Siapa sangka orang yang dipercayai sebenarnya merupakan pembunuh yang dicari?
Demikian kisah yang dibongkar dalam episod kelima podcast #NoTapis Diari Mahkamah.
Dalam episod ini, kes Huang Na, seorang kanak-kanak warga Cina berusia sembilan tahun yang hilang pada 10 Oktober 2004, menjadi sorotan.
Huang Na, seorang murid Darjah 2 Sekolah Rendah Jin Tai, kali terakhir dilihat di Pusat Borong Pasir Panjang sekitar 1 petang pada 10 Oktober, setelah dia ke pusat makanan di situ untuk membuat panggilan jarak jauh kepada ibunya di China.
Pada masa itu, Huang Na di bawah jagaan sahabat-sahabat ibunya.
Pada kali terakhir itu, Huang Na kelihatan memakai jaket denim, seluar bermuda dan berkaki ayam.
Pihak polis dan juga sekumpulan warga Singapura berusaha mencari Huang Na di serata tempat selama lebih 20 hari.
Akhirnya pada 31 October 2004, Took Leng How, 22 tahun, seorang warga Malaysia yang bekerja di Pusat Borong Pasir Panjang, memberi kerjasama dengan polis dan menemukan mayat Huang Na di lereng bukit dekat Telok Blangah Hill Park.
Menurut Pengarah Perhubungan Awam Polis, Penolong Pesuruhjaya Kanan (SAC) Tan Puay Kern, mayat Huang Na ditemui di dalam kotak dalam keadaan tidak berpakaian di lereng gaung selepas 20 pegawai polis melancarkan operasi mencari budak warga Cina itu.
Kotak itu diikat dengan pita pelekat dan mengeluarkan bau mayat yang sudah reput ketika ditemui.
Took kemudian didakwa di mahkamah dengan tuduhan membunuh.
Dalam kenyataannya kepada pihak polis, Took mendakwa dia dan Huang Na sering bermain permainan di mana dia akan mengikat tangan atau kaki Huang Na dan budak itu akan cuba melepaskan diri.
Pada 26 Ogos, selepas perbicaraan selama 13 hari, Took didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati.
Took mengemukakan rayuan tetapi rayuannya ditolak.
Dalam Diari Mahkamah episod kelima ini, pekerja sosial belia daripada AMP Singapura, Cik Nur Hayati Yusof, menjelaskan mengapa jenayah penderaan dan pembunuhan anak-anak bawah umur ada kalanya melibatkan orang yang mereka kenali.
Cik Nur Hayati turut memberikan nasihat kepada ibu bapa yang perlu meninggalkan anak-anak mereka sedang mereka sibuk bekerja.
Rakan kongsi firma guaman IRB Law, Cik Mumtaz Zainudin, pula menerangkan tentang perbicaraan Took di mahkamah dan mengapa rayuannya ditolak.
Ikuti lebih lanjut tentang kes mengejutkan dan menyayat hati ini di podcast #NoTapis Diari Mahkamah menerusi Spotify atau laman www.beritaharian.sg/podcasts


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg