Topik diikuti
Pergi ke BHkuKhaw Boon Wan bersara selepas lima tahun pimpin SPH Media
CEO Chan Yeng Kit bakal ambil alih jawatan pengerusi kuat kuasa 1 Oktober
Khaw Boon Wan bersara selepas lima tahun pimpin SPH Media
Selepas lima tahun menerajui dan memimpin transformasi SPH Media Trust, Pengerusi, Encik Khaw Boon Wan bakal bersara daripada jawatannya berkuat kuasa 1 Oktober.
Tampuk kepimpinan lembaga pengarah itu akan diambil alih Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPH Media semasa, Encik Chan Yeng Kit, umum SPH Media pada 10 September.
Encik Chan akan memegang jawatan pengerusi di samping tanggungjawab sedia ada beliau sebagai CEO, tertakluk kepada kelulusan pihak pengawal selia.
“Saya berterima kasih kepada rakan-rakan pengarah lembaga yang telah tampil untuk membantu kami menstruktur semula dan mengubah perniagaan SPH Media.
“Mereka akan terus menyokong Encik Chan, walaupun sebahagian daripada mereka telah meminta untuk berundur supaya kepakaran dan pengalaman baharu dapat dimanfaatkan,” kata Encik Khaw.
Di peringkat bilik berita dan eksekutif, Encik Khaw berkata proses penyegaran dan pembaharuan kepimpinan sedang dijalankan.
Beliau menambah, Encik Chan telah melatih eksekutif kanan untuk memikul peranan yang lebih besar, termasuk sebagai ketua eksekutif pada masa hadapan.
Pertukaran kepimpinan ini menandakan fasa baharu bagi SPH Media selepas syarikat media itu dirombak pada 2021, daripada entiti tersenarai awam kepada syarikat awam berhad yang dijamin (CLG).
Ini demi memelihara misi awamnya untuk menyampaikan berita berkualiti dan dipercayai di Singapura.
Dalam wawancaranya bersama wartawan bagi mengumumkan persaraannya, Encik Khaw berkata operasi SPH Media kini telah stabil dan berada pada landasan kukuh.
Beliau meluahkan rasa puas hati terhadap kejayaan transformasi digital yang dicapai di bawah bimbingan pasukan pengurusan.
“Saya sangat berpuas hati dengan pencapaian pasukan pengurusan yang dipimpin oleh CEO Encik Chan Yeng Kit.
“Bersama-sama, mereka telah mempertajam misi, mengemas kini strategi dan mencapai transformasi digital yang ketara dalam SPH,” kata Encik Khaw.
Encik Khaw turut menyatakan keyakinan penuh terhadap kebolehan Encik Chan untuk memimpin SPH Media ke fasa seterusnya.
Beliau menarik perhatian bahawa latar belakang Encik Chan dalam bidang media baharu dan teknologi memberikan kelebihan khusus untuk memimpin organisasi media moden.
Encik Khaw menekankan bahawa apa yang penting adalah SPH Media mempunyai seseorang yang mempunyai rekod prestasi yang baik dan dipercayai oleh pemerintah.
“Encik Chan Yeng Kit memenuhi kriteria itu dengan baik. Latar belakang beliau dalam media baharu dan teknologi malah meletakkannya di hadapan saya,” kata Encik Khaw.
