Istilah demensia merujuk kepada sindrom klinikal apabila seseorang pesakit mengalami gejala kognitif yang cukup teruk sehingga menjejas keupayaan mereka untuk menjalankan kegiatan harian (ADL).
Kegiatan ini boleh merangkumi keperluan asas seperti mandi, berpakaian dan makan, mahupun perkara yang lebih kompleks seperti membeli-belah, mengemas rumah dan mengambil ubat.
Demensia bukanlah satu penyakit tunggal, sebaliknya ia adalah sindrom yang boleh disebabkan oleh pelbagai faktor.
Kategori penyebab yang paling lazim adalah penyakit neurodegeneratif iaitu penyakit yang menyebabkan kematian sel saraf (neuron) dan pengecutan otak secara bertahap.
Penyakit Alzheimer merupakan penyebab paling biasa dalam kategori ini, dan juga yang paling kerap dikaitkan dengan demensia dalam kalangan masyarakat umum.
Namun begitu, terdapat juga penyebab demensia yang bukan bersifat neurodegeneratif. Contohnya termasuk penyakit serebrovaskular seperti strok iskemia (angin ahmar akibat penyumbatan saluran darah ke otak).
Penyebab neurodegeneratif ini memberi kesan kepada otak dengan cara merosakkan dan mematikan sel-sel saraf serta mengecutkan tisu otak secara progresif.
Akibatnya, pesakit akan mengalami kemerosotan daya kognitif dan fungsi harian dari semasa ke semasa.
Punca utama demensia, berdasarkan anggaran kekerapan dari yang paling lazim, termasuk penyakit Alzheimer, demensia vaskular (iaitu demensia yang berlaku selepas strok iskemia atau jenis penyakit serebrovaskular lain), demensia Lewy body dan demensia frontotemporal.
Demensia campuran juga kerap berlaku, iaitu keadaan di mana seseorang pesakit mengalami lebih daripada satu punca demensia secara serentak – contohnya, gabungan antara penyakit Alzheimer dengan demensia vaskular.
Apabila usia seseorang meningkat, semakin besar kemungkinan untuk mereka mengalami lebih daripada satu punca demensia secara serentak, berbanding hanya satu punca tunggal.
Bagi demensia yang berpunca daripada penyakit neurodegeneratif, gejalanya akan menjadi semakin teruk secara beransur-ansur.
Corak kemerosotan itu berbeza antara seorang pesakit dengan yang lain – ada yang merosot dengan cepat, manakala ada pula yang mengalami penurunan secara perlahan.
Punca demensia yang bukan neurodegeneratif seperti dementia vaskular, boleh menunjukkan corak perkembangan berbeza.
Sebagai contoh, demensia vaskular biasanya menunjukkan penurunan secara berperingkat, dengan setiap penurunan berkait dengan berlakunya angin ahmar baru.
Namun begitu, pesakit dengan demensia vaskular juga boleh kekal stabil selama bertahun-tahun jika tiada angin ahmar baru berlaku.
Keadaan ini selalunya bergantung kepada kawalan yang baik terhadap faktor risiko kardiovaskular seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan paras kolesterol yang tinggi (hiperlipidemia).
Pada peringkat awal demensia, pesakit dan anggota keluarga mereka mungkin mula menyedari kesukaran pesakit untuk berfungsi seperti biasa, sama ada dalam pekerjaan mahupun dalam menjalankan kegiatan harian.
Gangguan fungsi itu lazimnya berpunca daripada gejala kognitif, seperti mudah lupa, kesukaran merancang atau menyelesaikan tugasan kompleks, masalah dalam mengenal arah atau kesukaran berbahasa.
Contohnya termasuk pesakit yang tiba-tiba gagal menguruskan perbelanjaan harian, tersesat semasa memandu ke lokasi biasa, atau menghadapi kesukaran dalam mencari perkataan yang sesuai ketika bercakap.
Proses diagnosis demensia biasanya bermula apabila pesakit atau anggota keluarga mereka menyedari gejala kognitif.
Pesakit kemudian akan mendapatkan nasihat doktor, yang akan menjalankan beberapa langkah pemeriksaan.
Pertama, doktor akan mengambil sejarah kesihatan secara menyeluruh, termasuk butiran tentang gejala yang dialami dan sejarah perubatan pesakit.
Selepas itu, pemeriksaan fizikal akan dilakukan, diikuti dengan beberapa ujian tertentu. Ujian yang biasa dijalankan termasuk:
– Ujian darah, seperti pemeriksaan fungsi tiroid, bagi menolak kemungkinan penyebab lain.
– Ujian kognitif di sisi katil, contohnya Montreal Cognitive Assessment (MoCA), yang menilai daya ingatan, perhatian, bahasa dan keupayaan menyelesaikan masalah.
– Imbasan otak, seperti imbasan tomografi berkomputer (CT scan) atau pengimejan resonans magnetik (MRI), bagi melihat sebarang perubahan struktur dalam otak seperti pengecutan otak atau kesan angin ahmar.
Maklumat yang dikumpulkan daripada semua ujian itu akan membantu doktor membuat diagnosis yang sesuai – sama ada demensia, mild cognitive impairment (kemerosotan kognitif ringan yang sering menjadi pendahulu kepada demensia), atau diagnosis lain yang berkaitan.
Bagi sesetengah pesakit, doktor mungkin perlu memilih ujian lain yang berbeza atau menjalankan ujian tambahan mengikut keadaan klinikal pesakit.
Rawatan standard bagi demensia pada masa ini ialah pendekatan pelbagai domain termasuk:
– Senaman fizikal: Dengan matlamat mencapai sasaran Garis Panduan Kegiatan Fizikal Singapura iaitu 150 hingga 300 minit senaman setiap minggu.
– Kekal aktif secara mental, seperti meneruskan pekerjaan, melakukan hobi dan membaca akhbar.
– Kekal aktif secara sosial: Bergaul dengan keluarga, rakan atau masyarakat sekitar.
– Mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang.
– Mengawal penyakit sedia ada dengan baik, terutama faktor risiko kardiovaskular seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, dan kolesterol.
Pendekatan pelbagai domain itu terbukti berkesan dalam mengurangkan risiko kemerosotan kognitif dalam kalangan warga emas yang berisiko tinggi mengalami demensia.
Selain itu, doktor kadangkala akan menetapkan ubat-ubatan yang boleh membantu memperbaiki gejala demensia, walaupun ubat itu tidak mengubah perjalanan semula jadi penyakit tersebut.
Antara ubat yang biasa digunakan termasuk donepezil, rivastigmine dan memantine.
Dalam beberapa kes, doktor juga mungkin mencadangkan suplemen tertentu yang telah disokong oleh bukti daripada ujian klinikal.
Rawatan baru yang sedang diperkenalkan ialah ubat anti-amyloid seperti lecanemab, yang telah diluluskan di Amerika Syarikat pada 2022, tetapi masih belum mendapat kelulusan di Singapura.
Berbeza dengan ubat simptomatik, ubat itu berpotensi mengubah haluan penyakit dementia itu sendiri.
Bagaimanapun, ubat itu perlu diberikan melalui suntikan ke dalam saluran darah secara berkala, membawa risiko kesan sampingan yang ketara, memerlukan imbasan MRI otak secara kerap untuk tujuan pemantauan, dan dijangka melibatkan kos yang tinggi.
Pesakit yang berminat mempertimbangkan rawatan itu disarankan agar berbincang terlebih dahulu dengan doktor pakar dalam penjagaan pesakit demensia.
Kajian terdahulu menunjukkan keputusan yang bercanggah berkenaan perbezaan kadar berlakunya demensia antara kumpulan etnik utama di Singapura, iaitu India, Cina, dan Melayu.
Oleh itu, saya berpandangan masih belum dapat dibuat sebarang kesimpulan yang pasti dalam hal ini.
Sebagai nota sampingan yang berkait rapat, adalah wajar untuk berhati-hati apabila membuat kenyataan muktamad mengenai sesuatu faktor risiko atau pelindung yang dikatakan boleh meningkatkan atau mengurangkan risiko demensia.
Terdapat beberapa faktor yang telah dibuktikan secara kukuh melalui pelbagai penyelidikan dan boleh dianggap sebagai fakta yang hampir tidak dapat disangkal.
Sebagai contoh, umur yang lanjut ialah faktor risiko yang telah lama dikenal pasti dan terbukti secara meluas.
Begitu juga dengan pengasingan sosial dan tahap pendidikan yang rendah – kededuanya adalah faktor risiko yang telah dikaji dan disokong berdasarkan banyak bukti.
Namun, dalam konteks Singapura, faktor kaum atau etnik masih belum mempunyai bukti kukuh yang menunjukkan perkaitan secara langsung dengan risiko demensia.
Belum ada kajian yang mencukupi untuk menyokong sama ada etnik tertentu mempunyai risiko lebih tinggi atau rendah.
Sebaliknya, dalam konteks Amerika, terdapat beberapa kajian yang menunjukkan individu bukan berkulit putih mempunyai risiko lebih tinggi mengalami demensia berbanding individu berkulit putih.
Namun, adalah terlalu ringkas untuk menyatakan etnik semata-mata menjadi penyebab utama.
Ini kerana etnik bukan kulit putih sering dikaitkan dengan pelbagai faktor sosial dan biologi yang telah terbukti mempengaruhi risiko demensia, seperti tahap pendidikan yang rendah, tekanan darah tinggi, dan faktor kardiovaskular yang lain.
Untuk memisahkan dan mengenal pasti faktor yang benar-benar memainkan peranan utama dalam peningkatan risiko demensia dalam kumpulan etnik tertentu, penyelidikan yang teliti dan rapi perlu dilakukan.
Tambahan pula, laporan mengenai perbezaan kesihatan antara kaum membawa implikasi sosial yang besar.
Oleh itu, walaupun kita tidak seharusnya mengabaikan kewujudan jurang kesihatan ini – kerana ketidakseimbangan yang benar perlu ditangani – kita hanya wajar melaporkannya jika terdapat bukti yang kukuh.
Dalam kes Singapura, bukti tersebut masih belum mencukupi.
Dalam konteks mendidik masyarakat awam, pendekatan yang paling wajar adalah dengan memberi tumpuan kepada faktor risiko demensia yang telah terbukti dan diterima secara meluas dalam masyarakat saintifik.
Kajian menunjukkan individu yang bercerai atau berpisah mungkin mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami demensia berbanding pasangan yang telah berkahwin.
Ini berkemungkinan kerana individu yang tidak berkahwin mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami pengasingan sosial, dan keadaan ini secara langsung meningkatkan risiko untuk menghidap demensia.
Terdapat bukti individu dengan tahap pendidikan di bawah peringkat rendah mempunyai risiko lebih tinggi mengalami demensia berbanding mereka yang mempunyai pendidikan tinggi.
Penulis Pakar Perunding, Bahagian Neurologi, Jabatan Perubatan, Hospital Universiti Nasional (NUH).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg