Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kin Lian seru rakyat undi presiden bebas, perjuang mutu hidup lebih baik

Berhasrat kurangi kos sara hidup, jadikan kos perumahan lebih dimampui jika dipilih
Aug 22, 2023 | 6:32 PM
HARGAI PENYOKONG: Mantan Ketua Pegawai Eksekutif NTUC Income, Encik Tan Kin Lian, bersalaman dengan seorang penyokong selepas  dinamakan sebagai calon bagi Pilihan Raya Presiden.
HARGAI PENYOKONG: Mantan Ketua Pegawai Eksekutif NTUC Income, Encik Tan Kin Lian, bersalaman dengan seorang penyokong selepas dinamakan sebagai calon bagi Pilihan Raya Presiden. - Foto ST

Meski dibayangi cabaran isu berkaitan wanita yang tular di media sosial, calon presiden Encik Tan Kin Lian hadir pada Hari Penamaan Calon dengan penuh harapan dan menegaskan akan memperjuang mutu hidup lebih baik bagi rakyat sekiranya beliau menjadi presiden.

Encik Tan, yang bertanding buat kali kedua dalam Pilihan Raya Presiden, berkata beliau akan menggunakan pengaruh di pejabat tertinggi negara ini untuk menjadikan hidup lebih baik bagi warga dengan mengurangkan kos sara hidup, membuat kos perumahan lebih dimampui dan melindungi jaminan pekerjaan.

“Saya ingin memberi peluang kepada warga Singapura mengundi seorang presiden yang benar-benar bebas daripada pemerintah berkuasa,” katanya dalam ucapannya di ibu pejabat Persatuan Rakyat (PA) di Jalan Besar pada Selasa, selepas berjaya dinamakan sebagai calon.

Beliau ditemani isteri dan beberapa penyokongnya.

“Jika saya dipilih sebagai presiden, saya akan menjalankan tugas saya sebagaimana ditetapkan perlembagaan, dengan telus, jujur dan dengan sedaya upaya,” tambah Encik Tan.

Mantan Ketua Pegawai Eksekutif NTUC Income itu berkata sekiranya berjaya, tugasnya adalah untuk melindungi rizab negara dan memastikan ketelusan perkhidmatan awam.

Beliau berharap apabila tiba hari mengundi pada 1 September, Singapura akan mempunyai seorang presiden yang dapat “menjaga kepentingan semua warga”.

DITEMANI ISTERI: Calon Pilihan Raya Presiden, Encik Tan Kin Lian, berjalan masuk bersama isterinya, Cik Tay Siew Hong, di ibu pejabat Persatuan Rakyat (PA) di Jalan Besar pada pagi Selasa sebelum penamaan calon.
DITEMANI ISTERI: Calon Pilihan Raya Presiden, Encik Tan Kin Lian, berjalan masuk bersama isterinya, Cik Tay Siew Hong, di ibu pejabat Persatuan Rakyat (PA) di Jalan Besar pada pagi Selasa sebelum penamaan calon. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Encik Tan, yang mendakwa dirinya menjadi mangsa kempen mencemar namanya oleh pihak tertentu, berharap pihak media akan bertindak secara telus dan jujur dalam pertandingan ini.

Dalam satu hantaran di Facebook pada pagi Selasa, beliau menyiarkan satu kenyataan bahawa parti politik dan ‘pesaing terbesar’ dalam Pilihan Raya Presiden terlibat dalam kempen memburukkan imejnya itu.

Namun kenyataan itu dikemas kini dan diterbitkan semula sekitar 12 tengah hari tanpa dakwaan tersebut.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai tindak balas menyusuli beberapa hantaran gambar wanita di tempat awam, yang pernah beliau muat naik dahulu, menjadi tular di media sosial dan didakwa tidak menghormati kaum Hawa oleh Persatuan Wanita bagi Tindakan dan Kajian (Aware).

Tanpa memberi sebarang nama atau bukti, Encik Tan mendakwa bahawa “editor media arus utama” dan pertubuhan hak wanita terlibat dalam percubaan memburukkan namanya.

Bercakap kepada wartawan, beliau berkata: “Percubaan ini tentunya datang daripada satu parti politik.

“Dan saya kata kepada parti politik itu: Anda sedang berkuasa. Anda kata mahu satukan rakyat. Anda mahu rakyat percaya kepada pemerintah. Adakah ini cara yang wajar?

“Adakah cara yang lebih baik untuk mendekati orang ramai?” tambahnya.

Bagaimanapun, Encik Tan berkata sokongan yang diterimanya sehingga kini memberinya keyakinan untuk bertanding.

LAMBANG KEHARMONIAN: Simbol kempen Encik Tan Kin Lian melambangkan kehidupan harmoni empat kaum utama di Singapura yang menjunjung bunga  – lambang harapan bagi masa depan lebih baik.
LAMBANG KEHARMONIAN: Simbol kempen Encik Tan Kin Lian melambangkan kehidupan harmoni empat kaum utama di Singapura yang menjunjung bunga  – lambang harapan bagi masa depan lebih baik. - Foto PASUKAN MEDIA TAN KIN LIAN

Beliau turut mendedahkan lambang kempennya berbentuk bunga dijunjung bentuk empat orang sebagai lambang kehidupan berharmoni antara empat kaum utama di Singapura serta harapan masa depan lebih baik.

Menurut Encik Tan, langkah lanjut dalam berkempen ialah lawatan di serata Singapura dalam sembilan hari menjelang hari mengundi pada 1 September.

Namun satu rapat yang sepatutnya berlangsung Jumaat ini akan ditimbangkan semula.

Pada Sabtu, Encik Tan berkata beliau merancang mengadakan rapat secara fizikal dan akan menampilkan beberapa penyampai termasuk pengusul dan penyokongnya daripada parti pembangkang; mantan penjawat awam, Encik Tan Jee Say; dan peguam, Encik Lim Tean.

“Terlebih dahulu, saya merancang untuk mengadakan rapat pada Jumaat tetapi kos tempat acara dan perbelanjaan agak mahal,” katanya.

“Saya juga tidak memperoleh sokongan taikun-taikun besar. Jadi saya akan lihat semula sama ada pada tahap ini, adakah sebuah rapat sesuai diadakan atau kami boleh lakukan cara lain,” ujar beliau.

“Saya ingin memberi peluang kepada warga Singapura mengundi seorang presiden yang benar-benar bebas daripada pemerintah berkuasa. Jika saya dipilih sebagai presiden, saya akan menjalankan tugas saya sebagaimana ditetapkan perlembagaan, dengan telus, jujur dan dengan sedaya upaya.”
Calon presiden, Encik Tan Kin Lian.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg