Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pembedahan katarak mata kembalikan keyakinan

Masalah kesihatan jejas ramai seiring pertambahan usia
Nov 3, 2025 | 5:30 AM
Kesihatan, pembedahan katarak mata, Dr Mohamad Rosman Othman
Dr Mohamad Rosman Othman, Pakar Perunding Kanan Oftalmologi di Klinik dan Pembedahan Mata Lanjutan di Pusat Perubatan Mount Elizabeth Orchard. - Foto ihsan MOHAMAD ROSMAN OTHMAN

Adakah saya masih perlu memakai cermin mata selepas pembedahan katarak?

Pembedahan katarak adalah antara pembedahan mata yang paling kerap dilakukan di Singapura.

Ini kerana katarak merupakan satu keadaan mata berkaitan usia yang akan menjejas hampir semua orang apabila mereka semakin berumur.

Namun, ramai pesakit tidak menyedari kita boleh merawat rabun jauh (miopia), astigmatisme dan juga rabun usia (presbiopia) pada masa yang sama apabila pembedahan katarak dilakukan.

Majoriti pesakit saya tidak perlu lagi memakai cermin mata selepas pembedahan katarak mereka.

Bagaimanapun, pesakit perlu berbincang dengan pakar bedah mereka mengenai pilihan dan keutamaan sebelum menjalani pembedahan katarak.

Pembedahan katarak libat singkirkan kanta semula jadi dan ganti dengan kanta tiruan

Katarak adalah satu keadaan mata yang boleh menyebabkan penglihatan menjadi kabur, silau dan perubahan kuasa cermin mata yang kerap.

Ini berlaku kerana peningkatan kekaburan pada kanta semula jadi di dalam bebola mata.

Rawatan memerlukan pembedahan siang atau day surgery.

Pembedahan ini boleh dilakukan dengan cepat dan selamat oleh pakar bedah mata yang berpengalaman.

Pesakit tidak perlu ditahan di hospital dan boleh pulang ke rumah selepas pembedahan.

Biasanya, saya hanya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk melakukan pembedahan katarak, dan pesakit tidak merasa sakit semasa pembedahan.

Pesakit saya biasanya tidur dengan lena semasa pembedahan.

Pembedahan katarak melibatkan satu bukaan kecil berukuran 2.75mm pada kornea.

Pakar bedah akan menggunakan alat khas yang menggunakan gelombang ultrasonik untuk memecahkan katarak dan mengeluarkan serpihan tersebut.

Selepas katarak dikeluarkan, pakar bedah akan memasukkan kanta tiruan khas ke dalam mata.

Kanta tiruan ini diperlukan untuk menggantikan fungsi kanta semula jadi mata.

Kanta tiruan boleh disesuai ikut keperluan

Sebelum pembedahan katarak, ukuran mata pesakit akan diambil menggunakan peralatan khas.

Pakar bedah boleh memilih kuasa kanta tiruan yang sesuai untuk digunakan semasa pembedahan.

Oleh itu, kanta ini boleh disesuaikan untuk membetulkan masalah rabun jauh atau astigmatisme pesakit.

Dengan itu, pesakit yang sebelum ini perlu memakai cermin mata untuk rabun jauh atau astigmatisme tidak lagi perlu memakai cermin mata untuk melihat selepas pembedahan katarak.

Terdapat beberapa jenis kanta tiruan. Sesetengahnya boleh betulkan rabun usia (presbiopia)

Pada masa ini, terdapat beberapa jenis kanta tiruan yang boleh digunakan semasa pembedahan katarak.

Secara umumnya, ia boleh dibahagikan kepada kumpulan berikut:

Kanta monofokal

Kanta ini membolehkan pesakit melihat objek jauh tanpa cermin mata.

Namun, mereka masih perlu memakai cermin mata untuk melihat objek dekat seperti membaca, menggunakan telefon bimbit atau komputer.

Kanta multifokal

Kanta ini mempunyai beberapa titik tumpu.

Ia membolehkan pesakit melakukan kebanyakan kegiatan termasuk membaca dan menggunakan telefon bimbit tanpa perlu memakai cermin mata.

Namun begitu, disebabkan reka bentuk kanta ini, sesetengah pesakit mungkin akan mendapati cahaya kelihatan lebih silau pada waktu malam.

Kanta Julat Kedalaman Fokus Lanjutan

Kanta ini membolehkan pesakit melihat objek jauh dan sebahagian objek dekat tanpa memerlukan cermin mata.

Kelebihan utamanya adalah kanta ini tidak menyebabkan masalah penglihatan malam seteruk kanta multifokal.

Bagaimanapun, penglihatan dekat tidak sejelas kanta multifokal.

Pembedahan katarak boleh membebaskan pesakit daripada keperluan memakai cermin mata.

Pada masa kini, pembedahan katarak yang menggunakan kanta intraokular tiruan yang canggih boleh menghasilkan gaya hidup tanpa cermin mata selepas pembedahan.

Ini boleh meningkatkan mutu hidup dan memberi kebebasan daripada isu berkaitan cermin mata.

Namun begitu, perbincangan yang teliti dan menyeluruh bersama pakar bedah mata yang berpengalaman diperlukan untuk menentukan kanta intraokular yang paling sesuai untuk setiap pesakit.

Penulis ialah Pakar Perunding Kanan Oftalmologi di Klinik dan Pembedahan Mata Lanjutan di Pusat Perubatan Mount Elizabeth Orchard.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg