Mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NTUC Income, Encik Tan Kin Lian, berkata hasil terbaik daripada pertimbangan Jawatankuasa Pilihan Raya Presiden (PEC) adalah sama ada beliau atau usahawan, Encik George Goh, didapati layak untuk bertanding bagi jawatan Presiden.
Ini akan memudahkan lagi perbincangan antara kedua-dua kem untuk sama-sama menyokong calon yang layak bertanding, kata Encik Tan, 75 tahun.
“Sekiranya kedua-dua kami melayakkan diri, saya masih rasa ia adalah idea baik bahawa kami berbincang siapa yang patut mengundurkan diri, kerana ia tidak baik untuk ‘membelah’ undi dalam kalangan mereka yang mahu mempunyai presiden bebas,” tambahnya.
Encik Tan berkata demikian ketika bercakap kepada media sebelum beliau mengunjungi pasar dan pusat makanan di Blok 505, Jurong West Street 52, pada Selasa.
Beliau memulakan lawatannya selepas melancarkan kempennya pada 11 Ogos dengan tema “Bring Back Trust, Give Us Hope” atau “Bawa Kembali Kepercayaan, Beri Kami Harapan”.
Pada Isnin, Encik Goh berkata beliau tidak berhasrat untuk menarik diri daripada pertandingan itu sekiranya beliau diberikan sijil kelayakan.
Kenyataannya itu adalah sebagai respons kepada saranan cadangan yang dibuat Encik Tan awal sebelum ini kepada media bahawa kededua mereka akan memutuskan siapa yang akan menarik diri dan menyokong satu sama lain, sekiranya PEC menganggap kedua-duanya layak untuk bertanding, lapor akhbar The Straits Times.
Encik Goh, 63 tahun, memberitahu wartawan bahawa beliau tidak membuat sebarang perjanjian sedemikian dengan Encik Tan.
Pada Selasa, Encik Tan menegaskan bahawa perbincangan bersama Encik Goh diperlukan untuk memutuskan siapa yang mengundur diri jika kededuanya layak.
“Jelas sekali, Encik George Goh berkata beliau tidak akan bersetuju tetapi saya harap beliau akan mengubah fikirannya,” kata Encik Tan. “Saya pasti akan cuba sedaya upaya untuk meyakinkannya.”
Encik Tan berkata beliau telah bertemu Encik Goh bulan lalu, tetapi tidak akan berkongsi apa yang telah dibincangkan.
“Kami mempunyai perbincangan yang sangat baik, jadi saya fikir kami sepatutnya boleh berbual sekali lagi,” katanya.
Cara terbaik untuk memutuskan siapa antara mereka yang seharusnya bertanding adalah untuk melihat siapa rakyat lebih suka, tambah beliau.
“Sudah tentu, ia agak sukar untuk mengetahui siapa yang orang ramai suka, jadi ini harus diputuskan. Dan satu cara yang mungkin dapat dilakukan adalah dengan mengambil syiling dan (lambung) – kepala atau ekor,” katanya.
Beliau mengakui bahawa kemungkinan beliau dan Encik Goh pada akhirnya boleh bertanding.
“Bahkan, saya tidak fikir ia akan menjadi kemenangan mudah untuk Encik Tharman (Shanmugaratnam),” kata beliau, sambil menambah beliau mempunyai rasa hormat yang tinggi untuk bekas menteri kanan itu.
“Penasihat dan pasukan saya berpendapat bahawa dalam pertandingan empat penjuru, calon bukan pertubuhan pun mungkin boleh menang.”
“
“Sekiranya kedua-dua kami melayakkan diri, saya masih rasa ia adalah idea baik bahawa kami berbincang siapa yang patut mengundurkan diri, kerana ia tidak baik untuk ‘membelah’ undi dalam kalangan mereka yang mahu mempunyai presiden bebas.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg