PERKHIDMATAN kehakiman dan perundangan yang berasingan akan berada di dalam kedudukan yang lebih baik untuk memenuhi permintaan semakin meningkat dalam landskap guaman Singapura yang kian kompleks dan sentiasa berubah-ubah, kata Menteri Kedua Undang-Undang, Encik Edwin Tong.
Ini telah dibentangkannya semasa bacaan kedua Perlembagaan Republik Singapura bagi Rang Undang-Undang (Pindaan) dan Rang Undang-Undang Perkhidmatan Kehakiman (Pelbagai Pindaan), di Parlimen semalam.
Sebanyak 83 Anggota Parlimen (AP) telah mengundi mahu meluluskan usul pemerintah itu termasuk para AP daripada Parti Pekerja (WP).
Dengan rang itu diluluskan, perubahan dijangka dilaksanakan pada Januari tahun depan.
Seramai enam AP telah berbahas berhubung usulan itu dengan antaranya termasuk Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (GRC Chua Chu Kang), Encik Murali Pillai ( Bukit Batok), Encik Vikram Nair (GRC Sembawang) dan Encik Dennis Tan (Hougang).
Usulan itu menyarankan agar Perkhidmatan Kehakiman berasingan diwujudkan, dengan ia diselia Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman (JSC) yang baru ditubuhkan, dan dipimpin oleh Ketua Hakim.
Perubahan juga dibuat ke atas Perkhidmatan Guaman, yang akan diawasi oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Guaman (LSC), dan dipimpin oleh Peguam Negara.
Perubahan berstruktur itu dilaksana dengan harapan agar kedua-dua perkhidmatan itu lebih bersedia masa depan, dengan membolehkannya meraih manfaat pengkhususan yang lebih meluas.
"Pemindahan kepada model yang lebih khusus bukan sebahagian besarnya untuk menangani masalah hari ini, tetapi sebagai merancang masa depan, dengan membuat persediaan bagi cabaran masa depan," kata Encik Tong.
Awal tahun ini, AP Encik Murali telah memfailkan usul di akhir sidang Parlimen yang menggesa pemerintah untuk mengkaji kebolehlaksanaan menubuhkan JSC berasingan bagi pegawai kehakiman.
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam akur bahawa AP itu telah membuat hujah yang baik dan berkata bahawa pemerintah bersedia menimbangkan supaya menyusun semula Perkhidmatan Guaman.
Tetapi katanya, ia diharap dapat dilaksanakan dengan memastikan beberapa "ciri baik" daripada model bersepadu, seperti memastikan keluasan pendedahan bagi pegawai lebih muda, dapat dikekalkan dengan wajar.
Menukil apa yang dikatakan Encik Shanmugam dalam ucapannya, Encik Tong berkata, pindaan itu merupakan sesuatu yang diimbangi dengan baik.
"Anda boleh membentangkan hujah yang baik untuk tidak mengubahnya sekarang dan tunggu.
"Tetapi anda juga boleh menimbangkan.
" Perkhidmatan Guaman telah berkembang dengan ketara sejak 2014. Ia mempunyai 815 pegawai, sehingga Julai tahun ini," ujar Encik Tong.
Tambahnya, meski ini merupakan bilangan yang kecil, ia akan membolehkan perkhidmatan yang khusus dan pada masa yang sama, mengekalkan manfaat model bersepadu menerusi sistem peminjaman, katanya lagi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg