Menurut Tinjauan Kesihatan Penduduk Nasional (NPHS) 2022, kadar jumlah wanita Singapura yang menjalani ujian saringan barah buah dada hanya 37.6 peratus.
Ini lebih rendah berbanding kadar yang dicatatkan di peringkat sejagat iaitu lebih 70 peratus.
Peratusan wanita Melayu di Singapura yang menjalani ujian mamogram adalah yang paling rendah berbanding wanita India dan Cina.
Yayasan Barah Buah Dada (BCF) dengan kerjasama syarikat farmaseutikal, Roche dan Persatuan Kesihatan Tingkah Laku Singapura dalam laporannya memberikan beberapa faktor punca kadar yang rendah bagi ujian mamogram dalam kalangan wanita Melayu.
Rumusan daripada bengkel pelbagai sektor yang dianjurkan itu melihat faktor utama yang menghambat wanita Melayu untuk mementingkan kesihatan mereka termasuk menjalani pemeriksaan awal bagi mengesan barah buah dada.
Berikut antara dapatan dan beberapa perbezaan dalam sikap menjaga kesihatan dalam kalangan masyarakat Melayu:
+ Menjaga anggota keluarga yang sakit merupakan antara faktor utama yang menghambat wanita Melayu daripada mengutamakan kesihatan mereka.
+ Mereka lebih cenderung untuk tidak mengutamakan penjagaan diri, kasih sayang kepada diri sendiri dan pengurusan kesihatan yang lebih proaktif, terutama sekali dalam kesihatan buah dada.
+ Kebimbangan stigma dan dipinggirkan dalam kalangan masyarakat Melayu dan salah tanggapan terhadap diagnosis mereka.
+ Topik barah buah dada masih dianggap tabu atau pantang daripada segi budaya dalam perbincangan mengenai kesihatan buah dada dan pemeriksaan, serta kurang kesedaran terhadap kepentingan pengesanan awal.
+ Beberapa halangan emosi berkaitan dengan kekurangan sokongan yang mereka rasakan, atau salah tanggapan terhadap barah masih berterusan.
+ Akses kepada kemudahan penjagaan kesihatan dan kekangan kewangan juga memburukkan lagi cabaran terhadap pencegahan barah buah dada.
+ Beberapa pemerhatian menunjukkan kebanyakan wanita cenderung untuk datang pada peringkat lanjut dalam diagnosis barah mereka, seperti yang disahkan oleh beberapa doktor dalam panel perubatan BCF.
+ Jika masyarakat Melayu lebih sedar dan mendapat lebih banyak pendidikan, mereka dapat memahami betapa mudahnya barah dapat ditangani dan boleh dirawat lebih awal
+ Menggalak lebih ramai wanita Melayu membangunkan amalan kesihatan buah dada adalah dengan menubuhkan kumpulan sokongan rakan sebaya di peringkat akar umbi dan institusi agama.
+ Rangkaian sokongan rakan sebaya boleh membantu mengurangkan perasaan terasing dan memperkasakan wanita untuk mengharungi perjalanan barah mereka dengan daya tahan dan keyakinan.
+ Untuk meningkatkan kesedaran itu dalam kalangan wanita Melayu/Islam, BCF berharap dapat meningkatkan kerjasama dengan pihak masjid, institusi Melayu/Islam dan para pemimpin agama.
+ BCF juga antaranya merancang untuk mempertingkatkan lagi kesedaran menerusi program pendidikan yang disesuaikan dengan konteks budaya dan mempermudahkan akses kepada khidmat pemeriksaan.
+ Memperbaiki pendekatan kepada masyarakat menerusi kerjasama dengan program pendidikan di peringkat sekolah atau dengan badan masyarakat lain agar dapat menyebarkan mesej penting ini dalam peringkat akar umbi.
+ BCF turut menyambut baik usaha yang dijalankan individu perseorangan bagi menyediakan sokongan kepada wanita-wanita lain.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg