila anak jatuh sakit atau mengalami paras gula darah yang rendah,” kata beliau.
