Pesakit yang memerlukan rawatan terapi sel, tisu dan gen (CTGTP) mulai 1 Ogos boleh menerima subsidi, dimulakan dengan produk rawatan untuk pesakit barah darah.
Ini membuka peluang lebih luas bagi pesakit mendapatkan rawatan terkini yang menggunakan sel-sel sebagai ubat hidup untuk merawat atau memulihkan pelbagai masalah kesihatan.
Kementerian Kesihatan (MOH) menarik perhatian ketersediaan rawatan sebegini berbeza mengikut institusi penjagaan kesihatan, bergantung pada keadaan klinikal yang biasanya dikendalikan oleh institusi berkenaan dan rawatan yang disarankan oleh doktor pakar.
Produk-produk terapi sel, tisu dan gen, yang diperbuat daripada sel atau tisu manusia, haiwan, atau buatan manusia, dapat mendiagnosis, merawat dan mencegah pelbagai jenis keadaan kesihatan.
Akhir-akhir ini, beberapa produk sel terapi baru telah diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) dengan lebih banyak lagi yang sedang dalam kajian.
Sebagai contoh, rawatan terapi sel-CAR T boleh membantu pesakit barah pulih dengan lebih cepat tanpa memerlukan rawatan kemoterapi yang agresif.
Setiap tahun, sekitar 100 pesakit memerlukan rawatan terapi sel dan gen, terutama bagi mereka yang tidak memberi respons kepada rawatan konvensional seperti penghidap leukemia dan limfoma.
Ini termasuk pesakit yang menjalani cubaan klinikal di mana kos rawatan ditanggung.
Warganegara Singapura kini layak menerima subsidi sebanyak 75 peratus daripada kos rawatan dengan had $150,000, manakala Penduduk Tetap layak menerima 22.5 peratus dengan had $45,000.
Tahap subsidi ditentukan berdasarkan pendapatan isi rumah per kapita bulanan.
MOH mengesahkan bahawa subsidi akan disediakan untuk produk terapi sel, tisu dan gen yang telah dinilai dari segi keberkesanan kos dan klinikal bagi pesakit yang layak.
“Dengan kos rawatan CTGTP yang tinggi, kami berharap dapat mencari keseimbangan antara kemampuan kewangan pesakit dengan akses kepada rawatan tersebut sambil memastikan kewangan mereka tetap terjaga. Ini bagi memastikan rakyat Singapura mampu menampung keperluan rawatan kesihatan lain.
“Oleh itu, hanya CTGTP yang telah dinilai dari segi keberkesanan klinikal dan kos akan dimasukkan ke dalam senarai. Ini membolehkan kami mendapatkan harga yang kompetitif dan memberi manfaat kepada pesakit,” tambah jurucakap MOH, lapor The Straits Times.
Beliau juga menyatakan bahawa lebih banyak CTGTP akan ditambah ke dalam senarai dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan klinikal, keberkesanan kos dan kesan bajet.
Menurut Profesor Madya Wee Hwee Lin, dari jurusan kesihatan awam di Universiti Nasional Singapura, menetapkan had pada subsidi akan menjamin kemapanan skim ini dalam jangka panjang kerana tanpa had, pengeluar boleh menetapkan kos yang lebih tinggi.
Profesor Wee mencadangkan agar skim insurans kesihatan nasional MediShield Hayat diperluaskan untuk menampung kos rawatan CTGTP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg