KHIDMAT penghantaran barangan runcit dari pasar raya dan yang dibeli di dalam talian menggunakan robot gerak sendiri telah dilancar di Punggol semalam.

Dua robot itu disediakan untuk menghantar bungkusan dan barangan runcit kepada sekitar 700 penduduk di tujuh flat HDB di Waterway Cress, dalam tempoh ujian setahun itu.

Antara kelebihan sistem penghantaran itu adalah pengguna boleh memilih masa barangan mereka dihantar dan tidak perlu mengikut jadual yang ditetapkan oleh penyedia khidmat.

Sebagai contoh, seorang pengguna yang baru selesai membeli-belah di pasar raya boleh meninggalkan barangannya di tempat khas di sana dan memberi arahan kepada robot itu menerusi app (aplikasi) di telefon bijak untuk menghantar barangan itu pada masa tertentu.

Robot tersebut akan menghantar barangan sehingga kolong blok.

Pengguna akan diberitahu menerusi app yang sama apabila robot memulakan perjalanan dan setibanya ke destinasi.

Namun, robot itu hanya akan menanti 10 minit sebelum berpatah balik, jika tiada orang mengambil barangan tersebut.

Hanya orang yang mempunyai Kod QR khas boleh mengambil barangan berkenaan.

Pengguna yang tidak mempunyai telefon bijak boleh memberitahu kakitangan di pasar raya jika ingin menggunakan khidmat itu.

Cara penghantaran yang serupa juga diperuntuk bagi menghantar barangan yang dibeli di dalam talian.

Selain barangan runcit, ubat juga boleh dihantar dengan cara sedemikian.

Khidmat bagi tempoh ujian ini diterajui oleh Penguasa Pembangunan Media Infokom (Imda) dengan kerjasama Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).

Mereka disertai CM Logistics, NTUC FairPrice dan OTSAW sebagai penyedia teknologi.

Bercakap di pelancaran khidmat penghantaran menggunakan robot itu semalam, Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Perhubungan dan Penerangan), Dr Janil Puthucheary, berkata menggunakan robot sebagai penghantar boleh mengurangkan keperluan tenaga manusia dalam sektor logistik yang memerlukan tenaga manusia yang banyak, terutama selepas mengambil kira sektor e-dagang yang kian meluas, seperti yang berlaku semasa pandemik Covid-19 ini.

"Penggunaan robot seperti dalam ujian ini, diharap boleh memberikan pengalaman pengguna lebih baik. Ia juga boleh membangun model perniagaan baru dan adalah diharapkan ia boleh membantu kita memperluas perniagaan tanpa disekat keperluan tenaga manusia," ujar Dr Janil, yang juga Anggota Parlimen (AP) bagi GRC Pasir Ris-Punggol.

Menambah, Dr Janil berkata Punggol dipilih sebagai kawasan ujian kerana penduduknya secara am adalah muda dan prasarana di estet itu membenarkan robot begerak dengan mudah.

Untuk memastikan keselamatan awam, had kelajuan robot telah dibataskan kepada kelajuan lima kilometer sejam, serupa dengan kelajuan pejalan kaki.

Setiap robot juga ditemani oleh pegawai keselamatan dalam tempoh percubaan ini.