Topik diikuti
Pergi ke BHkuLebih 300,000 pesakit raih manfaat penjagaan kesihatan berasas nilai NUHS
Lebih 300,000 pesakit raih manfaat penjagaan kesihatan berasas nilai NUHS
Lebih 300,000 pesakit telah meraih manfaat daripada satu pendekatan penjagaan kesihatan berasaskan nilai yang diperkenalkan Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS) sejak 2015.
Diberi nama Penjagaan Sesuai dan Berasaskan Nilai (AVBC), usaha ini menumpukan kepada penyampaian hasil dan pengalaman pesakit sambil memastikan mereka menerima penjagaan yang sesuai, selamat dan berkesan.
Sebagai contoh, tempoh pesakit perlu dirawat di Hospital Universiti Nasional (NUH) selepas menjalani pembedahan penggantian lutut kini berkurangan daripada lima hari kepada dua hari.
Ini membolehkan pesakit pulang dan meneruskan proses pemulihan dengan lebih awal, kata NUH.
Setakat ini, pendekatan itu telah membantu dalam mengelakkan sejumlah 18,225 kemasukan ke hospital dan menjimatkan kos perubatan melebihi $13 juta setiap tahun, tambah kenyataan itu.
Satu majlis simposium meraikan sedekad AVBC telah berlangsung pada 15 September.
Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, yang menjadi tetamu kehormat, berkata pendekatan itu memerlukan perubahan dalam cara penjagaan kesihatan.
“Penjagaan kesihatan berasaskan nilai bukan sekadar satu rangka kerja atau sistem ukuran. Ia merupakan satu perubahan minda yang tercermin dalam keputusan yang dibuat oleh profesional penjagaan kesihatan setiap hari.
“Setiap konsultasi, setiap pemeriksaan, setiap pelan rawatan dan setiap perbualan dengan pesakit merupakan peluang untuk bertanya bukan sahaja ‘apakah masalahnya?’, tetapi juga ‘apakah yang paling penting kepada pesakit ini?” katanya.
AVBC dimulakan dengan 14 keadaan klinikal di Hospital Universiti Nasional (NUH) pada 2015 dan kemudian diperluaskan dan kini merangkumi lebih 75 keadaan klinikal, khidmat dan program kesihatan.
Seiring dengan perkembangan penjagaan kesihatan berasaskan nilai, tumpuan itu telah berkembang untuk mengambil kira kesejahteraan keseluruhan pesakit.
Sebagai contoh, dalam penjagaan pesakit angin ahmar yang berusia antara 18 hingga 60 tahun di NUH, pasukan perubatan menggunakan laporan pesakit untuk memahami masalah kesihatan yang dihadapi mereka semasa proses pemulihan.
Ini termasuk masalah yang mungkin tidak dapat dikesan semasa konsultasi biasa.
Pada 2017, kaedah itu kemudian diterapkan di peringkat nasional menerusi program Penjagaan Diterajui Nilai Nasional (VDC) oleh Kementerian Kesihatan (MOH) yang membolehkan hospital awam membandingkan hasil dan kos rawatan, berkongsi amalan terbaik serta terus mempertingkat mutu penjagaan.
Perkara ini penting memandangkan penduduk Singapura menua dan keperluan penjagaan kesihatan menjadi lebih rumit, tambah Cik Rahayu.
Usaha itu boleh dicapai menerusi latihan tenaga kerja, penyusunan semula laluan penjagaan, penggunaan inovasi dan pengukuran hasil pesakit, ujar Cik Rahayu.
“Untuk mencapainya, kita perlu bekerjasama.
“Setiap kelompok penjagaan kesihatan telah membangunkan inovasi dan kepakaran yang bernilai.
“Dengan belajar daripada satu sama lain, berkongsi amalan terbaik dan memperluaskan pendekatan yang terbukti berkesan, kita dapat mempercepat usaha mempertingkat sistem penjagaan kesihatan,” katanya.
Acara itu turut menyaksikan pelancaran dua penerbitan buku yang merakam perjalanan sedekad NUHS dalam melaksanakan penjagaan kesihatan berasaskan nilai.
Buku berjudul A Practical Framework for Measuring Health Outcomes at the National University Health System, Singapore: The First Decade of Our Journey’ dan NUHS Clinical Outcomes Book, menghimpunkan pengalaman dan usaha para profesional penjagaan kesihatan sepanjang sedekad lalu.
