Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ketumbuhan limfoma boleh jejas organ seluruh badan

Aug 14, 2023 | 5:30 AM
KETUMBUHAN LIMFOMA: Kelenjar limfa ini berada di banyak tempat pada badan terutama sekali pada leher, bawah ketiak dan paha. Gejala-gejala umum mudah dilihat dipanggil ‘B symptoms’ seperti demam, berpeluh terutama pada waktu malam dan penurunan berat badan yang ketara.
KETUMBUHAN LIMFOMA: Kelenjar limfa ini berada di banyak tempat pada badan terutama sekali pada leher, bawah ketiak dan paha. Gejala-gejala umum mudah dilihat dipanggil ‘B symptoms’ seperti demam, berpeluh terutama pada waktu malam dan penurunan berat badan yang ketara. - Foto ISTOCKPHOTO

Pengumuman yang dibuat oleh cef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail, 65 tahun, atau mesra disapa Cef Wan bahawa beliau telah disahkan menghidap barah limfoma baru-baru ini agak mengejutkan.

Menerusi entri di Instagram (IG) miliknya, Cef Wan memaklumkan dirinya kini dalam keadaan stabil kerana barah yang dihidapinya masih di peringkat awal.

Jelasnya, beliau didiagnos menghidap barah itu selepas menjalani ujian electrocardiogram (ECG) di hospital.

Beliau juga mempunyai peluang kira-kira 70 hingga 80 peratus untuk sembuh dengan menjalani rawatan kemoterapi sebanyak 13 kitaran dalam jangka tempoh 13 minggu.

Apakah sebenarnya barah limfoma? Berita Harian berkongsi tentang penyakit tersebut.

Barah limfoma

Limfoma, sejenis yang berkaitan dengan sel-sel tertentu dalam sistem imunisasi tubuh manusia. Ia berkembang dalam sel darah putih yang dipanggil limfosit.  Sel-sel limfosit ini memainkan peranan penting dalam melindungi tubuh daripada jangkitan dan penyakit.  

Sama seperti jenis-jenis barah lain, limfoma juga terbahagi kepada beberapa kategori berbeza, iaitu hampir 35 jenis yang telah dikenal pasti. Jenis-jenis ini berbeza-beza bergantung kepada jenis sel limfosit yang terlibat dalam proses barah ini.

Barah berlaku apabila sel-sel ini mengalami perubahan tingkah laku di mana ia tumbuh dan berkembang dengan tidak terkawal.

Perubahan ini dinamakan ‘malignant transformation’, di mana ia menyebabkan pengumpulan sel yang luar biasa, pembengkakan kelenjar limfa, dan seterusnya merebak ke organ sekeliling dan juga tisu otak, usus, tulang, paru-paru dan sum-sum tulang.

Ini menyebabkan fungsi organ-organ penting terganggu dan kemerosotan tahap kesihatan pesakit, dan akhirnya boleh membawa maut jika tidak dirawat dari awal.

Barah darah

Sebenarnya ramai yang tidak tahu limfoma merupakan sejenis barah darah. Limfoma berasal daripada sejenis sel darah yang dipanggil limfosit. Sel itu merupakan salah satu daripada sel darah yang ‘bertugas’ dalam sistem imun manusia untuk memerangi jangkitan terutamanya virus.

Sekiranya terdedah kepada risiko yang disebut tadi, sel itu boleh mengalami perubahan mutasi genetik dan seterusnya bertukar menjadi sel barah limfoma. Kaedah rawatannya bergantung kepada jenis dan tahap limfoma tersebut. Kebarangkalian untuk pulih pula bergantung kepada jenis dan tahap limfoma, umur pesakit dan jenis rawatan yang diterima.

Dua jenis limfoma

Limfoma terbahagi kepada dua kategori umum, iaitu Hodgkin dan bukan Hodgkin. Kedua-dua jenis menunjukkan simptom penyakit yang serupa, dan pembengkakan boleh berlaku di mana - mana kelenjar limfa.

Limfoma Hodgkin (HL)

+ Dinamakan sempena Thomas Hodgkin, seorang pakar perubatan bangsa Inggeris yang pertama menerangkan mengenai penyakit itu pada tahun 1832.

+ Jenis ini biasa terdapat pada kanak-kanak lebih dewasa atau remaja, namun jarang berlaku pada kanak-kanak berusia kurang lima tahun.

Limfoma bukan Hodgkin (NHL)

+ Nama ini digunakan untuk semua limfoma lain.

+ Insiden limfoma jenis ini meningkat ketika usia kanak-kanak hingga remaja.

+ Limfoma bukan Hodgkin berlaku apabila terdapat pertumbuhan sel limfosit yang spesifik (iaitu sejenis sel darah putih yang terdapat pada kelenjar limfa).

+ Pertumbuhan sel limfosit ini juga dilihat dalam barah darah leukemia, yang boleh menyebabkan kesukaran membezakan antara limfoma dengan leukemia dalam kalangan kanak-kanak.

+ Secara umumnya, bagi pesakit yang menghidap limfoma, tiada membabitkan sum-sum tulang atau penglibatan minimum.

+ Sementara itu bagi pesakit leukemia pula membabitkan sum-sum tulang secara meluas.

+ Kedua-dua jenis ini terjadi daripada sistem limfa. Bagaimanapun setiap jenis serangan ini berbeza dari segi kesan terhadap badan, cara penyebaran serta tindak balas terhadap rawatan.

Tanda-tanda limfoma

+ Pernafasan berbunyi, berdengkur, sesak nafas atau kesukaran pernafasan.

+ Pembengkakan kelenjar limfa yang tidak sakit, atau bengkak pada hati dan limpa.

+ Bengkak pada muka, leher, bahagian atas lengan dan dada.

+ Kesukaran untuk menelan.

+ Hilang selera makan.

+ Bengkak pada nodus limfa dalam abdomen boleh menyebabkan kembung dan tidak selesa. Keadaan ini boleh menyekat saluran najis dan menyebabkan sembelit, loya dan muntah.

+ Demam berpanjangan, hilang berat badan secara mendadak atau berpeluh pada waktu malam, kadang-kala dipanggil simptom B.

+ Rasa keletihan dan tidak bertenaga kerana kekurangan darah dan selera makan.

+ Ruam kulit dan kegatalan, boleh berlaku dalam 25 peratus kes dan biasanya di bahagian kaki.

+ Tanda-tanda lain yang berkaitan dengan pembengkakan kelenjar limfa di bahagian tertentu seperti batuk dan sesak nafas (paru-paru), berak berdarah (usus), pening dan sawan (otak) atau kelumpuhan (sistem saraf).

Jenis rawatan

Jika pesakit melaporkan tanda-tanda di atas, pemeriksaan keseluruhan badan pesakit akan dilakukan oleh doktor, diikuti dengan beberapa ujian:

+ Ujian darah seperti ‘full blood count’, ujian fungsi hati dan buah pinggang dan LDH (lactose dehydrogenase). Kadar LDH yang tinggi dikaitkan dengan jenis barah yang aktif dan agresif.

+ Ujian biopsi kelenjar limfa atau tisu/organ yang berkaitan. Biopsi boleh dilakukan di wad harian sekiranya saiz ketumbuhan adalah besar, tetapi sekiranya ketumbuhan berada dalam badan atau bersaiz kecil, prosedur tertentu seperti endoskopi dan pembedahan akan dijalankan.

+ Imbasan CT atau PET. Ujian pengimbasan ini penting untuk mendapatkan maklumat mengenai jumlah kelenjar yang terlibat dan juga saiz ketumbuhan, dan boleh menentukan tahap barah dan membantu dalam proses rawatan dan prognosis.

+ Pemeriksaan sum-sum tulang. Ujian ini juga perlu dibuat sebagai penentuan tahap barah. Sekiranya sum-sum tulang terlibat, ini menandakan barah adalah tahap 4.

+ Pembedahan terhad kepada jenis limfoma bukan Hodgkin’s tahap 1, iaitu organ selain dari kelenjar limfa seperti limfoma perut, tiroid dan limpa.

+ Radiasi – melibatkan dos radiasi yang tinggi, dan boleh membunuh sel-sel barah.
Digunakan untuk jenis limfoma tahap 1 atau 2, sekiranya barah di tahap 3 atau 4, rawatan radiasi digabungkan bersama kemoterapi.

+ Kemoterapi terdiri daripada beberapa jenis ubat yang membunuh sel-sel yang berkembang biak dengan cepat seperti sel barah, akan tetapi sel-sel lain seperti dinding usus, mulut, folikel rambut dan sum sum tulang juga akan turut terjejas.

+ Immunoterapi adalah cara rawatan dengan memberikan antibodi yang dihasilkan secara klon (monoclonal antibody), bertujuan untuk membantu sistem pertahanan badan untuk melawan antigen yang terdapat pada sel-sel barah. Rawatan ini biasanya digabungkan dengan kemoterapi.

Punca

Sebab–sebab sebenar limfoma terjadi adalah tidak diketahui. Tetapi, terdapat faktor-faktor tertentu yang menyumbang kepada terjadinya limfoma.

+ Faktor umur, barah limfoma meningkat dengan peningkatan umur seseorang.

+ Dalam golongan muda berumur 20 hingga 24 tahun, insiden limfoma adalah 2.4 kes dalam 100,000, tetapi meningkat kepada 46 kes dalam 100,000 dalam golongan dewasa berumur 60 hingga 64 tahun.

+ HL kerap berlaku kepada mereka yang berumur 15 hingga 40 tahun atau lebih 55 tahun. Manakala NHL kerap berlaku pada mereka yang berumur lebih 60 tahun pula.

Selain daripada itu ia juga kerap berlaku kepada:

- Mereka yang terkena jangkitan virus seperti Hepatitis C, Epstein Barr virus dan HTLV-1 virus.

- Mereka berpenyakit HIV dan menjalani transplantasi sum-sum tulang.

- Keluarga yang menghidap limfoma.

- Golongan berpenyakit berkaitan sistem imun seperti Sistemik Lupus Eritematosus (SLE).

- Terdedah kepada bahan kimia dan toksik seperti benzene, radiasi, racun serangga, racun rumpai.

+ Penyakit yang merendahkan sistem imunisasi badan seperti penyakit autoimmun; penggunaan ubat immunosuppressive selepas pemindahan organ; penyakit keturunan seperti ataxia telangectasia.

+ Genetik atau keturunan barah.

Sumber:

+ www.singhealth.com.sg

+ www.ncis.com.sg

+ www.iconcancercentre.sg

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg