Topik diikuti
Pergi ke BHkuKhidmat digital dan risikan SAF akan belajar dari Estonia, Latvia
Khidmat digital dan risikan SAF akan belajar dari Estonia, Latvia
Khidmat digital dan risikan SAF akan belajar dari Estonia, Latvia
ANGKATAN Bersenjata Singapura (SAF) akan belajar daripada negara-negara Baltik - Estonia dan Latvia - sedang ia membangunkan Perkhidmatan Digital dan Risikan (DIS) bagi melindungi negara ini daripada ancaman digital yang kian berkembang.
Berucap di ibu kota Latvia, Riga, di mana beliau lawati sejak Ahad lalu hingga semalam, Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen, berkata lawatan ke kedua-dua negara itu amat berguna daripada sudut membangunkan DIS, cawangan perkhidmatan keempat SAF selepas tentera darat, laut dan udara.
Diumumkan semasa perdebatan Belanjawan March lalu, DIS akan ditubuhkan menjelang akhir tahun ini, dan akan bertanggungjawab bagi pertahanan risikan, siber dan psikologi, serta meluaskan pasukan rangkaian SAF.
Dr Ng berkata pertempuran kini dilancarkan pihak tentera atau penentang menerusi maklumat dan siber, seperti juga menerusi udara, darat dan laut.
"Kami mempunyai contoh seperti ini, termasuk keadaan di Ukraine," kata Dr Ng sambil menambah bahawa Estonia dan Latvia merupakan negara barisan hadapan bagi serangan siber dan kempen maklumat musuh.
Beliau berkata Estonia menghadapi serangan dunia siber pada 2007 dan menambah:
"Sebab itu mereka sentiasa bersungguh-sungguh membangunkan keupayaan."
Dr Ng, yang memulakan lawatan enam harinya di Eastonia Khamis lalu, juga menekankan bahawa Estonia merupakan lokasi Pusat Kecemerlangan Pertahanan Siber Kerjasama Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).
Sementara itu Pusat Kecemerlangan Perhubungan Strategik Nato pula berpangkalan di Latvia.
"Jadi, kami (SAF dan Kementerian Pertahanan) sudah lama melibatkan mereka... dan gembira melaporkan bahawa mereka mahu menolong.
"Kami telah menandatangani memorandum dengan mereka untuk belajar daripada mereka dan saya fikir ini akan membantu... perkhidmatan keempat dari sudut bagaimana kami membangunkan askar dalam perkhidmatan keempat itu agar memiliki keupayaan tersebut."
Dr Ng menambah:
"Daripada perbualan dengan pemimpin serta lawatan ke kemudahan mereka, mereka sanggup meneruskan kerjasama bermanfaat ini secara bersama, dan saya harap saban tahun, kami akan terus bekerjasama dengan mereka."
Di Riga, Dr Ng juga bertemu Cik Baiba Blodniece, yang merupakan Setiausaha Parlimen Kementerian Pertahanan Latvia, untuk berbincang tentang cara meluaskan daya tahan kemasyarakatan serta persediaan kecemasan.
Beliau diberi taklimat oleh pakar daripada Pusat Kecemerlangan Perhubungan Strategik Nato serta telah melawat Muzium Perang Latvia.
Secara berasingan, Kementerian Pertahanan (Mindef) berkata dalam satu kenyataan semalam bahawa Dr Ng bertemu Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Latvia, Encik Artis Pabriks, di luar Persidangan Lennart Meri ke-15, Ahad lalu.
