Setelah bertahun menjaga arwah bapanya melalui rawatan dialisis kerana sakit buah pinggang, Cef Amri Abdul Azim tidak menyangka yang pengalaman itu akan berulang.
Tetapi kali ini, dirinya sendiri yang menghidapi penyakit tersebut dan juga terpaksa menjalani dialisis.
Menceritakan pengalamannya ketika dihubungi Berita Harian (BH), Cef Amri, 48 tahun, berkata beliau mendapat tahu tentang penyakitnya apabila beliau rebah semasa di luar.
“Saya sedang dalam perjalanan untuk membeli barang rumah. Sambil saya berjalan, saya tidak sedar bahawa saya rebah dan sebuah ambulans membawa saya ke hospital.
“Ketika itulah, saya sedar bahawa keadaan kesihatan saya semakin merosot,” kata beliau yang pernah memiliki restoran Le Steak by Chef Amri di Jalan Kayu dan Steak Me di Jalan Pisang.
Apabila mendapat tahu dirinya mengalami masalah buah pinggang – serupa seperti ayahnya, Allahyarham Azim Bulia – bapa kepada dua anak itu mengakui amat terkejut dan berada dalam dilema untuk menjalani pembedahan bagi memulakan dialisis.
“Akhirnya, selepas berbincang dengan isteri saya dan memikirkan tentang dua orang anak saya, saya nekad untuk teruskan. Saya katakan pada diri saya yang ini adalah takdir, satu ujian.
“Jadi saya jalani pembedahan itu untuk memasukkan kateter bagi memulakan rawatan dialisis,” kata beliau yang menjalani rawatan dialisis bersama Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) sejak Disember 2024.
Cef Amri adalah antara 20 pesakit NKF yang mengendalikan reruai untuk menjual barangan semasa Karnival Penjagaan Buah Pinggang NKF 2025, yang julung kali diadakan di One Punggol pada 18 Mei.
Bersama isterinya, Cik Faizura Sanif, mereka menjual koleksi cawan tembikar China peribadinya yang pernah digunakan untuk melayan tamu.
Karnival tersebut yang diadakan bersempena dengan Hari Buah Pinggang Sedunia, bertujuan menghimpunkan mengumpulkan pesakit, orang tersayang mereka, serta orang ramai bagi meningkatkan kesedaran dan menggalakkan sokongan terhadap kesihatan buah pinggang.
Cef Amri, turut berkongsi yang kehidupannya berubah secara drastik selepas memulakan dialisis.
Sebelum itu, beliau juga pernah mengalami angin ahmar dan dikesan menghidapi barah kerongkong meskipun sudah pulih.
Beliau yang menjalani rawatan dialisis di Pusat Dialisis NKF di Pasir Ris Drive, berkongsi bahawa pengalaman tersebut telah mengajarnya tentang peri pentingnya memahami tubuh sendiri, menguruskan tekanan dan tidak mengambil mudah tentang kesihatan.
“Semuanya berubah dengan drastik, 360 darjah. Saya sudah tidak aktif seperti dahulu. Jadi saya perlu menjaga diri saya dengan lebih baik.
“Apabila sudah memulai rawatan dialisis, fikiran anda harus tenang. Saya tidak boleh terlalu stres, terutama kerja dalam industri makanan dan minuman (F&B) sangat banyak tekanan,” ujar Cef Amri.
Turut hadir di karnival tersebut adalah Anggota Parlimen GRC Punggol, Cik Yeo Wan Ling.
Cik Yeo berkata dalam ucapannya bahawa pengalaman menyaksikan sendiri keadaan neneknya yang menderita akibat sakit buah pinggang – yang berubah daripada seorang yang ceria dan aktif kepada terlantar di katil – telah menyedarkannya tentang pentingnya mendidik masyarakat mengenai amalan penjagaan kesihatan buah pinggang yang baik.
Menyentuh tentang sambutan orang ramai di karnival tersebut, beliau berkata:
“Saya rasa ini membuktikan bahawa rakyat Singapura mengambil berat tentang kesihatan mereka, ingin menjalani gaya hidup aktif, dan pada masa yang sama berusaha mengamalkan tabiat pemakanan yang baik – termasuk mengawal pengambilan garam serta memilih makanan yang bukan sahaja enak, tetapi juga sihat.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg