Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jangan berkorban sampai ‘terkorban’

Jun 12, 2023 | 5:30 AM
-
-

MUHAMMAD HAIKAL JAMIL

Hari Raya Haji, yang juga dikenali sebagai Hari Raya Korban, merupakan hari istimewa dalam kalendar Islam.

Ia bagi memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim as yang beriman kepada Allah swt. Baginda rela mengorbankan anaknya, Nabi Ismail as, demi mengikut perintah Allah swt.

Pada zaman Nabi Muhammad saw terdapat juga pelbagai kisah sahabat yang berkorban untuk Baginda dan agama.

Salah satu contohnya ialah semasa hijrah ke Madinah, di mana Sayidina Abu Bakar bukan menemani Nabi dalam perjalanan tersebut sahaja, malah melindungi Nabi dengan bersedia mengorbankan nyawanya sendiri.

Berkorban dilihat sebagai satu perbuatan mulia baik oleh agama mahupun masyarakat amnya.

Pengorbanan yang dilakukan oleh ibu bapa merupakan faktor mereka mempunyai status yang tinggi dari kaca mata agama dan masyarakat.

Hasil kajian juga menunjukkan bahawa individu lebih menghormati dan menghargai orang yang banyak berkorban untuk mereka sebelum ini.

Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana pengorbanan menunjukkan sejauh mana seseorang individu terlibat dalam hubungan dan kepekaan mereka terhadap keperluan orang lain.

Erti pengorbanan

Bagaimana kita mentakrifkan ‘pengorbanan’? Pengorbanan merujuk kepada tindakan mendahulukan keperluan orang lain daripada kepentingan diri sendiri.

Ini boleh berlaku dalam tindakan penting, seperti menderma organ anda kepada seseorang yang anda sayangi atau, yang lebih mudah, seperti mengalah semasa dalam pertengkaran.

Walaupun perbuatan berkorban dipandang tinggi, kecenderungan mengorbankan diri secara berterusan boleh merosakkan dan berbahaya kepada kesihatan mental seseorang.

Dari sudut psikologi, perbuatan individu yang sering mengorbankan diri untuk orang lain disebut sebagai ‘pengorbanan diri’.

Jika dibandingkan dengan penduduk secara umum, sekurang-kurangnya 50 peratus individu yang melakukan ‘pengorbanan diri’ berkemungkinan mengalami kemurungan dan kebimbangan.

Untuk mengenal pasti sama ada anda tergolong dalam kategori mereka yang melakukan ‘pengorbanan diri’ ini, anda boleh bertanya kepada diri sendiri soalan-soalan berikut ini:

– Adakah anda lebih kerap memberi atau menerima daripada orang lain?

– Adakah anda mengorbankan kepentingan anda sendiri demi membantu orang lain?

– Adakah anda berasa sukar menolak permintaan orang lain, walaupun permintaan itu menyusahkan diri anda?

– Adakah kebahagiaan orang lain penting bagi anda?

– Adakah anda cenderung menghentikan apa yang sedang dilakukan bagi membantu orang yang anda sayangi apabila mereka memerlukannya?

Jika anda menjawab ‘ya’ kepada kebanyakan soalan di atas, anda berkemungkinan tergolong dalam kalangan mereka yang ‘mengorbankan diri’. Anda sentiasa memberi dan membantu orang lain, dan mendahulukan keperluan orang lain daripada keperluan anda sendiri.

Anda juga mungkin disayangi dalam kalangan rakan dan keluarga anda kerana anda sering dilihat sebagai seorang yang baik hati yang sentiasa bersedia untuk bersama mereka.

Jika anda seorang yang rela berkorban, tindakan pengorbanan anda itu boleh menguatkan diri apabila anda berasa positif hasil kebaikan yang anda lakukan.

Anda mungkin berasa puas dan gembira dengan apa yang anda lakukan apabila orang sekeliling menzahirkan penghargaan di atas pengorbanan anda.

Anda berasa gembira kerana telah melakukan sesuatu yang baik dan membantu insan yang anda sayangi. Anda mungkin berbangga kerana menjadi individu yang prihatin terhadap orang lain dan berasa selesa menjadi orang yang dipercayai oleh orang lain.

Semua ini meningkatkan kemungkinan anda terus mengutamakan keperluan orang lain daripada diri sendiri.

Seperti yang dinyatakan di atas, ada batasan sejauh mana anda dapat mengorbankan diri demi orang lain sebelum ia memudaratkan kesejahteraan anda sendiri.

Anda tidak hanya berisiko mengalami masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan kebimbangan, anda juga mungkin mengalami keletihan – apabila anda telah kehabisan tenaga dan tidak dapat melibatkan diri dalam kehidupan dengan cara yang anda suka.

Mereka yang ‘mengorbankan diri’ juga mungkin mula berasa tidak puas hati apabila orang di sekeliling sudah terbiasa mengutamakan orang lain dan terus mengharapkan mereka untuk berbuat demikian.

Adalah sangat penting untuk anda mengambil kira keperluan tenaga dan emosi anda jika anda adalah seorang yang suka berkorban.

Katakan ‘tidak’

Pertama, anda boleh memutuskan kitaran ini dan mula menjaga diri anda sendiri serta bersedia mengatakan ‘tidak’ kepada apa yang diminta daripada anda.

Ini kerana mereka yang sentiasa mengorbankan diri sering mengambil tindakan mengatakan ‘ya’ kerana mereka bimbang orang yang mereka sayangi akan menganggap mereka sebagai egois dan tidak menyukai mereka.

Anda juga boleh belajar menetapkan batasan, mengetahui batasan anda sendiri dan memberi keutamaan kepada diri sendiri daripada orang lain.

Satu perkara penting untuk diingat ialah anda perlu memantau dan melihat apa yang membuat anda berasa tidak selesa dan kecewa. Dengan itu, anda dapat menetapkan batasan bagi isu-isu tersebut dan menghentikan diri anda daripada melakukan sesuatu yang tidak membuat anda bahagia.

Batasan-batasan ini boleh ditetapkan dengan berkomunikasi secara aktif dengan pihak lain tentang keperluan dan kehendak anda sendiri.

Tekankan bahawa beberapa isu bukan dalam keupayaan seseorang untuk membantu.

Belajar mengatakan ‘tidak’ secara wajar adalah penting dalam mengekalkan batasan-batasan ini.

Saya tidak mengesyorkan anda mengatakan ‘tidak’ sepanjang masa.

Simpan tenaga anda untuk sesuatu majlis dan untuk orang yang benar-benar memerlukan anda. Ini akan mencegah anda daripada mengalami keletihan dan membolehkan anda menyimpan tenaga fizikal dan emosi.

Adalah penting untuk anda belajar memberi keutamaan kepada kesejahteraan dan keperluan anda sendiri daripada kesejahteraan dan keperluan orang lain.

Untuk berbuat demikian, anda boleh menyusun senarai keutamaan, keperluan dan keinginan anda. Senarai ini membantu untuk menetapkan had dan batasan pada tahap bantuan yang dapat anda berikan.

Anda boleh merujuk kepada senarai ini dan mempertimbangkan sama ada anda harus membantu orang lain, berdasarkan keselarasan tugas dengan keperluan dalam senarai itu. Apakah anda bersedia secara mental dan fizikal membantu orang tersebut?

Senarai ini berfungsi sebagai peringatan tentang tugas dan individu mana yang harus anda utamakan.

Sebagai contoh, saya tahu tentang pelanggan saya yang berkorban, yang akan melakukan apa sahaja untuk membantu orang lain yang tidak berada dalam lingkungan sosialnya yang rapat.

Mempunyai senarai membantu mereka mengambil kira siapa yang harus dibantu.

Akhir sekali, anda boleh mengingatkan diri anda bahawa anda tidak dapat membantu semua orang yang anda kenali. Ada batasan pada apa yang anda dapat lakukan.

Adalah wajar dan dapat difahami jika anda tidak selalu dapat membantu orang lain, dan tidak perlu berasa bersalah atau menyalahkan diri sendiri.

Walaupun pengorbanan adalah perbuatan mulia, ia tidak sepatutnya dilakukan dengan mengorbankan kesihatan fizikal dan emosi anda.

Beberapa orang yang biasa dengan pengorbanan anda mungkin tidak memberikan respons positif terhadap perubahan tingkah laku anda.

Dalam kes sebegini, usah mengalah kepada keinginan untuk berkorban jika anda melakukannya di luar batas kemampuan anda untuk rasa gembira.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg