Jumlah kalori bagi hidangan yang biasa dimakan oleh rakyat Singapura telah didapati meningkat pada 2025 berbanding 2023, antaranya disebabkan bahagian ruji diproses dan kandungan lemak tepu yang lebih tinggi dalam hidangan sedemikian.

Nasi beriani, sebagai contoh, menyaksikan jumlah kalori meningkat daripada 970 kilokalori (kcal) pada 2023 kepada 1,310 kcal pada 2025, menurut Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB).

Ia diterbitkan pada 3 Oktober di samping statistik tahunan Tinjauan Kesihatan Penduduk Nasional (NPHS) 2025 oleh Kementerian Kesihatan (MOH).

HPB mendapati antara sebab jumlah kalori hidangan ini meningkat adalah bahagian nasi dan kuah yang lebih banyak.

Selain nasi beriani, hidangan yang didapati meningkat jumlah kalori sejak kebelakangan ini ialah nasi lemak dan nasi ayam.

Kalori nasi lemak naik daripada 749 kcal pada 2023 kepada 922 kcal pada 2025, manakala kalori nasi ayam meningkat kepada 646 kcal pada 2025 berbanding 557 kcal pada 2023.

Dapatan ini berlatarbelakangkan pengambilan kalori secara purata yang meningkat dalam kalangan rakyat Singapura – pada 2025, jumlah itu adalah 2,460 kcal berbanding 2,360 kcal pada 2019, iaitu peningkatan 100 kcal sepanjang enam tahun.

Jumlah ini lebih tinggi daripada pengambilan kalori harian yang disarankan HPB, iaitu antara 1,800 dengan 2,200 kcal, menurut laman rasmi kesihatan pemerintah healthhub.sg.

Sekilas hasil dapatan NNS dan NPHS 2025

  1. Lebih separuh warga emas berusia 50 hingga 69 tahun tidak dapat pengambilan protein yang disarankan
  2. Sup dalam hidangan mi soto dan nasi ayam penyet antara makanan yang didapati dengan kandungan garam tinggi
  3. Sebahagian besar (70 peratus) pelanggan teh buih minta kurang gula dalam minuman
  4. Produk dengan label gred khasiat Nutri-Grade A atau B naik 70 peratus pada 2025 berbanding 29 peratus pada 2017