Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kin Lian tewas lagi, ucap tahniah kepada Tharman

Sep 2, 2023 | 12:12 AM
PERGI UNDI: Encik Tan Kin Lian tiba di Grassroots Club bersama isterinya, Cik Tay Siew Hong, sebelum pergi ke pusat mengundi di Maktab Rendah Anderson Serangoon di Ang Mo Kio Avenue 6, untuk mengundi pada 1 September.
PERGI UNDI: Encik Tan Kin Lian tiba di Grassroots Club bersama isterinya, Cik Tay Siew Hong, sebelum pergi ke pusat mengundi di Maktab Rendah Anderson Serangoon di Ang Mo Kio Avenue 6, untuk mengundi pada 1 September. - Foto ST

Meskipun mendapat sokongan padu daripada tokoh parti pembangkang, calon Presiden, Encik Tan Kin Lian, sekali lagi tewas dalam percubaannya mahu menambat hati rakyat untuk menang dalam Pilihan Raya Presiden 2023 bagi pejabat tertinggi negara ini.

Mantan Ketua Pegawai Eksekutif NTUC Income berusia 75 tahun itu meraih 344,292 undi atau 13.88 peratus dalam keputusan rasmi Pilihan Raya Presiden 2023 – yang paling rendah dalam kalangan tiga calon.

Mantan Menteri Kanan, Encik Tharman Shanmugaratnam, 66 tahun, menerima undian tertinggi, dengan 1,746,427 undi atau 70.40 peratus.

Seorang lagi calon, mantan Ketua Pegawai Pelaburan GIC, Encik Ng Kok Song, 75 tahun, pula meraih 390,041 undi atau 15.72 peratus.

Selepas kiraan sampel diumumkan pada sekitar 10.40 malam, Encik Tan yang berada di kediamannya di kawasan Yio Chu Kang bersama sekitar 10 ahli keluarga dan penyokongnya, muncul seketika di hadapan media untuk mengucapkan tahniah kepada Encik Tharman.

“Walaupun ini hanya berdasarkan keputusan kiraan sampel, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Encik Tharman Shanmugaratnam atas kejayaan beliau dalam pertandingan ini dan saya yakin beliau akan dipilih sebagai Presiden Singapura.

“Saya mengucapkan yang terbaik untuk beliau dalam menghadapi cabaran yang mendatang dan saya berharap beliau akan dapat membantu membawa kehidupan lebih baik kepada rakyat,” katanya.

Encik Tan turut mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan penyokong beliau atas sokongan mereka.

“Saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua penyokong dan ahli keluarga saya yang telah meluangkan banyak hari bekerja keras semasa tempoh berkempen, dalam kunjungan, mesej media sosial, pengagihan bahan kempen, poster, ejen pengundian dan pengiraan undi, mereka yang menyumbang kepada perbelanjaan kempen saya dan dalam banyak cara lain,” tambah Encik Tan.

Ini kali kedua Encik Tan bertanding dalam pilihan raya bagi jawatan ketua negara ini, dengan kali pertama adalah pada 2011.

Dalam Pilihan Raya Presiden 2011, Encik Tan bersaing dengan tiga calon lain – Dr Tony Tan Keng Yam, yang memenangi pilihan raya itu; Dr Tan Cheng Bock dan Encik Tan Jee Say.

Namun, Encik Tan menerima 4.91 peratus undi – yang paling rendah dalam kalangan empat calon itu – sekali gus hilang depositnya berjumlah $48,000 kerana gagal mendapat sekurang-kurangnya 12.5 peratus undi.

Dalam pilihan raya kali ini, beliau akan dapat kembali deposit $40,500 kerana menerima sekurang-kurangnya 12.5 peratus undi.

Sepanjang kempen beliau dalam Pilihan Raya Presiden 2023, Encik Tan telah menekankan pentingnya pemimpin tidak takut mengamalkan pemikiran bebas selain menyampaikan hasratnya mahu mengetengahkan keprihatinan rakyat, termasuk kos kehidupan, kepada pemerintah jika dilantik menjadi Presiden.

Encik Tan turut menerima sokongan daripada pihak pembangkang, termasuk pengerusi Parti Kemajuan Singapura (PSP), Dr Tan Cheng Bock; dan anggota Parti Demokratik Singapura (SDP), Encik Tan Jee Say.

Namun, beliau telah menegaskan sebelum ini bahawa sokongan oleh tokoh pembangkang tersebut tidak menyuntik politik parti dalam Pilihan Raya Presiden kerana Dr Tan dan Encik Tan telah memberikan sokongan mereka dalam kapasiti peribadi dan bukan sebagai wakil parti politik.

Zamil Kanan yang juga Penyelaras bagi Program Pengajian Budaya dan Sosial Serantau, Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, dalam sesi langsung Berita Harian mengenai Pilihan Raya Presiden 2023 berkata undian sekitar 14 peratus yang diterima Encik Tan adalah satu peningkatan berbanding 4.91 peratus undi yang diterima pada 2011.

“Pelbagai interpretasi sama ada ini disebabkan penglibatan parti pembangkang yang menyokong beliau ataupun tidak, yang menyebabkan kenaikan ini dan adakah ini satu kebaikan untuk beliau ataupun tidak,” kata beliau.

Walaupun ini hanya berdasarkan keputusan kiraan sampel, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Encik Tharman Shanmugaratnam atas kejayaan beliau dalam pertandingan ini dan saya yakin beliau akan dipilih sebagai Presiden Singapura.  Saya mengucapkan yang terbaik untuk beliau dalam menghadapi cabaran yang mendatang dan saya berharap beliau akan dapat membantu membawa kehidupan lebih baik kepada rakyat. Saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua penyokong dan ahli keluarga saya yang telah meluangkan banyak hari bekerja keras semasa tempoh berkempen, dalam kunjungan, mesej media sosial, pengagihan bahan kempen, poster, ejen pengundian dan pengiraan undi, mereka yang menyumbang kepada perbelanjaan kempen saya dan dalam banyak cara lain.
Calon Presiden, Encik Tan Kin Lian.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg