Saya ingin berkongsi kisah benar mengenai seorang pesakit yang saya temui beberapa tahun lalu.
Beliau merupakan lelaki dalam lingkungan usia lewat 40-an, berpendidikan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘A’ dan bekerja sebagai teknisyen.
Ketika pertama kali saya menemuinya, beliau telah mengalami masalah ingatan jangka pendek selama hampir tiga tahun.
Namun, beliau masih mampu menjalankan tugasan kerja serta kegiatan harian seperti menaiki pengangkutan awam tanpa sebarang kesukaran.
Beliau nampak seperti lelaki biasa – berdikari, sopan, dan tiada apa-apa pada zahirnya yang menunjukkan fungsi otaknya sedang merosot.
Namun, seperti kebanyakan kes demensia di peringkat awal, perubahan yang dialami tidak begitu ketara, perlahan dan sering disalah anggap sebagai ekoran keletihan, tekanan kerja atau masalah kurang tumpuan.
Apabila kami menjalankan penilaian kognitif awal menggunakan Ujian Keadaan Mental Ringkas (MMSE), beliau mencatat skor 27 daripada 30, masih dalam julat hampir normal.
Namun, cukup untuk menimbulkan kebimbangan klinikal.
Beliau turut menunjukkan kelemahan dalam keupayaan visuospatial – iaitu kebolehan otak untuk mentafsir dan memahami maklumat visual dalam konteks ruang.
Ini merupakan salah satu gejala awal yang sering dikaitkan dengan penyakit Alzheimer.
Imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) otak yang dijalankan kemudian mengesahkan corak pengecutan (atrofi) yang selari dengan ciri-ciri penyakit tersebut.
Ramai beranggapan penyakit Alzheimer hanya menyerang golongan warga emas. Namun, kenyataannya lebih rumit.
Demensia pramatang iaitu demensia yang berlaku sebelum usia 65 tahun kini semakin kerap dikesan dan memberi kesan berganda kepada penghidapnya, memandangkan kebanyakan mereka masih bekerja, menyara keluarga, dan aktif dalam masyarakat.
Beberapa tahun selepas diagnosis, beliau mula menghadapi kesukaran menyesuaikan diri dengan tugasan kerja lebih kompleks.
Untuk membantunya mengingati urutan kerja, beliau mencatat setiap langkah dalam sebuah buku nota. Namun, apabila rutin terganggu atau perlu disesuaikan, beliau mudah berasa tertekan dan cemas.
Akhirnya, pihak syarikat memindahkannya ke jawatan yang lebih ringan dan kurang mencabar. Walaupun perubahan itu memberikan sedikit kelegaan, kemerosotan fungsi kognitif beliau tetap berterusan.
Kini, beliau berada pada tahap beliau kadangkala terlupa untuk mandi atau memberus gigi, melainkan diingatkan oleh anggota keluarganya.
Beliau kini tidak lagi mampu berfungsi sepenuhnya tanpa bantuan – sesuatu yang tidak pernah terlintas dalam fikiran dirinya mahupun keluarganya suatu ketika dahulu.
Kisah ini membuka mata kita bahawa demensia bukan sekadar penyakit ingatan.
Ia adalah gangguan menyeluruh yang menjejas kehidupan individu secara mendalam daripada keupayaan bekerja, berkomunikasi, menjaga diri, sehinggalah keperluan paling asas dalam kehidupan harian.
Kesan besar terhadap anggota keluarga pesakit sering kali kurang diberi perhatian.
Mereka perlu menyesuaikan diri dengan perubahan personaliti, tingkah laku serta keperluan fizikal insan yang mereka sayangi.
Rutin harian bertukar menjadi pemantauan berterusan. Ramai yang perlu mengambil cuti kerja atau mengurangkan komitmen sosial demi menjaga pesakit sepenuh masa.
Sebagai doktor, saya menyaksikan ketabahan luar biasa yang ditunjukkan oleh penjaga terutama pasangan hidup, anak-anak dan adik-beradik yang berkorban masa, tenaga dan emosi demi memberikan mutu hidup terbaik buat pesakit.
Namun saya juga menyedari mereka tidak boleh dibiarkan sendirian.
Kita memerlukan lebih banyak program sokongan, pusat penjagaan harian, kumpulan sokongan emosi, serta pendidikan awam yang lebih menyeluruh bagi membina masyarakat yang benar-benar prihatin.
Langkah awal boleh bermula dengan meningkatkan kesedaran.
Masyarakat perlu tahu lupa ingatan bukan semata-mata tanda penuaan. Diagnosis awal mampu memberi ruang kepada rawatan serta perancangan jangka panjang.
Teknologi, seperti aplikasi peringatan atau peranti jejak lokasi juga boleh memainkan peranan dalam membantu pesakit dan penjaga mengurus kehidupan seharian.
Perkara paling penting ialah kita perlu mengubah sikap terhadap demensia.
Pesakit bukan sekadar “orang pelupa”, tetapi insan yang sedang mengalami kehilangan beransur-ansur terhadap jati diri mereka.
Mereka memerlukan kita untuk memahami, menghormati, dan menyokong mereka dengan penuh empati dan maruah.
Demensia bukan sekadar masalah kesihatan, ia adalah krisis keluarga, masyarakat dan kemanusiaan. Kita semua mempunyai tanggungjawab untuk memahaminya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg