Topik diikuti
Pergi ke BHkuKesuburan bukan isu wanita semata-mata, kaum Adam juga perlu peka
Lelaki juga ada ‘jam biologi’, kesuburan mula merosot pada usia 45 tahun
Kesuburan bukan isu wanita semata-mata, kaum Adam juga perlu peka
Apabila pasangan suami isteri menghadapi kesukaran untuk mendapatkan zuriat, perhatian sering tertumpu kepada tahap kesuburan wanita.
Namun, faktor kesihatan lelaki juga memainkan peranan besar dalam menentukan peluang pasangan untuk menimang cahaya mata, termasuk masalah kesihatan, gaya hidup serta peningkatan usia.
Menurut pakar perbidanan dan sakit puan di Pusat Perubatan Mount Elizabeth, Dr Julianah Abu, masalah kesuburan tidak seharusnya dianggap sebagai tanggungjawab wanita semata-mata kerana lelaki turut menyumbang kepada sebahagian besar kes ketidaksuburan.
“Sebenarnya 60 peratus punca ketidaksuburan terletak pada pihak lelaki.
“Antara masalah kesihatan yang boleh menjejas kesuburan lelaki ialah varikosele (pembengkakan urat darah pada skrotum yang terasa seperti gumpalan cacing apabila disentuh), gaya hidup individu seperti merokok, pengambilan alkohol secara berlebihan, serta obesiti,” katanya.
Varikosele merupakan keadaan apabila saluran darah di sekitar testis membesar sehingga boleh menjejas penghasilan dan mutu sperma.
Inilah antara perkara yang dikongsi dalam episod podcast NoTapis, terbitan Berita Harian (BH), baru-baru ini, yang membincangkan tentang topik kecelikan mengenai keadaan tubuh dan kesuburan.
Dalam episod itu, Dr Julianah berkata meskipun faktor usia menjadi perkara yang memainkan peranan besar dalam kesuburan wanita, ia turut memberi kesan kepada golongan lelaki.
“Kaum lelaki juga mempunyai jam biologi dan tahap kesuburan mereka akan merosot apabila mereka menjangkau 45 tahun,” katanya.
Menurutnya, walaupun lelaki terus menghasilkan sperma apabila meningkat usia, mutu sperma boleh merosot secara beransur-ansur, termasuk perubahan pada bahan genetik yang dibawa oleh sperma.
Hal itu sekali gus menjejas peluang kehamilan.
Usia bapa yang lebih lanjut turut dikaitkan dalam beberapa kajian dengan peningkatan risiko keguguran serta keadaan perkembangan saraf tertentu, termasuk autisme, dalam kalangan anak.
Dr Julianah berkata sesetengah kaum lelaki mungkin tidak menyedari mereka menghadapi masalah kesuburan kerana keadaan tersebut tidak semestinya menunjukkan gejala yang jelas.
Bagaimanapun, beliau melihat perkembangan positif dalam kalangan pasangan yang mendapatkan bantuan bagi masalah kesuburan.
“Dengan akses kepada kecerdasan buatan serta Internet, lebih ramai kini kenali tanda-tanda ketidaksuburan dan lebih berani untuk tampil mendapat bantuan.
“Sebelum ini, saya lihat lebih ramai wanita saja yang datang berseorangan.
“Tetapi sekarang, saya melihat pasangan suami isteri yang datang bersama untuk menyelesaikan isu kesuburan mereka bersama,” katanya.
Pandangan itu turut dipersetujui oleh Cik Aneesa Ahmad Jailani, pengasas Body Literacy Girlies, iaitu wadah yang memberi tumpuan pada usaha memperkasa wanita agar celik mengenai tubuh.
Menurut Cik Aneesa, yang juga jurulatih bagi meningkatkan kesedaran tentang kesuburan, pemahaman tentang kesihatan reproduktif juga dapat membantu pasangan suami isteri memainkan peranan bersama dalam merancang kehamilan.
“Mungkin mereka pada awalnya menyertai program saya untuk mengenali tubuh mereka sendiri.
“Tetapi melalui program ini, mereka juga sedar bahawa pengetahuan yang diperoleh boleh dikongsi bersama pasangan.
“Apabila suami turut memahami perubahan tubuh dan kitaran haid isteri, pengetahuan ini dapat membantu mereka merancang kehamilan bersama,” katanya.
Sejak menubuhkan Body Literacy Girlies pada 2024, Cik Aneesa telah membantu lebih 100 wanita memahami perubahan yang berlaku dalam tubuh mereka.
Melalui platform tersebut, beliau memberi bimbingan mengenai literasi tubuh, termasuk cara mengenal pasti perubahan normal dan tanda-tanda yang mungkin memerlukan pemeriksaan lanjut.
Beliau menjelaskan bahawa pengetahuan mengenai kesihatan reproduktif bukan hanya penting bagi pasangan yang sedang merancang untuk mendapatkan anak, malah bagi individu yang belum berkahwin atau belum mempunyai rancangan untuk hamil.
Menurut Cik Aneesa, melalui program bimbingannya, beliau mengajar peserta mengenal pasti perubahan lendir serviks sepanjang kitaran haid bagi membantu mereka memahami waktu subur masing-masing.
Namun, beliau mendapati sesetengah wanita hanya mula mengambil berat tentang kesihatan reproduktif apabila menghadapi masalah, termasuk kesukaran untuk hamil atau perubahan kitaran haid yang luar biasa.
“Lazimnya, mereka yang mengikuti program saya hanya datang apabila mereka mengalami masalah kesuburan.
“Ataupun mereka sedang mengalami kitaran haid yang luar biasa.
“Tetapi perkara seperti ini sepatutnya kita faham pada tahap awal supaya sekiranya terdapat keadaan yang luar biasa kita dapat melalui pemeriksaan dengan secepat mungkin,” tegasnya.
Justeru, beliau berpendapat pendidikan mengenai kesihatan reproduktif perlu dimulakan lebih awal, termasuk ketika seseorang masih di bangku sekolah.
Mengimbau pengalamannya menghadiri kursus persediaan perkahwinan, Cik Aneesa berkata penerangan yang diberikan lebih tertumpu pada perancangan keluarga dan kaedah mencegah kehamilan, berbanding pemahaman tentang proses persenyawaan.
“Memang mereka ada menjelaskan sedikit tentang membina keluarga, apa yang kita boleh lakukan dalam perancangan keluarga pada masa akan datang.
“Tapi tidak banyak penerangan tentang bagaimana kita boleh meneliti tubuh kita untuk tahu bila kita paling subur atau bila mungkin masa yang tubuh kita kurang subur,” katanya.
Cik Aneesa menambah beliau berharap golongan muda dapat didedahkan kepada pengetahuan mengenai ovulasi dan perubahan tubuh secara berperingkat, supaya mereka tidak hanya mula mempelajarinya apabila sudah dewasa.
Pandangan itu turut disokong Dr Julianah, yang berpendapat pendidikan kesihatan berkaitan hal reproduktif perlu melibatkan pelajar lelaki dan perempuan.
“Topik ini bukan sahaja mempersiapkan anak perempuan kita tentang kedatangan haid, malah apakah itu haid dan apakah itu ovulasi.
“Ini juga pada pendapat saya boleh dipelajari oleh golongan lelaki juga.
“Ini merupakan informasi yang mereka perlu belajar dan didedahkan pada usia yang awal,” ujarnya.
“
Memang mereka ada menjelaskan sedikit tentang membina keluarga, apa yang kita boleh lakukan dalam perancangan keluarga pada masa akan datang. Tapi tidak banyak penerangan tentang bagaimana kita boleh meneliti tubuh kita untuk tahu bila kita paling subur atau bila mungkin masa yang tubuh kita kurang subur.“
Sebelum ini, saya lihat lebih ramai wanita saja yang datang berseorangan. Tetapi sekarang, saya melihat pasangan suami isteri yang datang bersama untuk menyelesaikan isu kesuburan mereka bersama.