SEMASA di sekolah rendah, peniaga Mohamed Abdul Jaleel terpaksa melakukan kerja rencam dan membantu bapanya di sebuah kedai kecil untuk mencari rezeki lebih bagi keluarganya.
Hari ini, beliau berharap dapat membantu pelajar memerlukan dengan sumbangan $500,000 kepada Dana Wang Saku Sekolah The Straits Times (STSPMF), yang membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dengan memberi mereka wang bulanan bagi perbelanjaan sekolah, termasuk makanan dan tambang pengangkutan.
Encik Jaleel, pengasas dan Ketua Eksekutif Mini Environment Service (MES) Group, telah menyumbang $5 juta kepada dana tersebut sejak 2010, lapor The Straits Times.
Beliau menyampaikan cek derma itu kepada ketua dana tersebut yang juga Editor The Straits Times, Encik Warren Fernandez, di News Centre Singapore Press Holdings (SPH) semalam.
Ditanya mengenai sumbangannya yang berulang-ulang, Encik Jaleel berkata: "Tidak semua orang tampil untuk meminta bantuan.
"Jadi, saya rasa apa yang SPH dan sekolah sedang lakukan untuk mendekati dan membantu pelajar memerlukan adalah baik."
Membesar sebagai anak lelaki tunggal dalam keluarga tujuh beranak, Encik Jaleel terpaksa berhenti sekolah dan mula bekerja sepenuh masa di sebuah syarikat pembinaan untuk menyara keluarganya.
Sekarang, beliau menerajui Yayasan S.M. Jaleel, sebuah badan amal yang memberi dermasiswa kepada pelajar di sekolah tempatan seperti Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), serta melalui pertubuhan seperti Mendaki.
"Saya akan berusaha sedaya upaya untuk terus membantu melalui dana ini selama saya ada hayat, dan saya juga sudah memberitahu anak-anak saya supaya meneruskannya melebihi itu," katanya.
STSPMF telah membantu lebih 190,000 kanak-kanak dan belia memerlukan dan memberi bantuan berjumlah lebih $90 juta sejak tahun 2000.
Tahun lalu, bantuan kewangan tambahan $4.6 juta diberi oleh STSPMF semasa pandemik Covid-19.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg