
RIBUAN pelanggan DBS Bank di sini tidak dapat menggunakan perkhidmatan dalam talian dan mudah alih DBS digibank selama kira-kira sejam mulai sekitar 12.30 tengah hari pada Jumaat.
Perkhidmatan perbankan digital DBS, serta ATM fizikal, juga dikatakan tidak berfungsi.
Aduan di laman web Downdetector, yang menjejaki gangguan perkhidmatan, menyaksikan lonjakan aduan mengenai DBS pada 12.45 tengah hari.
Menurut laporan The Straits Times, terdapat lebih 2,000 laporan daripada pelanggan DBS di laman web.
Pada 1 tengah hari, hampir 3,000 laporan dibuat.
Sebagai respons kepada aduan pelanggan di halaman Facebook bank dan di Twitter, DBS berkata pada sekitar 12.45 tengah hari ia mengalami jumlah trafik yang lebih tinggi untuk log masuk digibank.
Pengguna Twitter juga diberitahu untuk menghantar e-mel kepada jabatan perhubungan pelanggan bank, sekiranya masalah itu berterusan.
Ini merupakan gangguan kedua bagi DBS yang dilaporkan oleh pelanggannya dalam tempoh dua bulan.
Pada 29 Mac, pelanggan DBS tidak dapat menggunakan perkhidmatan perbankan digital selama lebih 12 jam, dari 7 pagi hingga 7.30 malam.
Pada November 2021, pelayan kawalan akses yang tidak berfungsi telah mengganggu perkhidmatan perbankan dalam talian untuk pengguna DBS dan POSB selama tiga hari, mengakibatkan gangguan digital terburuk bank itu dalam satu dekad.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg