Topik diikuti
Pergi ke BHkuKhairul Anwar Timbalan Ketua Eksekutif kedua Muis
Khairul Anwar Timbalan Ketua Eksekutif kedua Muis
Khairul Anwar Timbalan Ketua Eksekutif kedua Muis
MAJLIS Ugama Islam Singapura (Muis) pada Sabtu mengumumkan pelantikan Timbalan Ketua Eksekutif (DCE) kedua.
Encik Khairul Anwar, 39 tahun, akan menyelia pembangunan pendidikan agama, yang terdiri daripada enam madrasah sepenuh masa serta program sambilan aLIVE dan adil bagi kanak-kanak, belia serta golongan dewasa di masjid-masjid setempat.
Menyatakan demikian dalam catatan Facebook, Muis dalam kenyataannya berkata, Encik Khairul Anwar bertanggungjawab memimpin sektor masjid dalam pembangunan dasar, tadbir urus dan prasarananya sedang beliau menawarkan kepimpinan dan panduan mengenai perihal zakat dan wakaf.
"Dalam beberapa minggu sejak Encik Khairul sertai kami, beliau telah berpeluang terlibat dengan pihak masjid tentang pelbagai isu.
"Sedang kita memperingati Ramadan, beliau telah bertemu dengan ramai relawan dan kakitangan masjid di merata tempat.
"Terutamanya beliau telah terlibat dalam isu-isu yang sukar seperti meningkatkan sebaiknya jumlah jemaah di masjid-masjid kami, serta bagaimana rakan masjid boleh bekerjasama dengan pihak masjid untuk menyumbang kepada masyarakat kita," katanya.
Seorang lagi Timbalan Ketua Eksekutif Muis, ialah Dr Albakri Ahmad.
Sebelum peranannya di Muis, Encik Khairul menghabiskan masa selama 14 tahun dalam jawatan teknikal dan kepimpinan di Enterprise Singapore (dulu International Enterprise Singapore).
Beliau memantau rancangan internalisasi Syarikat Kecil dan Sederhana (SME) di Timur Tengah dan Afrika, bekerjasama dengan pertubuhan antarabangsa dan pemerintah asing berkaitan projek pembangunan kolaborasi prasarana Singapura, dan baru-baru ini menjadi pengarah bagi Asia Tenggara.
Beliau juga pernah dipinjamkan ke Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), di mana beliau menguruskan pelan induk bagi Daerah Tasik Jurong.
Beliau juga memimpin Jawatankuasa Eksekutif Kelab Mendaki selaku presiden bermula 2017 hingga 2020 dan pada masa ini beliau juga pengarah Yayasan Diwan, yang ditubuhkan dan menyokong Chaplaincy Muslim di Universiti Cornell.
Encik Khairul mempunyai ijazah sarjana dalam Rekaan Bandar dan Sains Sosial dari Sekolah Ekonomi London dan Sains Politik, serta ijazah sarjana muda dalam Pembelajaran Bandar dan Serantau dari Universiti Cornell.
Catatan Muis di Facebook menambah ia menantikan kepimpinan Encik Khairul untuk terus menyokong dan memenuhi keperluan serta kepentingan masyarakat Muslim di Singapura.
