Anugerah Perkasa Berita Harian (BH)-Maybank yang disampaikan buat julung-julung kalinya di majlis Anugerah Jauhari Berita Harian 2026 mengiktiraf insan biasa yang melakukan perkara luar biasa hingga meninggalkan kesan pada individu di keliling mereka.

Ketua Perbankan Islam Maybank Singapura, Encik Sazzali Sabandi, berkata anugerah itu juga bertujuan mengiktiraf individu yang menghadapi kesukaran namun tetap berusaha memperbaiki keadaan mereka.

Anugerah itu disampaikan kepada Cik Siti Nurhumaira Azman, 26 tahun, dan Cik Elizabeth Neo, 37 tahun, dalam satu majlis di Hotel Four Seasons pada 6 November.

“Bagi saya, Anugerah Perkasa ini tentang meraikan insan biasa yang melakukan perkara luar biasa.

“Mereka berusaha tanpa mengharapkan pujian. Mereka mengangkat keluarga dan masyarakat di keliling mereka,” katanya kepada Berita Minggu (BM) apabila ditemui di majlis Anugerah Jauhari Berita Harian 2026.

Encik Sazzali, yang juga sebahagian daripada panel penilai Anugerah Jauhari Berita Harian 2026, berkata antara kriteria yang diteliti ialah bagaimana untuk menilai cabaran yang dihadapi seseorang kerana cabaran itu bersifat relatif.

“Setiap daripada kita mempunyai perjuangan tersendiri. Jadi, anugerah ini sebenarnya ditujukan kepada mereka yang menghadapi kesukaran dalam kehidupan harian.

“Walaupun begitu, mereka berjaya bangkit bukan sahaja untuk diri sendiri, malah turut membantu masyarakat di keliling mereka,” ujarnya.

Seorang lagi anggota panel penilai, Encik Fazlur Rahman, berkata anugerah itu bertujuan mengetengahkan individu yang berusaha memperbaiki kehidupan diri dan keluarga meskipun berdepan pelbagai cabaran.

“Kita ingin membangunkan golongan ini supaya mereka bukan sahaja dapat memperbaiki kehidupan diri dan keluarga, malah turut memberi inspirasi kepada masyarakat.

“Walaupun berdepan cabaran dalam kehidupan dan keluarga, mereka tetap mempunyai semangat untuk bangkit dan memperbaiki keadaan. Inilah semangat yang ingin kita ketengahkan kepada masyarakat,” kata Enck Fazlur.

Cik Nurhumaira, yang membesar dalam keadaan mencabar, membantu menyara ibu dan tujuh adik-beradiknya sambil membiayai pengajiannya sendiri beliau juga kehilangan anak lelakinya, Zafir, akibat komplikasi atrofi otot spina (SMA) yang menyebabkan otot semakin melemah dan mengecil akibat kerosakan sel saraf di saraf tunjang dan batang otak pada April 2026.

Cik Neo pula, yang pernah melalui pengalaman ketagihan dan dipenjarakan, kini membantu bekas pesalah serta keluarga mereka.

Hadirin di majlis Anugerah Jauhari Berita Harian 2026 turut menyambut baik usaha BH dan Maybank Singapura menyampaikan Anugerah Perkasa itu kerana semangat waja kedua-dua penerima Anugerah Perkasa BH-Maybank itu boleh menjadi dorongan buat masyarakat.

Anggota Parlimen GRC East Coast, Cik Hazlina Abdul Halim berkata penglibatan badan swasta seperti Maybank Singapura dalam usaha meningkatkan mutu kehidupan masyarakat merupakan sesuatu yang patut dibanggakan.

“Kadangkala, apabila kita merasakan harapan semakin pudar, kisah-kisah seperti yang diketengahkan menerusi anugerah ini dapat mengembalikan semangat dan keyakinan.

“Saya tabik kepada kedua-dua penerima kerana berani menunjukkan kelemahan mereka. Dalam berkongsi kehilangan dan kesukaran yang dilalui, mereka sebenarnya menunjukkan satu bentuk kekuatan yang boleh dicontohi,” ujar Cik Hazlina

Pengerusi AMP Singapura, Ustaz Fathurrahman Dawoed, berkata anugerah itu dapat memberi dorongan kepada mereka yang berdepan kesukaran untuk terus berusaha.

“Anugerah seperti ini sangat baik kerana memberi mereka peluang untuk terus maju dan menyedari bahawa mereka tidak bersendirian dalam masyarakat,” katanya.

Pengarah Pengurusan Rice Media, Encik Khairil Asyraf, pula berkata kisah kedua-dua penerima boleh menjadi inspirasi kepada masyarakat Melayu/Islam untuk terus menghadapi cabaran.

“Kisah-kisah yang diketengahkan menerusi Anugerah Perkasa ini sangat memberi inspirasi dan dorongan kepada masyarakat Melayu/Islam untuk terus teguh menghadapi cabaran, terutama dalam keadaan ekonomi yang mencabar,” katanya.