Topik diikuti
Pergi ke BHkuUdara di tengah S’pura kekal tidak sihat, PSI di barat dan timur kembali ke tahap sederhana
Mutu udara di Singapura kelihatan bertambah baik pada pertengahan pagi 5 September, dengan Indeks Pencemaran Udara (PSI) di barat kembali ke tahap sederhana selepas diklasifikasikan sebagai tidak sihat sebelum ini.
Pada 9 pagi, PSI sepanjang 24 jam berada pada 115 di bahagian tengah, dengan bacaan untuk barat menurun kepada 98 dan timur kepada 96.
Mutu udara di barat Singapura telah melepasi paras tidak sihat iaitu 102 pada pada 7 pagi 5 September, menjadikannya kawasan ketiga di negara ini yang mencatatkan tahap pencemaran tidak sihat sejak 4 September.
Bacaan untuk utara (83) dan selatan (87) kekal dalam paras sederhana.
Mutu udara dianggap tidak sihat apabila PSI berada pada paras 101 hingga 200. Dalam keadaan sebegini, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menasihati orang ramai supaya mengurangkan aktiviti luar.
Hasil pemeriksaan The Straits Times menunjukkan bahagian barat telah melepasi ambang 101 sekitar tengah malam.
PSI untuk bahagian timur telah meningkat ke tahap tidak sihat sekitar 9 malam pada 4 September. Ia kekal pada paras tersebut sebelum merosot sekitar 7 pagi pada 5 September.
Bacaan PSI 5 September bermakna kawasan tengah Singapura kini mempunyai tahap pencemaran yang tidak sihat selama lebih sehari.
Kali terakhir PSI mencapai tahap tidak sihat akibat jerebu adalah pada Oktober 2023.
Dalam nasihatnya pada 4 September, NEA berkata jerebu boleh berterusan sehingga 5 September, dengan kualiti udara diramalkan berada di antara paras yang lebih tinggi di tahap sederhana dan pertengahan dalam tahap tidak sihat.
Agensi itu berkata kepulan asap daripada kebakaran di bahagian selatan dan tengah Sumatra dan pelbagai bahagian Kalimantan diperhatikan bertiup ke arah Singapura.
Memandangkan keadaan kering diramalkan untuk beberapa hari akan datang, Singapura mungkin terus terjejas oleh jerebu rentas sempadan jika arah angin kekal tidak berubah apabila kebakaran berterusan.
Pada 4 September, agensi di bawah Pasukan Petugas Jerebu (HTF) – diwakili 28 kementerian dan agensi pemerintah – dilaporkan telah melancarkan pelan tindakan serta mengeluarkan nasihat kepada orang ramai pada 4 September.
Ini selepas bacaan PSI 24 jam memasuki paras tidak sihat di bahagian tengah Singapura pada awal pagi hari yang sama.
Pelan tindakan serta nasihat itu meliputi pelbagai sektor seperti prasekolah, sekolah, tempat kerja, institusi penjagaan kesihatan dan kemudahan masyarakat.
