Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura lancar superkomputer AI baru tingkat penyelidikan iklim, jagaan kesihatan
S’pura lancar superkomputer AI baru tingkat penyelidikan iklim, jagaan kesihatan
Bantu penyelidik awam bangun model AI lebih kompleks, percepat masa cubaan
S’pura lancar superkomputer AI baru tingkat penyelidikan iklim, jagaan kesihatan
Penyelidikan mengenai ramalan cuaca, jangkaan serangan penyakit dan ‘chatbot’ yang memahami nuansa bahasa Asia menerima rangsangan ketara menyusuli pelancaran superkomputer penyelidikan nasional terkini Singapura.
Dikenali sebagai Aspire 2B, superkomputer ini mempunyai kelompok unit pemprosesan grafik (GPU) termaju di negara ini daripada pembuat cip Nvidia Amerika Syarikat.
Ia mempunyai lebih banyak kuasa pengkomputeran berbanding gabungan 120,000 komputer riba kecerdasan buatan (AI) mewah.
Kuasa pengkomputeran yang besar ini seterusnya akan membantu lebih 9,000 penyelidik awam daripada universiti, institut penyelidikan dan agensi pemerintah di sini membangunkan model AI yang lebih kompleks dan memendekkan masa percubaan.
“Kami melihat AI sebagai pengganda untuk komuniti penyelidikan kami membentuk semula aliran kerja dan mempercepat kejayaan cemerlang penemuan dan aplikasi,” kata Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, pada acara pelancaran di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) pada 8 Jun.
“Dengan Aspire 2B, model yang sebelum ini terlalu besar kini boleh dilatih di Singapura untuk memenuhi keperluan khusus kami...
“Beban kerja yang terpaksa dihantar ke luar negara, kini boleh menggunakan infrastruktur penyelidikan di negara kita sendiri,” katanya.
“Pengurusan kerja ini termasuk pemodelan iklim lanjutan yang menggabungkan simulasi berasaskan AI dan fizik, dan pemodelan ramalan cuaca beresolusi tinggi.
“Ini dapat membantu kami menjangka hujan lebat dan peningkatan paras laut lebih awal, dan merancang pembangunan bandar dan pertahanan pantai kami di sekelilingnya,” kata Cik Teo.
Aspire 2B, yang terletak di Pusat Inovasi NTU, merupakan sebahagian daripada prasarana AI negara yang dibangunkan oleh Yayasan Penyelidikan Negara (NRF) pada 2024 dengan bajet $270 juta.
GPU telah menjadi asas utama era AI dengan keupayaan melakukan pengiraan teknikal dengan cepat dan pada kecekapan yang lebih tinggi daripada komputer biasa.
Dibangunkan dengan lebih 1,500 GPU H200 Nvidia, Aspire 2B mempunyai kuasa pengiraan empat kali ganda berbanding pendahulunya, Aspire 2A dan 2A+.
Aspire 2A dan 2A+ telah menyokong lebih 1,500 projek, termasuk model AI berbilang bahasa A*Star, Meralion, yang boleh memahami bahasa Hokkien, Mandarin, Tamil dan Melayu.
