Elak muka berjerawat jelang Lebaran
Cara elak sebelum dan sepanjang musim perayaan
Sambutan Hari Raya lazimnya disambut dengan suasana meriah, kunjungan keluarga serta pelbagai hidangan istimewa.
Namun, di sebalik kegembiraan itu, ramai yang mendapati jerawat mula muncul sepanjang tempoh perayaan, terutama di bahagian pipi, dagu dan dahi.
Namun begitu, anda tidak perlu menjauhi makanan kegemaran atau mengorbankan kemeriahan perayaan.
Kebanyakan jerawat yang muncul ketika Hari Raya sebenarnya berpunca daripada gabungan beberapa faktor pencetus, termasuk pengambilan makanan dan minuman manis, hidangan pedas atau berminyak, serta tabiat tidur lewat.
Faktor lain seperti penggunaan solekan yang tebal dan rutin harian yang terganggu turut menyumbang kepada masalah jerawat.
Dengan langkah pencegahan yang tekal sebelum dan sepanjang musim perayaan, risiko itu dapat dikurangkan.
Punca Jerawat Kerap Timbul Semasa Hari Raya
Jerawat boleh menjadi lebih teruk apabila kulit menghasilkan minyak berlebihan, mengalami kerengsaan atau apabila liang pori tersumbat.
Sepanjang musim perayaan, faktor yang sering menyebabkan jerawat termasuk:
– Kuih-muih dan minuman manis: Pengambilan gula secara berlebihan boleh meningkatkan kerengsaan pada kulit serta merangsang pengeluaran minyak, terutama bagi individu yang mudah mengalami jerawat.
– Makanan pedas seperti sambal, kari dan hidangan berasas cili: Bagi sesetengah individu, makanan pedas boleh mencetuskan kemerahan serta meningkatkan sensitiviti kulit. Apabila diambil seiring hidangan lebih berat dan berminyak, keadaan itu berpotensi memburukkan lagi masalah jerawat.
– Makanan berminyak dan berlemak: Boleh menyumbang kepada liang pori tersumbat khususnya dalam kalangan individu yang memang mudah mengalami masalah liang pori tersumbat.
– Tidur lewat dan tekanan: Kurang tidur boleh meningkatkan hormon stres yang boleh membuat kulit lebih berminyak dan jerawat lebih mudah timbul.
– Solekan tebal dan dipakai lebih lama: Solekan yang bercampur dengan peluh dan minyak boleh menyumbat liang pori jika tidak dibersihkan dengan betul.
– Rutin penjagaan kulit yang tidak tekal akibat sibuk beraya: Mengabaikan langkah pembersihan wajah atau terlalu bergantung pada rawatan segera boleh menyebabkan kulit menjadi sensitif dan mudah rengsa.
Tidak semua individu mengalami kesan yang sama.
Namun, bagi mereka yang mempunyai kulit mudah berjerawat, perubahan rutin sepanjang tempoh perayaan boleh menyebabkan masalah jerawat menjadi lebih ketara.
Persediaan Jelang Hari Raya
Pencegahan paling berkesan harus dimulakan lebih awal, dan bukan hanya beberapa hari sebelum sambutan Hari Raya.
Amalkan penjagaan kulit yang mudah dan tekal.
Rutin pencegahan jerawat yang berkesan lazimnya ringkas, antaranya:
– Pencuci muka yang lembut digunakan pagi dan malam.
– Pelembap bertekstur ringan sesuai untuk semua jenis kulit, termasuk kulit berminyak yang masih memerlukan hidrasi mencukupi.
– Pelindung matahari digunakan setiap hari dan pilih produk yang bersifat tidak menyumbat liang pori atau non-comodegenic.
– Jika kulit sensitif, elak mencuba terlalu banyak produk baharu serentak. Kerengsaan kulit boleh memburukkan jerawat dan menyebabkan kemerahan.
Kurangkan pencetus ‘tersembunyi’ penyumbat pori. Tabiat mudah yang boleh memberi kesan:
– Sering tukar sarung bantal
– Bersihkan skrin telefon
– Pastikan alat solekan dan span sentiasa bersih
– Elakkan menyentuh atau memicit jerawat kerana ia boleh meningkatkan kerengsaan dan risiko parut.
– Pilihan Rawatan di Klinik untuk individu yang sesuai. Bagi individu yang mudah mengalami pori tersumbat atau kerap berjerawat, doktor estetik boleh mencadangkan rawatan mengikut jenis kulit dan tahap sensitiviti:
– Rawatan Pengelupasan Kulit Alpha: Rawatan Wajah Kulit Jernih Seperti Kaca dari Korea (Alpha Peel – Korea Glass Skin Facial)
Rawatan pengelupasan kulit yang lembut boleh membantu masalah pori tersumbat, memperbaiki tekstur yang kasar dan kulit kusam.
Ia juga boleh digunakan untuk kulit sensitif, namun perlu melalui penilaian terlebih dahulu dan dilakukan dengan betul oleh pakar terlatih.
Cadangan tempoh rawatan: Sekitar dua hingga empat minggu sebelum sambutan Hari Raya.
– Rawatan penggalak kulit tanpa jarum (Needleless skinbooster): Tidak semua rawatan hidrasi melibatkan penggunaan jarum.
Bagi sesetengah individu, masalah jerawat boleh menjadi lebih teruk apabila kulit terlalu kering dan lapisan perlindungan semula jadi kulit menjadi lemah.
Rawatan ini membantu meningkatkan tahap hidrasi kulit serta menguatkan perlindungan kulit supaya lebih tahan terhadap kerengsaan.
Cadangan tempoh rawatan: sekitar satu hingga tiga minggu sebelum Hari Raya.
Langkah Nikmati Hari Raya Tanpa Jejas Kesihatan Kulit
Bersihkan wajah dengan betul walau letih
Selepas seharian berjalan Raya, langkah paling penting adalah membersihkan wajah daripada solekan, pelindung matahari dan peluh.
Solekan tebal sebaik-baiknya dibersihkan menggunakan kaedah pembersihan berganda.
Langkah itu bermula dengan penanggal solekan atau pencuci berasaskan minyak, diikuti pembersih lembut yang sesuai dengan kulit.
Ini membantu mengurangkan pori-pori tersumbat dan mencegah jerawat daripada menjadi lebih teruk.
Pilih solekan yang ‘mesra kulit’
Pilih produk asas yang tidak menyumbat liang pori atau non-comedogenic.
Elakkan penggunaan terlalu banyak produk bertekstur berat secara berlapis.
Bersihkan wajah daripada solekan sebaik sahaja tiba di rumah.
Usah tidur dengan solekan walaupun hanya tidur seketika.
Kawal makanan manis dan pedas
Juadah kegemaran musim perayaan boleh terus dinikmati asalkan pengambilannya dilakukan secara berpada-pada.
Pastikan pengambilan kuih-muih diimbangi dengan makanan seharian dan tidak snek berterusan sepanjang hari.
Jika makanan pedas mudah mencetuskan kemerahan atau sensitiviti pada kulit, kurangkan pengambilannya untuk sementara dan kekalkan rutin penjagaan kulit yang menyokong pemulihan kulit.
Pastikan pengambilan air mencukupi bagi menyokong keseimbangan kulit terutama jika hidangan yang diambil masin, pedas atau berminyak.
Utamakan waktu tidur; kulit perlukan pemulihan
Walaupun hanya beberapa hari tidur lewat, ia boleh mencetuskan jerawat menjadi lebih ketara. Oleh itu, sasarkan untuk:
– Tidur secara tekal sebanyak yang mampu
– Berehat seketika di waktu siang jika tidur malam tidak mencukupi
– Kekalkan rutin penjagaan kulit ringkas dan mudah diamalkan di waktu malam.
Elak usik jerawat sebaliknya dapatkan rawatan awal
Jika jerawat mula timbul:
– Elakkan memicit kerana ia boleh meningkatkan keradangan muka dan risiko parut.
– Gunakan perawatan khusus pada jerawat mengikut kesesuaian dan nasihat yang tepat untuk kulit anda.
– Dapatkan nasihat profesional jika jerawat menjadi sakit, merebak atau berpanjangan
Kesimpulan
Bagi kebanyakan individu, berjerawat ketika Hari Raya sebenarnya boleh dielakkan.
Kuncinya ialah perancangan awal, rutin penjagaan kulit yang tekal serta perlindungan berterusan terhadap lapisan kulit sepanjang musim perayaan.
Jika kulit anda mudah berjerawat dan masalah yang dialami kerap berlaku, menyakitkan atau meninggalkan kesan gelap, dapatkan nasihat dan rawatan doktor bagi pengurusan yang lebih selamat dan berkesan.
Ini amat penting terutama menjelang musim perayaan apabila rutin harian dan pemakanan sering berubah.
Nota: Artikel ini adalah untuk maklumat umum. Kesesuaian rawatan berbeza bagi setiap individu dan perlu dinilai oleh pengamal perubatan yang bertauliah.
Penulis ialah doktor estetik dan Pengasas dan Pengarah Perubatan Kecantikan di Alpha Asia Aesthetics.


