‘Sarah’, seorang wanita berusia 45 tahun yang menghidap kencing manis Jenis 2 dan mempunyai sejarah pernah merokok, sering bergelut dalam usaha mengurus kesihatannya, terutama ketika musim perayaan.
Setiap kali menjelang Ramadan, beliau bertekad untuk berpuasa dengan sempurna, membuat pemilihan makanan yang lebih sihat, dan memberi tumpuan kepada pengukuhan amalan kerohanian.
Namun, sebaik sahaja Ramadan berakhir, beliau masih kembali kepada tabiat lama iaitu merokok dengan lebih kerap, mengambil manisan secara berlebihan ketika Aidilfitri dan mengabaikan rutin senamannya.
Selepas Ramadan kali ini, ‘Sarah’ membuat keputusan tegas sudah tiba masanya untuk berubah – untuk menjadi versi dirinya yang lebih sihat, bukan hanya sepanjang bulan puasa, malah seterusnya.
Dalam suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri yang penuh meriah, inilah saat yang tepat untuk kita mengambil peluang menetapkan semula gaya hidup, merenung kembali rutin harian, dan memberi perhatian khusus kepada pengurusan penyakit kronik secara lebih seimbang, tekal dan berkesan.
Bagi mereka yang menghidapi penyakit kronik seperti kencing manis, tekanan darah tinggi atau penyakit jantung, amat penting untuk membuat pilihan bijak agar matlamat kesihatan dapat dikekalkan.
Berikut beberapa panduan untuk mengurus penyakit kronik selepas Ramadan:
Ramadan bukan sahaja masa penyucian jiwa, bahkan juga peluang terbaik meninggalkan tabiat memudaratkan seperti merokok.
Jika anda masih belum berjaya berhenti merokok sepanjang bulan puasa, inilah waktu yang tepat untuk menetapkan azam baharu dan berpegang teguh kepada keputusan tersebut demi kesihatan jangka panjang.
Musim perayaan yang dipenuhi dengan pertemuan bersama keluarga dan rakan-rakan merupakan peluang terbaik untuk mendapatkan sokongan moral dalam usaha berhenti merokok.
Usah ragu untuk menetapkan niat yang teguh bagi menjalani kehidupan bebas asap rokok – demi kesihatan diri, demi kesejahteraan insan tersayang, dan demi mutu hidup yang lebih baik dalam jangka panjang.
Jika anda berjaya menjalani ibadah puasa sepanjang Ramadan dengan baik, anda mungkin mahu meneruskan rentak tersebut dengan berpuasa enam hari pada Syawal.
Amalan itu bukan sahaja memberi ganjaran rohani berterusan, bahkan juga boleh membantu mengawal paras gula dalam darah dan menyokong proses detoksifikasi badan secara semula jadi.
Namun, pastikan anda berbincang dengan doktor atau penyedia khidmat penjagaan kesihatan terlebih dahulu, terutama jika anda menghidap penyakit kronik seperti kencing manis atau tekanan darah tinggi.
Walaupun puasa di bulan Ramadan mempunyai nilai kerohanian yang tinggi, manfaat kesihatannya juga tidak boleh disangkal.
Kajian menunjukkan amalan puasa seperti yang diamalkan umat Islam boleh meningkatkan kesihatan metabolik, menambah baik sensitiviti insulin, serta membantu dalam pengurusan berat badan.
Selepas Aidilfitri, pertimbangkan untuk menjadikan puasa sebagai rutin dalam kehidupan mengikut kesesuaian.
Sama ada melalui puasa berkala atau pendekatan pemakanan yang lebih lestari, tubuh akan meraih manfaat daripada amalan berpuasa yang berterusan.
Sepanjang Ramadan, pesakit sering perlu menyesuaikan waktu pengambilan ubat, terutama bagi mereka yang mengurus penyakit kronik.
Tempoh selepas Ramadan adalah masa yang sesuai untuk menyemak semula pelan pengambilan ubat bersama doktor.
Mungkin anda perlu kembali kepada dos dan jadual asal sebelum Ramadan bagi memastikan keadaan kesihatan terus terkawal.
Catat sebarang perubahan yang anda alami sepanjang tempoh peralihan itu dan hubungi penyedia penjagaan kesihatan jika timbul sebarang kebimbangan.
Musim perayaan kerap dikaitkan dengan juadah istimewa yang mengandungi banyak gula dan lemak.
Adalah penting untuk mengelakkan kecenderungan makan berlebihan kerana ia boleh mengganggu kestabilan paras gula dalam darah serta menyumbang kepada pertambahan berat badan.
Amalkan kawalan saiz hidangan dengan memilih bahagian yang lebih kecil dan memberi tumpuan kepada makanan seimbang.
Penuhi separuh pinggan dengan sayur-sayuran dan buah-buahan, masukkan sumber protein tanpa lemak seperti ayam atau ikan, dan elakkan makanan bergoreng serta manisan yang berlebihan.
Jika anda menghidap kencing atau mempunyai masalah metabolik lain, pertimbangkan untuk berbincang dengan pakar pemakanan bagi mencari cara memasukkan makanan perayaan secara sihat dalam pelan pemakanan.
Selepas sebulan berpuasa, anda mungkin mendapati agak mencabar untuk kekal hidrat, terutama jika berada di kawasan bercuaca panas.
Namun, pengambilan air yang mencukupi amat penting untuk kesihatan keseluruhan. Usahakan untuk minum air secukupnya sepanjang hari, terutama di luar waktu berpuasa.
Penghidratan yang baik membantu fungsi ginjal, mengawal paras gula dalam darah, dan meningkatkan kesejahteraan tubuh secara keseluruhan.
Elakkan minuman manis yang boleh melonjakkan paras gula darah, dan pilih air kosong, teh herba, atau air kelapa sebagai alternatif yang lebih sihat.
Bagi individu yang menghidap kencing manis, waktu makan yang teratur amat penting.
Rancang untuk mengambil makanan dan snek secara berkala bagi memastikan paras gula dalam darah kekal stabil. Pertimbangkan untuk mengambil makanan dalam saiz kecil tetapi lebih kerap sepanjang hari. Ini berbanding makan dalam jumlah besar secara tidak menentu, yang boleh menyebabkan lonjakan gula dalam darah.
Semasa sambutan Aidilfitri yang biasanya dipenuhi dengan majlis dan kunjungan, pastikan anda tetap berpegang kepada rutin pemakanan yang sesuai mengikut keadaan kesihatan anda.
Selepas sebulan berpuasa, inilah masa terbaik untuk kembali aktif secara fizikal.
Sama ada anda aktif semasa Ramadan atau tidak, memulakan semula senaman selepas Aidilfitri boleh membantu melancarkan peredaran darah, mengawal gula dalam darah dan mengurangkan tekanan.
Mulakan dengan kegiatan ringan seperti berjalan kaki, berenang atau yoga, dan tingkatkan intensiti secara beransur-ansur.
Jika tidak pasti tentang tahap senaman yang sesuai, dapatkan nasihat doktor untuk pelan yang bersesuaian mengikut tahap kesihatan.
Perhimpunan sosial semasa Aidilfitri lazimnya berpusat pada makanan, dan mudah untuk makan berlebihan apabila anggota keluarga atau rakan-rakan mengajak anda mencuba pelbagai hidangan.
Ambil langkah awal dengan berkomunikasi secara jujur mengenai keperluan kesihatan anda.
Terangkan dengan sopan tentang sekatan diet anda dan mohon agar tuan rumah tidak menyajikan hidangan berlebihan semasa kunjungan anda.
Jika anda sudah makan, minta air kosong atau bawa pulang makanan dalam bekas, daripada memaksa diri untuk makan lagi.
Menetapkan batasan ini akan membantu anda kekal terkawal dan mencapai matlamat kesihatan sepanjang musim perayaan.
Ingatlah, perubahan kecil yang berterusan akan membawa manfaat kesihatan yang berkekalan.
Raikan masa ini sebagai peluang untuk mengambil alih pengurusan penyakit kronik dan melangkah ke arah versi diri yang lebih sihat.
Penulis pakar perubatan geriatrik dari Alami Clinic by Dr Farhan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg