Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kini dapat ubati rindu berkhemah dan santai di tepi pantai

Jan 25, 2021 | 5:30 AM
RINDU BERKHEMAH SEKELUARGA: Encik Zurayni Mohd Suthi (kiri di depan) dan isterinya, Cik Johiah Abu (sedang duduk) bersama keluarga dan beberapa saudara mereka ketika berkhemah dan memancing di Taman Pasir Ris semalam. - Foto BH oleh HARITH MUSTAFFA
RINDU BERKHEMAH SEKELUARGA: Encik Zurayni Mohd Suthi (kiri di depan) dan isterinya, Cik Johiah Abu (sedang duduk) bersama keluarga dan beberapa saudara mereka ketika berkhemah dan memancing di Taman Pasir Ris semalam. - Foto BH oleh HARITH MUSTAFFA -

RINDU bersantai di tepi pantai.

Dulu hampir setiap minggu beliau berkhemah bersama keluarga.

Disebabkan Covid-19, Encik Zurayni Mohd Suthi terpaksa mengetepikan kegiatan itu kerana ia dilarang sejak langkah pemutus rantaian jangkitan dikuat kuasa April lalu.

Namun sejajar makluman kesihatan terkini, Lembaga Taman Negara (Nparks) membolehkan semula kegiatan perkhemahan dan penggunaan pit barbeku sejak Rabu lalu dengan langkah pengurusan selamat terus dipatuhi.

Encik Zurayni, 51 tahun, yang berada bersama isteri beliau dan beberapa saudaranya di Taman Pasir Ris hujung minggu lalu berkata:

"Akhirnya, kami dapat duduk tepi laut bersama keluarga pada hujung minggu.

Encik Zurayni yang bertugas sebagai pekerja penyenggara kamera litar tertutup (CCTV) menambah, sebelum April lalu, setiap minggu beliau mengadakan perhimpunan bersama keluarga untuk berkhemah dan memancing.

"Kadang-kadang kalau dapat ikan yang baik, kami masak terus dan makan bersama.

"Jadi kami suka dapat keluar bermalam di tepi pantai sebab dah bosan juga duduk dalam rumah," Encik kata Zurayni.

Isterinya, Cik Johiah Abu, seorang pekerja pembersihan berusia 55 tahun pula berkata, kegiatan tersebut membolehkan beliau meredakan tekanan yang dihadapinya semasa bekerja.

"Tapi kalau sebelum Covid-19, lagi meriahlah. Ramai lagi yang akan datang berkhemah bersama," ujar beliau ketika ditemui.

Mereka merupakan antara sekitar 650 pendaftar permit perkhemahan yang diluluskan bagi tempoh 20 Januari hingga 19 Mac tahun ini, menurut NParks menjawab pertanyaan Berita Harian (BH) Jumaat lalu.

Dalam kenyataannya, Nparks menambah ia juga telah meluluskan sekitar 460 permit pit barbeku di serata taman setempat bagi tempoh berkenaan.

Ini setelah Nparks membuka semula kawasan perkhemahan dan penggunaan pit barbeku sejak 20 Januari lalu.

Permohonan bagi penggunaan pit barbeku dan perkhemahan pula telah dimulakan sejak 13 Januari lalu.

Namun pengguna pit barbeku dan pemegang permit perkhemahan perlu mematuhi langkah pengurusan selamat.

Misalnya, setiap khemah perlu diasingkan sejauh lima meter antara satu sama lain dan setiap permit hanya membolehkan sehingga enam orang berkhemah bersama.

Pengguna pit barbeku pula dihadkan berhimpun sehingga lapan orang setiap kumpulan sejajar peraturan di bawah Fasa Tiga pembukaan semula ekonomi Singapura.

Encik Zurayni berkata, beliau sedar akan kepentingan mematuhi langkah jarak selamat.

Anggota keluarganya yang lain yang berkhemah dan memancing di situ turut memohon untuk mendapatkan permit masing-masing dan mengasingkan khemah mereka seperti peraturan sedemikian.

Katanya, ini sesuatu kegiatan yang keluarganya gemari untuk mengurangkan tekanan setelah bekerja seminggu.

"Jadi kami tak naklah kalau kelonggaran ini ditarik balik, atau pun kami diperlukan berkurung lagi," tambah Encik Zurayni.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg