Sakit kaki semasa Lebaran: Amaran awal kerap diabai
Pakar podiatri kongsi panduan elak sakit kaki semasa sibuk beraya
Cik ‘Aisyah’ (nama samaran), 38 tahun, seorang ibu yang bekerja, masih ingat pengalaman Hari Raya pada 2025.
Seawal 5 pagi, beliau sudah sibuk di dapur menyediakan juadah untuk keluarga dan tetamu.
Sepanjang hari, beliau sibuk berjalan ke sana ke mari, melayan tetamu dan berkunjung ke rumah saudara-mara, sambil memakai kasut bertumit tinggi yang kelihatan cantik tetapi keras di bahagian tapaknya.
Seminggu selepas Raya, tapak kaki dan tumit Aisyah terasa sakit seperti dicucuk.
Kesakitan lebih ketara ketika menjejak kaki ke lantai selepas bangun dari katil, dan membuatnya terhincut-hincut.
Pada mulanya, beliau menyangka sakit itu biasa dan akan hilang dengan sendirinya.
Namun, selepas dua minggu, kesakitan masih berterusan dan akhirnya beliau mendapatkan nasihat doktor.
Kes seperti Aisyah bukan perkara yang jarang berlaku setiap kali musim perayaan.
Ramai individu mengalami masalah sakit kaki tanpa menyedari puncanya dan menganggap sakit itu perkara biasa, tetapi jika dibiarkan, ia boleh menjadi masalah jangka panjang.
Mengapa Masalah Kaki Meningkat Semasa Raya?
Hari Raya membawa perubahan besar kepada rutin harian.
Kegiatan yang dilakukan dalam tempoh singkat tetapi intensif memberi tekanan luar biasa kepada kaki.
Antara punca utama ialah:
Berdiri dan berjalan terlalu lama
Berdiri pada tempoh yang lama untuk memasak, solat sunat yang panjang terutama di bulan Ramadan, berkunjung dari rumah ke rumah dan kegiatan bergambar memerlukan penggunaan kaki yang berlebihan daripada biasa.
Pemilihan kasut yang tidak sesuai
Kasut tumit tinggi, tapak terlalu keras, sempit atau tiada sokongan di lengkungan kaki sering menjadi penyebab utama sakit tumit, lenguh tapak kaki, kulit melepuh atau melecet di jari kaki.
Kurang rehat dan tidur
Jadual Ramadan dan Hari Raya yang padat boleh menyebabkan kaki tidak sempat pulih, terutama bagi individu yang sudah mempunyai masalah kaki.
Berat badan and risiko usia
Individu berumur 40 tahun ke atas atau mempunyai berat badan berlebihan lebih berisiko mengalami sakit kaki apabila berdiri lama.
Masalah Kaki Yang Sering Berlaku Selepas Raya
Masalah yang paling kerap berlaku semasa musim perayaan adalah:
– Sakit tumit (plantar fasciitis)
– Lenguh tapak kaki dan lengkungan kaki
– Bengkak buku lali dan kaki
– Kulit melupuh dan melecet di kaki
– Sakit jari kaki akibat kasut yang ketat atau bertumit tinggi
Masalah ini mungkin kelihatan kecil, tetapi jika dibiarkan, ia boleh menjadi kronik dan menjejas pergerakan harian.
Panduan beli Kasut untuk Raya
Ramai wanita mahu kelihatan bergaya semasa Hari Raya, dan kasut tumit tinggi sering menjadi pilihan kerana ia melengkapkan penampilan.
Tetapi, gaya tidak semestinya perlu mengorbankan keselesaan.
Berikut beberapa panduan untuk memilih kasut yang lebih selesa:
– Pilih tumit yang stabil: Memilih tumit blok (block heels) atau wedge lebih stabil dan kurang tekanan pada kaki berbanding tumit runcing (stiletto).
– Perhatikan ketinggian tumit: Kasut tumit haruslah sederhana (sekitar 1-2 inci) kerana ia lebih selesa dipakai dalam tempoh lama.
– Gunakan lapik dalam iaitu insole atau padding: Penggunaan insole gel atau kusyen boleh membantu menyerap hentakan dan mengurangkan tekanan pada tapak kaki.
– Pilih kasut dengan ruang depan yang lebar: Elak kasut yang terlalu ketat atau sempit di bahagian jari kaki untuk mengelakkan melecet atau rasa kebas.
– Biasakan kasut sebelum Raya: Pakai kasut yang baru dibeli di dalam rumah sebelum hari sebenar supaya kaki terbiasa dan kasut lebih fleksibel.
– Bawa kasut ganti: Kasut ganti seperti sandal cantik atau kasut rata yang lebih selesa boleh dibawa jika perlu.
Untuk kaum Adam pula, mereka selalunya mahukan kasut yang nampak kemas dan sesuai dengan baju Melayu.
Namun penting untuk anda pastikan keselesaan sepanjang hari terutama apabila banyak berdiri, berjalan dan mengunjung dari rumah ke rumah.
Berikut beberapa perkara penting yang patut diberi perhatian:
– Saiz yang tepat: Kasut terlalu ketat akan menyebabkan melecet dan rasa kebas. Terlalu longgar pula akan membuat kaki berjalan dengan tidak stabil. Pastikan ada sedikit ruang di depan jari kaki.
– Tapak yang tidak licin: Pilih kasut atau capal dengan tapak yang ada cengkaman supaya tidak mudah tergelincir, terutama di atas jubin yang licin.
– Sokongan tapak kaki: Cari kasut yang ada sedikit kusyen atau lapisan lembut di dalam. Capal yang terlalu rata boleh membuat kaki cepat lenguh.
– Bahan yang selesa dan bernafas: Elak kasut yang terlalu keras atau panas. Kasut kulit lembut atau bahan yang memberi pengudaraan baik lebih sesuai untuk cuaca panas dan berpeluh.
– Reka bentuk seimbang antara gaya dengan fungsi: Pilih rekaan kasut yang sesuai dengan baju Melayu, tetapi jangan sampai mengabaikan keselesaan. Kasut yang nampak sederhana lebih selesa dipakai lama.
Apa Yang Boleh Dilakukan Untuk Kurangi Sakit Kaki?
Berikut beberapa cadangan mudah dan praktikal:
– Pilih kasut yang selesa: Pastikan kasut tidak terlalu sempit, ada sokongan tapak dan tumit tidak terlalu tinggi. Jika anda berdiri lama di rumah, elak berkaki ayam dan gunakan selipar berkusyen apabila membuat kerja rumah.
– Rehatkan kaki apabila berpeluang: Duduk dan tinggikan kaki sebentar, dan elakkan berdiri terlalu lama.
– Regangkan kaki dan betis: Lakukan regangan mudah beberapa minit sebelum dan selepas memakai kasut tumit contohnya regangan jari kaki (toe stretch), regangan betis (calf stretch) atau guling (roll) kaki atas botol air sejuk.
– Jangan abaikan sakit berpanjangan: Jika sakit berlarutan lebih seminggu, semakin teruk, atau susah berjalan, dapatkan pemeriksaan pakar.
Untuk Pesakit Kencing Manis: Usah Ambil Mudah Sakit Kaki
Bagi individu yang menghidap kencing manis, kecederaan kecil pada kaki tidak boleh dipandang ringan. Pesakit kencing manis berisiko tinggi mengalami:
– Kurang deria rasa pada kaki (neuropati)
– Luka lambat sembuh
– Jangkitan kaki
– Ulser kaki diabetes
Ada pesakit yang tidak sedar mereka terluka kerana tidak merasa sakit.
Lepuh kecil akibat kasut Raya boleh bertukar menjadi luka serius jika tidak dirawat awal.
Tanda amaran yang perlu diberi perhatian oleh pesakit kencing manis:
– Kebas atau rasa mencucuk pada kaki
– Luka kecil yang tidak sembuh lebih tiga hingga lima hari
– Kemerahan, bengkak atau keluar cecair
– Kulit kaki menjadi gelap atau panas
Jika tanda ini muncul, rawatan awal amat penting bagi mengelakkan kerumitan lebih serius.
Raya Dirai, Kaki Jangan Diabai
Hari Raya Aidilfitri adalah masa untuk bergembira, merapatkan silaturahim dan beribadah.
Namun, kesibukan menyambut perayaan sering menyebabkan kesihatan kaki terabai.
Kaki adalah asas pergerakan kita. Menjaganya adalah penting dan satu keperluan, terutama bagi pesakit kencing manis dan warga emas.
Sebagai pakar podiatri, saya ingin mengingatkan bahawa kesihatan kaki mencerminkan mutu hidup kita.
Dengan penjagaan yang betul, kita boleh terus melangkah dengan selesa, bukan sahaja di Hari Raya, bahkan setiap hari.
Penulis Pakar Podiatri, Hospital Besar Sengkang.


