KETUA eksekutif DBS Bank, Encik Piyush Gupta, akan menjadi pengerusi baru Universiti Pengurusan Singapura (SMU) mulai 12 Januari depan. Beliau akan menggantikan pengerusi pengasas Ho Kwon Ping, yang akan berundur pada 11 Januari.
Encik Ho, 69 tahun, menerima tawaran pemerintah pada 1997 bagi mewujudkan SMU, universiti ketiga Singapura, dan memimpinnya selama 25 tahun.
Dalam satu kenyataan semalam, SMU berkata Encik Ho telah membuat sumbangan berpanjangan kepada universiti itu dalam meletakkan asas kukuh dan mengemudinya menjadi universiti terkenal di dunia serta mentakrifkan semula landskap pendidikan tinggi di Singapura.
Encik Ho dan mantan mantan presiden Singapura, Dr Tony Tan Keng Yam, (timbalan perdana menteri ketika itu), membentangkan ciri-ciri unik universiti itu: pengurusan kukuh dan penawaran bidang sains kemasyarakatan serta menyampaikan pendidikan menyeluruh kepada pelajar.
Pengganti beliau, Encik Gupta, 62 tahun, merupakan ketua eksekutif dan pengarah DBS Group sejak 2009.
"Dalam tempoh yang pesat berubah dan penuh gangguan ini, universiti memainkan peranan utama, bukan dalam memimpin dan membentuk pemikiran melalui penyelidikan canggih sahaja, malah melatih anak muda kita dalam pelbagai disiplin cara penyelesaian masalah.
"Kwon Ping dan generasi pertama perintis telah menetapkan penanda aras kejayaan luar biasa, dan saya berharap dapat membina pencapaian cemerlang mereka, bekerjasama dengan lembaga pemegang amanah dan kepimpinan universiti untuk membawa SMU ke peringkat seterusnya," kata Encik Gupta.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg