Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Risiko diet tanpa serat

Aug 11, 2025 | 5:30 AM
Diet karnivor hanya membenarkan pengambilan daging, ayam, telur, ikan, makanan laut, produk tenusu tertentu dan air sementara semua sayur-sayuran, buah-buahan, bijirin, kekacang, biji-bijian dan kacang perlu dielakkan sepenuhnya.
Diet karnivor hanya membenarkan pengambilan daging, ayam, telur, ikan, makanan laut, produk tenusu tertentu dan air sementara semua sayur-sayuran, buah-buahan, bijirin, kekacang, biji-bijian dan kacang perlu dielakkan sepenuhnya. - Foto ISTOCKPHOTO

Salah satu risiko utama dalam menghapuskan makanan berasaskan tumbuhan ialah ketiadaan serat sepenuhnya dalam diet, sedangkan serat memainkan peranan penting dalam mengekalkan sistem pencernaan yang sihat dan pergerakan usus yang teratur.

Makanan bergerak melalui usus kecil melalui proses yang dikenali sebagai peristalsis, iaitu apabila lebanyakan pencernaan dan penyerapan nutrien berlaku.

Setelah pencernaan selesai, sisa makanan bergerak ke usus besar, air diserap dan najis dibentuk.

Tidak seperti usus kecil, usus besar bergantung pada pergerakan besar-besaran, satu proses yang bergantung pada jumlah pukal najis, bukan pengecutan otot, untuk mengalirkan sisa dengan cekap keluar dari kolon.

Apabila diet kekurangan serat, najis tidak cukup pukal untuk merangsang pergerakan besar-besaran ini, dan ini boleh menyebabkan pergerakan usus menjadi perlahan serta sembelit.

Selain itu, diet karnivor sering merangkumi daging yang diproses yang mengandungi nitrat dan sebatian lain, yang apabila diuraikan dalam usus, mungkin menjadi bersifat karsinogenik iaitu berpotensi menyebabkan barah terutama di bahagian kolon atau usus besar.

Tanpa pergerakan usus yang teratur untuk menyingkirkan bahan sampingan ini, ia akan terus bersentuhan dengan sel-sel lapisan usus dalam tempoh yang lama, yang boleh meningkatkan risiko barah kolon.

Inilah sebabnya mengapa ramai pakar kesihatan mengesyorkan pengambilan serat secara berkala, bukan sahaja untuk memastikan kelancaran pergerakan usus setiap satu hingga tiga hari, bahkan juga untuk membantu menyingkirkan bahan berbahaya daripada usus sebelum ia menyebabkan kerosakan jangka panjang.

Tanda Usus Bermasalah Akibat Diet Tanpa Serat

Pengamal diet karnivor perlu sedar bahawa daging, terutama daging merah, adalah lebih sukar untuk diuraikan oleh sistem pencernaan berbanding makanan yang kaya dengan serat.

Apabila proses pencernaan menjadi perlahan dan sisa kekal lebih lama dalam usus daripada sepatutnya, beberapa gejala awal boleh muncul, termasuk:

Kembung dan ketidakselesaan perut: Oleh kerana kekurangan serat menyebabkan pergerakan daging dalam usus menjadi perlahan, gas berkumpul dan masalah kembung boleh berlaku, terutama di sekitar kawasan pusat.

Pedih ulu hati dan gangguan pencernaan: Ini boleh terjadi apabila daging ditelan dalam ketulan besar tanpa dikunyah dengan sempurna, memaksa perut bekerja lebih keras dan menghasilkan lebih banyak asid untuk mencernakan daging.

Sembelit: Kekurangan pukal najis menyebabkan najis menjadi lebih keras dan kering, serta sukar untuk dikeluarkan. Walaupun pengambilan air dan daging yang lebih ringan seperti ikan dan ayam boleh membantu, ia biasanya tidak mencukupi untuk menyokong pergerakan usus yang sihat tanpa serat pemakanan.

Komplikasi Sembelit Kronik

Sembelit dianggap kronik apabila gejala berterusan selama tiga bulan atau lebih. Jika tidak dirawat, ia boleh membawa kepada beberapa komplikasi kesihatan:

Buah pinggang: Buasir ialah salur darah yang membengkak di saluran dubur, dan boleh menyebabkan kegatalan, ketidakselesaan, kesakitan serta pendarahan semasa membuang air besar.

Rekahan dubur: Najis yang keras dan kering boleh mengoyakkan kulit di sekitar dubur, menyebabkan rasa sakit yang tajam dan kadangkala pendarahan.

Impakan najis (Fecal impaction): Najis yang mengeras boleh terkumpul di dalam usus besar, membentuk sekatan yang menyebabkan kesakitan, muntah, dan dalam kes yang teruk mungkin memerlukan rawatan perubatan atau rawatan di hospital.

Patofisiologi prolaps rektum melibatkan pelbagai faktor, termasuk sembelit kronik, peningkatan usia, serta kehilangan kekuatan otot di sekitar kawasan pelvis dan rektum.

Diet Tanpa Tumbuhan Tingkat Risiko Barah Usus Besar

Sebelum memahami bagaimana diet tinggi daging boleh meningkatkan risiko barah kolorektum, adalah penting untuk membezakan jenis daging yang paling berkait rapat dengan risiko tersebut

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengklasifikasikan daging yang diproses sebagai karsinogen Kumpulan 1 (penyebab barah yang terbukti) dan daging merah sebagai karsinogen Kumpulan 2A (kemungkinan penyebab barah).

Daging merah seperti daging lembu, kambing dan biri-biri, serta daging yang diawet, diasinkan, disalai, atau diproses dengan cara lain, merupakan penyumbang utama risiko itu.

Sebaliknya, daging putih seperti ikan, ayam atau ayam belanda, secara umumnya tidak dikaitkan dengan barah.

Selain itu, penyelidikan menunjukkan:

+ Pengambilan hanya 50 gram daging yang diproses sehari boleh meningkatkan risiko barah usus sebanyak 18 peratus.
+ Pengambilan 140 gram atau lebih daging merah setiap hari boleh meningkatkan risiko kira-kira 30 peratus berbanding mereka yang mengambil kurang daripada 28 gram sehari.

Terdapat beberapa teori yang menjelaskan kaitan antara daging merah dengan daging yang diproses dengan barah kolorektum, antaranya:

Pengawet karsinogenik: Daging yang diproses sering mengandungi nitrat dan nitrit.

Bahan itu boleh membentuk sebatian N-nitroso (NOCs) semasa pencernaan yang diketahui boleh merosakkan sel pada lapisan kolon.

Kaedah memasak suhu tinggi: Memanggang atau menggoreng daging boleh menghasilkan bahan kimia seperti amina heterosiklik (HCAs) dan hidrokarbon aromatik polisiklik (PAHs) yang boleh merosakkan asid deoksiribonukleik (DNA) dan menyumbang pada perkembangan barah.

Zat besi heme: Ditemui dalam daging merah, zat besi heme boleh menggalakkan pembentukan NOCs dan kerosakan oksidatif dalam kolon.

Gangguan mikrobiom usus: Diet yang tinggi dengan daging merah boleh mengubah mikrobiota usus, menggalakkan pertumbuhan bakteria yang berkaitan dengan keradangan dan barah kolorektum, sambil mengurangkan jumlah bakteria pelindung yang bermanfaat.

Pengabaian makanan berasaskan tumbuhan boleh mengakibatkan kekurangan beberapa mikronutrien penting yang berperanan melindungi tubuh daripada barah dan penyakit kronik.

Sebagai contoh, seperti:

Vitamin C: Menyokong fungsi imun, melindungi sel daripada kerosakan, dan penting untuk sintesis kolagen.

Vitamin E: Bertindak sebagai antioksidan yang kuat, menyokong kesihatan imun dan melindungi daripada tekanan oksidatif.

Vitamin K: Mikronutrien ini penting untuk pembekuan darah, kesihatan tulang, dan mungkin mengurangkan risiko pengerasan arteri serta penyakit jantung.

Folat (Vitamin B9): Penting untuk sintesis DNA, pembentukan sel darah merah, dan amat penting semasa kehamilan untuk mencegah kecacatan tiub saraf pada janin.

Diet yang tinggi serat didapati memberikan perlindungan signifikan terhadap barah kolorektum. 

Malah, kajian menunjukkan setiap peningkatan 10 gram serat pemakanan boleh mengurangkan risiko barah kolorektum kira-kira 10 peratus.

Berikut adalah cara serat membantu:

Tingkatkan kekerapan pergerakan usus: Serat menambah isi padu najis dan mempercepat laluannya melalui usus besar, membantu menyingkirkan bahan karsinogenik (seperti NOCs) dengan lebih berkesan.

Percepat pengosongan usus: Serat membantu melancarkan pergerakan usus secara tekal, sekali gus mengurangkan tempoh pendedahan sel-sel lapisan kolon kepada bahan penyebab barah yang mungkin terbentuk semasa proses penghadaman.

Hasilkan asid lemak rantaian pendek (SCFA) yang bermanfaat: Apabila bakteria usus yang sihat menguraikan serat, ia membentuk SCFA seperti asid butirik, yang diketahui mempunyai kesan antiradang dan antibarah.

Tanda Awal Barah Kolorektum

Tanda-tanda awal barah kolorektum kerap muncul dalam bentuk gejala pada bahagian abdomen dan perubahan dalam corak pergerakan usus.

Gejala abdomen mungkin termasuk rasa kembung, perut mengembung, dan ketidakselesaan di bahagian perut.

Walaupun gejala itu selalunya samar dan biasanya dikaitkan dengan keadaan tidak berbahaya seperti gangguan pencernaan atau pedih ulu hati, ia juga boleh menandakan masalah lebih serius seperti barah, terutama jika ia berterusan selama dua bulan atau lebih.

Perubahan dalam pergerakan usus termasuk gejala seperti:

Perubahan tabiat membuang air besar: Perubahan yang ketara dalam kekerapan dan konsistensi najis kerana ketumbuhan boleh menyebabkan najis menjadi kering dan membawa kepada sembelit.

Ia juga boleh menyempitkan usus besar atau rektum, menyebabkan najis menjadi lebih kecil dan nipis, atau mengakibatkan pengumpulan cecair dan najis yang menyebabkan cirit-birit.

Darah dalam najis: Kehadiran sebarang warna merah atau najis berwarna hitam/berlendir seperti tar adalah tidak normal, dan mungkin menandakan barah kolorektum kerana ketumbuhan boleh merosakkan salur darah dalam saluran pencernaan, menyebabkan pendarahan.

Punca gejala mungkin termasuk:

Ketumbuhan dalam organ berongga: Ketumbuhan dalam usus besar atau rektum boleh menghalang laluan makanan atau sisa, menyebabkan kembung, kesakitan dan ketidakselesaan.

Penyebaran barah (metastasis): Kembung atau pembengkakan yang tidak dapat dijelaskan mungkin menunjukkan ketumbuhan telah membesar atau merebak ke organ berdekatan menandakan penyakit yang lebih teruk dan berada di peringkat akhir.

Tempoh Selamat Amal Diet Karnivor

Setakat ini, kajian jangka panjang mengenai kesan diet karnivor terhadap kesihatan usus dan kolorektum masih terhad.

Namun begitu, sesetengah individu mungkin mula mengalami sembelit berterusan seawal dua minggu selepas mengamalkan diet yang hanya berasaskan daging, khususnya jika pengambilan air tidak mencukupi atau langsung tidak mengambil serat pemakanan.

Kajian menunjukkan pengambilan hanya 50 gram daging yang diproses setiap hari boleh meningkatkan risiko barah kolorektum sebanyak 18 peratus.

Individu yang mengambil 140 gram atau lebih daging merah setiap hari adalah kira-kira sepertiga lebih berisiko untuk menghidap barah kolorektum berbanding mereka yang mengambil kurang 28 gram sehari.

 Bertemu Pakar

Pesakit perlu mempertimbangkan untuk mendapatkan nasihat pakar kolorektum jika mereka mengalami mana-mana simptom berikut selama lebih dua hingga tiga bulan:
+ Sembelit kronik, cirit-birit, atau perubahan bentuk najis
+ Kembung atau perut mengembung yang berterusan
+ Najis berdarah atau berwarna gelap

 Ubah Suai Diet Karnivor Demi Kesihatan Usus

Jika anda ingin mengamalkan diet karnivor untuk tujuan penurunan berat badan atau sebab kesihatan lain, berikut beberapa cara mengurangkan kesan negatif terhadap kesihatan usus:

Ambil suplemen serat larut air: Serat larut amat disyorkan kerana ia mudah dicampur dengan air untuk menambah isi padu najis tanpa menjadikannya terlalu kering atau sukar untuk dikeluarkan.

Ambil suplemen tambahan: Oleh kerana diet ini kekurangan banyak nutrien berasaskan tumbuhan, individu digalakkan mengambil multivitamin yang mengandungi vitamin A, E, K, C, dan folat, serta prebiotik dan probiotik yang menyokong kesihatan mikrobiom usus dengan menggalakkan pertumbuhan bakteria baik dan menekan bakteria berbahaya.

Amalkan hari ‘pengecualian’: Menyediakan satu atau dua hari seminggu untuk mengambil makanan berkarbohidrat dan tinggi serat dapat membantu memenuhi keinginan, mengimbangi pengambilan nutrien, serta memperbaiki sistem pencernaan.

Langkah itu juga berupaya mengurangkan risiko kesihatan jangka panjang yang dikaitkan dengan diet tanpa karbohidrat.

Laporan berkaitan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg