Topik diikuti
Pergi ke BHkuJerebu: Awasi gejala sesak nafas dalam kalangan kanak-kanak
Jerebu: Awasi gejala sesak nafas dalam kalangan kanak-kanak
Bayi dan kanak-kanak lebih mudah terjejas apabila jerebu melanda kerana sistem imun dan mekanisme pertahanan paru-paru mereka masih belum matang.
Mereka juga bernafas lebih pantas berbanding orang dewasa.
Keadaan itu menyebabkan mereka menyedut jumlah zarah pencemar yang secara relatifnya lebih tinggi berbanding saiz tubuh mereka, sekali gus meningkatkan risiko mengalami kerengsaan mata dan saluran pernafasan.
Pakar perubatan kanak-kanak berkata perhatian lebih perlu diberikan kepada mereka yang mempunyai penyakit sedia ada seperti asma, masalah paru-paru kronik atau penyakit jantung apabila mutu udara merosot.
Adjung Penolong Profesor Thomas Biju, Konsultan Kanan Perubatan Respiratori di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH), berkata kegiatan di luar perlu dikurangkan apabila Indeks Pencemaran Udara (PSI) melepasi paras tidak sihat.
“Kanak-kanak kecil, terutama mereka yang mempunyai masalah paru-paru atau jantung, harus mengurangkan kegiatan luar yang berpanjangan atau lasak jika PSI melebihi 100,” katanya.
Pendedahan kepada jerebu dalam tempoh singkat boleh menyebabkan mata gatal, merah atau berair, hidung berair atau tersumbat, bersin, tekak kering atau sakit serta batuk kering.
Sesetengah kanak-kanak juga mungkin mengalami kesukaran bernafas atau tidak mampu melakukan kegiatan fizikal seperti biasa.
Menurut Dr Biju, gejala ringan biasanya akan beransur pulih selepas pendedahan kepada jerebu dikurangkan.
“Kanak-kanak yang terdedah kepada jerebu dan mengalami gejala ringan biasanya akan pulih dengan sendiri jika pendedahan seterusnya dikurangkan.
“Bagaimanapun, jika gejala berterusan atau mengganggu, mereka perlu mendapatkan bantuan perubatan,” katanya.
Pesakit asma perlu lebih berhati-hati
Risiko lebih tinggi dihadapi kanak-kanak yang mempunyai asma, alahan hidung atau rinitis alergi, konjunktivitis alergi dan penyakit paru-paru kronik.
Jerebu boleh menyebabkan gejala sedia ada menjadi lebih teruk, termasuk mencetuskan serangan asma yang mungkin memerlukan rawatan kecemasan.
Kanak-kanak yang mengalami rinitis alergi pula mungkin berdepan hidung lebih gatal, berair atau tersumbat.
Jika PSI melebihi 100 dan kanak-kanak yang menghidap asma mula batuk, mengalami nafas berbunyi atau sesak nafas, ibu bapa disaran mengikuti pelan tindakan asma yang telah ditetapkan doktor.
Ubat biasa juga perlu diteruskan seperti diarahkan dan bukannya dihentikan hanya kerana kanak-kanak lebih banyak berada di rumah.
Sebagai panduan, apabila PSI melebihi 100, kegiatan luar yang lama atau lasak perlu dikurangkan.
Apabila bacaan melepasi 200, aktiviti luar perlu diminimumkan, manakala jika PSI melebihi 300, kegiatan di luar harus dielakkan.
Mengurangkan aktiviti luar tidak bermakna kanak-kanak langsung tidak boleh bergerak dari satu tempat ke tempat lain.
Perjalanan biasa antara kawasan tertutup masih boleh dilakukan, tetapi kegiatan pilihan seperti bermain di taman, bersukan atau berada lama di taman permainan sebaik-baiknya dielakkan.
Bayi baru lahir perlu perlindungan tambahan
Bayi baru lahir memerlukan perhatian khusus kerana sistem pernafasan mereka masih berkembang.
Konsultan Emeritus Jabatan Neonatologi KKH, Profesor Klinikal Victor Samuel Rajadurai, berkata bayi boleh berada di dalam bilik berhawa dingin sepanjang hari ketika jerebu, asalkan suhu ditetapkan pada paras sesuai.
“Menempatkan bayi di dalam bilik berhawa dingin sepanjang hari adalah selamat selagi suhu ditetapkan antara 22 dengan 24 darjah Celsius dan bukannya 18 hingga 19 darjah Celsius,” katanya.
Beliau mengingatkan ibu bapa supaya tidak memasang langsir, kain atau penutup di sekeliling katil bayi dengan anggapan ia boleh menghalang jerebu.
Zarah halus masih boleh menembusi penutup sedemikian, sementara kain yang menutupi ruang tidur boleh meningkatkan risiko bayi menjadi terlalu panas.
Pelitup muka juga tidak boleh dipakaikan kepada bayi, sama ada di dalam atau di luar rumah.
Jika menggunakan alat pembersih udara, ibu bapa boleh memilih peralatan dengan penapis zarah udara berkecekapan tinggi (HEPA), tetapi perlu mengelakkan alat yang menghasilkan ozon kerana ia boleh memudaratkan bayi.
Pintu dan tingkap pula sebaik-baiknya ditutup ketika mutu udara buruk dan dibuka semula apabila keadaan bertambah baik.
Usah anggap semua gejala daripada jerebu
Bayi yang terdedah kepada jerebu boleh mengalami mata merah atau berair, hidung berair atau tersumbat, batuk kering dan kesukaran bernafas ringan.
Bersin pula lazim berlaku dalam kalangan bayi baru lahir dan tidak semestinya menunjukkan mereka mengalami masalah akibat jerebu.
Jika mata bayi terus merah atau mengeluarkan cecair, pemeriksaan doktor disarankan untuk memastikan ia bukan disebabkan jangkitan.
“Jika jangkitan mata telah diketepikan, titisan larutan garam biasa boleh membantu membersihkan zarah habuk atau bahan yang menyebabkan kerengsaan pada mata,” kata Profesor Rajadurai.
Lebih perhatian perlu diberikan kepada bayi pramatang, bayi dengan penyakit jantung kongenital, mereka yang memerlukan bantuan pernafasan atau oksigen untuk tempoh panjang serta bayi yang menggunakan oksigen di rumah.
“Ibu bapa perlu lebih berwaspada. Jika gejala pernafasan seperti batuk yang semakin teruk atau kesukaran bernafas berlaku, dapatkan nasihat pakar pediatrik atau neonatologi lebih awal dan jangan sekadar menganggapnya berpunca daripada jerebu,” katanya.
N95 mungkin tidak sesuai untuk kanak-kanak
Penggunaan pelitup N95 dalam kalangan kanak-kanak juga perlu diberi perhatian.
Pelitup N95 direka untuk menghasilkan kedapan rapat pada wajah supaya dapat menapis zarah halus.
Kebanyakan N95 yang terdapat di pasaran bagaimanapun tidak direka mengikut saiz wajah kanak-kanak.
“Banyak pelitup N95 yang tersedia mungkin tidak muat dengan rapat pada wajah kanak-kanak, jadi keberkesanannya mungkin tidak sama seperti pada orang dewasa yang memakai pelitup dengan saiz dan kedapan yang betul,” ujar Profesor Biju.
Tiada piawaian pensijilan antarabangsa khusus bagi pelitup N95 kanak-kanak, sementara pelitup pembedahan biasa pula tidak direka untuk memberikan perlindungan berkesan terhadap zarah halus PM2.5.
Pelitup tidak diperlukan ketika berada di dalam rumah dengan mutu udara dalaman yang baik dan tidak boleh digunakan pada bayi baru lahir.
Kebanyakan kesan hanya sementara
Di rumah, ibu bapa boleh mengurangkan kemasukan jerebu dengan menutup pintu dan tingkap apabila PSI tinggi, menggunakan penyaman udara dengan penapis yang diselenggara dengan baik serta alat pembersih udara HEPA jika ada.
Kanak-kanak juga perlu minum air secukupnya dan kegiatan fizikal berat perlu dikurangkan ketika mutu udara buruk.
Bagi kebanyakan kanak-kanak yang sihat, kesan pendedahan jangka pendek kepada jerebu biasanya tidak berkekalan.
“Lazimnya, kesan buruk pendedahan akut kepada jerebu bersifat sementara jika anak anda sihat.
“Kesan buruk jangka panjang biasanya tidak berlaku kecuali terdapat pendedahan yang berpanjangan dan kuat selama berbulan-bulan atau bertahun-tahun,” kata Profesor Biju.
Pakar menegaskan ibu bapa tidak perlu panik setiap kali jerebu melanda, tetapi perlu memahami risiko berdasarkan keadaan kesihatan anak masing-masing.
Sekiranya batuk, sesak nafas atau gejala lain bertambah buruk atau tidak pulih selepas pendedahan dikurangkan, kanak-kanak perlu diperiksa doktor, terutama mereka yang mempunyai asma, penyakit jantung atau masalah paru-paru sedia ada.