KADAR ketagihan Internet dan permainan elektronik dijangka meningkat, terutama dalam kalangan remaja, walaupun dadah dan arak kekal sebagai dua ketagihan paling biasa, kata Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Perhubungan dan Penerangan), Dr Janil Puthucheary.
Beliau menekankan sistem sokongan menyeluruh penting untuk membantu individu dalam proses pemulihan, seperti yang disediakan Khidmat Pengurusan Ketagihan Nasional (Nams).
Nams bertujuan meningkatkan kesedaran berkaitan ketagihan dan menggalak campur tangan berasaskan sains ke arah pemulihan.
Menekankan ini semasa berucap dalam sebuah acara sempena Hari Kesedaran Ketagihan Nasional, Dr Janil berkata, lebih 1,000 kes ketagihan dadah baru dilaporkan setiap tahun.
Oleh itu, pertubuhan seperti Nams memainkan peranan penting dalam proses pemulihan pesakit melalui khidmat seperti program detoksifikasi dan kumpulan sokongan bagi pesakit dan keluarga mereka.
"Hari ini, kami menjangka kadar ketagihan Internet dan permainan, terutama dalam kalangan belia, meningkat tahun demi tahun.
"Oleh itu, amat penting Nams terus mengikuti perkembangan trend ketagihan terkini untuk menyesuaikan khidmat anda kepada golongan berisiko tinggi," kata beliau.
Dr Janil memetik Kajian Kesihatan Mental Singapura 2016 yang menunjukkan penagih arak kini berusaha untuk mendapatkan bantuan dalam tempoh empat tahun berbanding 13 tahun pada 2010.
"Perangkaan ini menggalakkan dan menunjukkan usaha kita mempertingkat kesedaran berkaitan ketagihan membolehkan orang ramai mendapatkan bantuan lebih awal.
"Namun, kita perlu melakukan lebih banyak untuk mengurangkan stigma, dan memastikan setiap individu yang menghadapi masalah ketagihan tahu mereka akan menerima sokongan dalam proses beransur pulih."
Dr Janil turut menekankan bahawa rakan kongsi masyarakat seperti Persatuan Anti-Narkotik Singapura (SANA), Khidmat Masyarakat We Care, dan Majlis Kebangsaan Terhadap Masalah Perjudian (NCPG) terlibat dalam menubuhkan talian dan khidmat sembang bagi memberi sokongan kepada mereka yang memerlukan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg