Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Khidmat vaksinasi di rumah bakal ditawar buat golongan terlantar di rumah, payah bergerak

May 18, 2021 | 8:50 PM
Foto oleh KUA CHEE SIONG
Foto oleh KUA CHEE SIONG -

MEREKA yang tidak boleh meninggalkan rumah mereka tetapi ingin mendapatkan vaksinasi Covid-19 tidak lama lagi boleh menerima suntikan di rumah, kata Kementerian Kesihatan (MOH) pada Selasa (18 Mei).

Pasukan vaksinasi yang berkunjung ke rumah terdiri daripada seorang doktor dan seorang jururawat akan dihantar ke rumah individu berkenaan bagi mentadbir suntikan itu.

Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, mengumumkan khidmat baru itu di sidang media maya pasukan bertindak berbilang kementerian pada Selasa.

Menurut Encik Ong, hampir dua juta penduduk telah menerima sekurang-kurangnya satu suntikan vaksin Covid-19 sejauh ini.

Daripada kumpulan ini, lebih 1.4 juta telah selesai mendapatkan suntikan penuh sebanyak dua dos. Keseluruhannya, 3.4 juta dos telah ditadbir.

MOH menambah kadar pengambilan vaksinasi secara menyeluruh "menggalakkan".

Dalam kalangan warga emas di atas usia 60 tahun yang lebih berkemungkinan dilanda tanda jangkitan Covid-19 lebih teruk, sekitar 71 peratus sudah menjalani vaksinasi atau membuat janji temu bagi suntikan mereka.

Bagi golongan 45 hingga 59 tahun pula, hampir 66 peratus sudah melalui vaksinasi atau membuat janji temu mereka.

Encik Ong akur beberapa warga emas mungkin terlantar di katil atau payah bergerak keluar dari rumah lantas tidak dapat berkunjung ke pusat vaksinasi.

Bagi kumpulan ini, MOH akan bekerjasama dengan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dan Agensi bagi Jagaan Bersepadu bagi menugaskan pasukan vaksinasi ke rumah untuk menjalankan suntikan ke atas warga emas ini.

Dalam kenyataannya, MOH berkata mereka yang menerima khidmat jagaan perubatan, rawatan dan jagaan peribadi di rumah boleh memberitahu penyedia khidmat jagaan mereka jika mereka berminat mendapatkan vaksinasi di rumah masing-masing.

Jika tidak, mereka akan dihubungi penyedia khidmat sebegini bagi mengesahkan keinginan mereka menjalani vaksinasi di rumah.

Golongan yang tidak menerima khidmat jagaan rumah boleh memohon agar vaksinasi dibuat di rumah mereka dengan menghubungi talian 'hotline' MOH di 1800-333-9999.

"Kami meminta pemahaman orang awam bahawa khidmat ini hanya buat mereka yang tidak dapat bergerak keluar dari rumah. Mereka yang tidak tergolong dalam kumpulan ini digalakkan untuk membuat janji temu bagi mendapatkan vaksinasi di mana-mana lokasi vaksinasi apabila vaksinasi ditawarkan kepada mereka," jelas MOH.

Kenyataan itu juga menambah kini terdapat 40 pusat vaksinasi serata pulau selain 20 poliklinik dan 22 klinik persediaan kesihatan awam (PHPC) di mana individu boleh mendapatkan vaksinasi.

Semua pusat vaksinasi mesra kerusi roda, jelas MOH, sambil menambah "secara bersama-sama, langkah yang diperkenal memastikan setiap warga Singapura dan penduduk jangka panjang di sini yang layak secara perubatan boleh menerima vaksinasi mereka dengan mudah dan selesa".

Satu kajian Institut Pengajian Dasar (IPS) yang dikeluarkan April lalu mendapati dua dalam tiga warga Singapura bersedia menjalani vaksinasi jika ia ditawarkan kepada mereka dengan separuh penduduk masih prihatin tentang keberkesanan, keselamatan dan tanda sampingan yang berpotensi berlaku.

IPS juga melaporkan dalam kalangan penduduk setempat, warga Singapura lebih muda lebih prihatin tentang keselamatan vaksin berbanding yang lebih berusia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg