Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Saya langsung tidak tahu lelaki boleh kena barah buah dada’

Oct 13, 2025 | 5:30 AM
Barah buah dada pada lelaki biasanya dikesan lebih lewat berbanding wanita kerana lelaki kurang peka terhadap perubahan di kawasan dada dan jarang mengesyaki sesuatu yang luar biasa. Selain itu, jumlah tisu buah dada yang sedikit menjadikan benjolan lebih sukar dirasai, sekali gus menyukarkan pengesanan awal penyakit ini.
Barah buah dada pada lelaki biasanya dikesan lebih lewat berbanding wanita kerana lelaki kurang peka terhadap perubahan di kawasan dada dan jarang mengesyaki sesuatu yang luar biasa. Selain itu, jumlah tisu buah dada yang sedikit menjadikan benjolan lebih sukar dirasai, sekali gus menyukarkan pengesanan awal penyakit ini. - Foto ISTOCKPHOTO

Apabila ‘Encik Ahmad Firdaus’ (nama samaran), 49 tahun, seorang jurutera dan bapa empat anak, disahkan menghidap barah buah dada tahap lanjut pada 2020, seluruh keluarganya terkejut.

“Saya langsung tidak tahu lelaki boleh kena barah buah dada,” katanya.

“Dalam keluarga saya tiada sejarah penyakit ini, dan saya pun tak ada faktor risiko.”

Barah buah dada dalam kalangan lelaki sememangnya jarang berlaku.

Hanya kira-kira 1 peratus daripada keseluruhan kes barah buah dada di dunia melibatkan lelaki.

Menurut laman web rasmi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekitar 0.5 hingga 1 peratus daripada semua kes barah buah dada di dunia berlaku pada lelaki.

Walaupun jarang, WHO menekankan bahawa barah buah dada lelaki wujud dan memerlukan perhatian serius kerana kebanyakan kes dikesan pada peringkat lewat akibat kurang kesedaran.

Encik Ahmad Firdaus diberitahu oleh pakar onkologi perubatan: “Oleh kerana penyakit ini sangat jarang, ramai lelaki abaikan tanda awal. Mereka fikir benjolan di dada cuma sista (ketumbuhan) atau hanya masalah kecil.”

Beliau mula menyedari adanya benjolan kecil di dada kiri tetapi tidak memandang serius mengenainya.

Encik Ahmad Firdaus menjalani mammogram di sebuah pusat perubatan tempatan dan diberitahu untuk datang semula jika ada perubahan.

Namun selama hampir setahun, Encik Ahmad Firdaus, hanya memantau sendiri tanpa mendapatkan pemeriksaan lanjut.

Benjolan itu kian membesar dan tanpa Encik Ahmad Firdaus sedari, peningkatan saiz itu sebenarnya tanda perubahan yang perlu diperiksa.

Keadaan menjadi membimbangkan apabila beliau mengalami pendarahan dan perubahan pada kulit dada.

“Masa itu baru saya tergerak untuk dapatkan pemeriksaan lanjut,” katanya.

Selepas imbasan dan biopsi, doktor mengesahkan Encik Ahmad Firdaus menghidap barah buah dada tahap lanjut.

Beliau segera memulakan rawatan intensif – empat bulan kemoterapi agresif, pembedahan mastektomi penuh pada buah dada kiri, 35 sesi radioterapi, dan rawatan hormon menggunakan tamoxifen.

Dengan sokongan isteri dan anak-anak, Encik Ahmad kekal bebas barah selama lebih dua tahun.

“Masa kemoterapi, saya muntah-muntah, badan lemah, rambut gugur. Saya cuba kuat depan anak-anak tapi bila sendirian, air mata jatuh juga,” luah Encik Ahmad Firdaus.

Namun pada 2023, sakit pinggul mula dirasakan selepas beliau mengangkat perabot berat.

Hasil imbasan menunjukkan barah telah merebak ke tulang pinggul, nodus limfa, tulang belakang dan dada.

“Bila saya dapat tahu ia merebak, saya rasa seperti ditarik semula ke dalam mimpi ngeri,” ujarnya.

Encik Ahmad Firdaus mendapatkan pendapat kedua dan dirujuk kepada pakar bedah ortopedik onkologi, yang segera melakukan pemeriksaan menyeluruh ke atas tulang pinggulnya.

“Dari lawatan pertama, saya nampak pasukan doktor sangat prihatin dan bertindak cepat. Itu buat saya dan keluarga rasa lebih yakin,” kata Encik Ahmad Firdaus.

Beberapa hari kemudian, Encik Ahmad Firdaus menjalani pembedahan pinggul. Beliau kemudian memulakan rawatan hormon lanjutan digabungkan dengan ubat penahan pertumbuhan sel barah jenis CDK4/6 inhibitor – terapi baru yang disasarkan dan radiasi untuk kawasan tulang yang terlibat.

“Barah saya memberi tindak balas baik terhadap rawatan,” jelas Encik Ahmad Firdaus.

“Doktor beritahu saya ada sedikit perbezaan dalam rawatan hormon bagi lelaki berbanding wanita, tetapi doktor berjaya mengawal perkembangan penyakit saya.

“Saya mungkin perlu hidup dengan rawatan jangka panjang, tetapi sejak dua tahun kebelakangan ini tiada tanda pertumbuhan semula barah,” Encik Ahmad Firdaus.

Menurutnya, kekuatan beliau datang daripada keluarga dan pegangan agama.

“Saya dapat semangat daripada isteri dan anak-anak,” katanya.

Isterinya, Cik Aina (nama samaran), menambah:

“Agama telah mengajar kita dan kami nak ajar anak-anak untuk tidak putus harapan. Sama ada menangis atau bangkit lawan, kita pilih untuk lawan.”

Encik Ahmad berkongsi kisah perjalanannya dengan Berita harian (BH) untuk meningkatkan kesedaran tentang barah buah dada.

“Jika pengalaman saya boleh membuat seorang lelaki tersedar dan pergi menjalani pemeriksaan, itu sudah memadai bagi saya,” katanya penuh bersemangat.

Walaupun barah buah dada jarang berlaku, ia kerap dikesan pada peringkat lewat kerana tiada pemeriksaan rutin khusus untuk lelaki.

Tanda awal boleh merangkumi benjolan atau bengkak di dada, perubahan kulit seperti lekukan, puting tertarik ke dalam, kemerahan, atau kulit yang mengelupas.

“Lelaki juga mempunyai tisu payudara, tetapi ramai tidak menyedarinya. Apabila terasa ketulan, mereka sangka ia hanya lemak atau masalah biasa,” kata Encik Ahmad Firdaus.

“Kesedaran amat penting supaya rawatan dapat dimulakan lebih awal dan peluang untuk sembuh meningkat.”

Kini, Encik Ahmad Firdaus meneruskan kehidupannya dengan penuh semangat.

Beliau kembali ke tempat kerja, menjaga kesihatan melalui senaman ringan dan diet seimbang, serta melibatkan diri dalam kumpulan sokongan pesakit barah lelaki.

“Saya tak biarkan barah tentukan hidup saya,” ujarnya.

“Saya masih boleh bekerja, bersukan ringan, dan yang paling penting luangkan masa dengan keluarga.”

Pesannya mudah tetapi mendalam: “Kalau rasa ada benjolan atau perubahan pada dada, jangan tunggu. Pergi jumpa doktor. Lebih cepat lebih baik. Lelaki perlu tahu ini bukan penyakit wanita semata-mata. Jangan malu buat pemeriksaan.”

Dengan rawatan yang betul dan sokongan keluarga, Encik Ahmad Firdaus menunjukkan bahawa diagnosis barah buah dada lelaki bukanlah pengakhiran.

“Saya mahu orang tahu, masih ada harapan,” katanya penuh yakin.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg